Aku ingat lagi, pertama kali aku menyerahkan diri untuk diperhambakan kepada MRC Ali, kami hanya bertatih-tatih ketika itu. Berbekalkan hanya sebuah bilik operasi MRC yang berjaya dimiliki ketika zaman abang Afi (MRC 2001/2002), kami mula menyusun langkah. Lebih malang, bilik tersebut hanyalah sekadar bilik. Tiada apa di dalamnya melainkan sebuah meja mesyuarat yang baru sahaja ditempah dan beberapa buah kerusi. Terlalu kerdil jika hendak dibandingkan dengan MRC al-Faruq yang baru sahaja mengadakan majlis perasmian bilik operasinya yang serba lengkap pada tahun tersebut.
Program pertama kami Annual Appreciation Night and Idulfitri Gathering 2003 diadakan dalam keadaan kekurangan jawatankuasa. Iyalah, siapalah yang kenal dengan nama MRC ketika itu. Tiada sebab yang jelas untuk residen Mahallah Ali menaruh minat menjadi ahli MRC Ali ketika itu. Lantas, kami tekad bahawa misi MRC tahun ini adalah untuk menaikkan nama MRC, membuatkan orang sedar apa itu MRC, memberikan kesedaran kepada semua residen akan peri pentingnya menjadi ahli MRC, dan cuba membuatkan mereka bangga bergelar residen Mahallah Ali.
Pemilihan kami sebagai tuan rumah beberapa program Inter-Mahallah oleh Council of Principals memberikan kelebihan kepada kami untuk mencapai misi tersebut. Walaupun penat (malah kami pernah bermesyuarat untuk menolak tawaran menjadi tuan rumah 4th Inter-Mahallah Sports Carnival 2004) namun kami tetap cuba membalas kepercayaan Council of Principals. Bukanlah kami hendak membolot semua program-program mega, tapi kami cuma tak mahu menjadi askar yang tewas sebelum berperang.
Malangnya, hasrat kami untuk menaikkan nama MRC Ali ini adakalanya dipandang serong oleh sesetengah orang terutamanya beberapa MRC kolej-kolej lain. Mereka beranggapan kami cuba mendabik dada , menanam rasa riak dan membangga diri. Pembetulan, kami mahu residen Ali yang berbangga punya MRC yang menjaga kebajikan mereka. Itu sahaja. Tapi kalau ada residen Mahallah lain yang menyatakan MRC mahallah mereka tidak setanding Mahallah Ali atau tidak menjaga kebajikan mereka, malah mereka lebih kenal nama MRC Ali berbanding MRC kolej mereka, adakah kami yang perlu dipersalahkan? Tepuk dada tanya selera.
Akan datang: Penatnya nak cari komiti...
No comments:
Post a Comment