31 August 2007

Selamat Merdeka.... an-nidxam!




Selamat Merdeka Malaysia! Dah 50 tahun rupanya. Dan selamat merdeka juga untuk aku haha! Alhamdulillah, akhirnya aku berpeluang juga menghadiri majlis konvokesyen sebagai meraikan tamatnya 6 tahun aku bermastautin di Taman Ilmu dan Budi ni. 2 tahun di Pusat Matrikulasi dan 4 tahun lagi di Kampus Utama Gombak. Fuh! Lama gila kan? Sebenarnya aku dah hampir-hampir terlupa tentang majlis ni sebab agak serabut dengan zapin dan resume. Aku terlambat nak ambil jubah konvokesyen. Mujur saiz aku masih ada. Tapi segalanya tetap berjalan lancar. Aku tetap seronok dan bangga.

Kata seorang kawan, menghadiri majlis konvokesyen hanya sekadar simbol. Simbol kepada berakhirnya tempoh pembelajaran kita di UIA ni. Jadi pada dia, hadir atau tidak ke majlis ni bukanlah perkara penting kerana yang lebih penting adalah memiliki segulung ijazah. Namun pada pandangan aku, majlis ni sangat penting. Ia ibarat hadiah kepada ahli keluarga aku kerana ini adalah kali pertama mereka merasai suasana majlis konvokesyen. Sekurang-kurangnya apabila orang bercerita tentang konvokesyen, mereka dapat membayangkan dengan tepat akan bagaimana rupa bentuknya.

Apapun, tahniah kepada semua graduan UIAM yang ke 23. Banyak yang perlu kita lakukan selepas ini untuk menjadikan majlis graduasi bukan sekadar simbol, tapi sebagai pembakar semangat untuk menjadi yang lebih terbaik! Insya Allah…

Terima kasih kepada Adnan sebagai penaja persalinan aku (aku tak perlu beli baju baru pun untuk majlis ni hehe) dan juga Pijan sebagai pengapit aku (haha! teman setia -lah lebih kurang). Pijanlah yang banyak tolong peringatkan aku tentang banyak benda termasuk tentang persediaan untuk majlis ni. Macam nak kahwin je kan? Hmmm.. aku tahu apa yang korang fikir…hehe. Selamat datang ke dunia baru! Selamat Merdeka Malaysia!

08 August 2007

Senyum Tangis Pening :: BMW Shorties Screening





Semalam propaganda BMW Shorties Screening keluar Kosmo.. satu muka surat besar.. kecoh kejap satu kampung haha! Apa-apa pun, aku tak sabar nak jemput semua komiti program untuk Malam Jasamu Dikenang .. Insya Allah..

02 August 2007

Isu Lelaki Bermekap Kumpulan Zapin UIAM

Hmm... isu budak-budak Zapin memakai mekap ini sebenarnya sudah membosankan bagi kami. Kadang-kadang kami dikelirukan oleh macam-macam cakap-cakap orang. Mereka bising, kemudian senyap. Tanpa dalil, tanpa alasan. Sekadar mencetuskan kontroversi barangkali. Untuk itu saya hadiahkan entri ini untuk mereka. Ini adalah pendirian kami, IIUM Zapin Group.
Satu peringatan, kami amat jarang memakai mekap ketika membuat persembahan. Jika kami memakai mekap sekalipun, ia bukanlah kerana kami mahu menyerupai perempuan. Kami sudah cukup berbangga memiliki wajah tampan untuk digilai wanita-wanita normal! Walau apapun, komen dan pandangan anda amat kami alu-alukan.

HUKUM LELAKI MEMAKAI MEKAP
Hukum asal sesuatu perkara termasuklah perhiasan adalah HARUS, melainkan ada dalil yang mengharamkannya. Jadi, pakai bedak umpamanya, untuk mengelakkan muka berminyak tidak dilarang oleh mana-mana nas syarak.

Malahan syarak menggalakkan seseorang muslim berketrampilan bersih dan kemas. Dalam hadis sahih Muslim dan lain-lain:
"Tidak masuk syurga orang yg ada dalam hatinya takabur walau seberat zarah"
lalu sahabat bertanya: Apa pendapatmu tentang seorang lelaki yang suka pakaiannya cantik, dan sepatunya cantik.
kata Nabi: "Sesungguhnya Allah cantik, dan sukakan kecantikan. Takabur ialah: tidak menerima kebenaran, dan memperlekehkan manusia".

TETAPI
Sesuatu perkara yang HARUS pada asalnya, boleh bertukar kepada haram dengan sebab perkara luaran. Contohnya dalam permasalahan kita, seorang yang bermekap dengan tujuan untuk membuat persembahan yang haram, atau untuk berlakon dalam perkara yang dilarang syarak, atau memakai mekap kerana mahu menyerupai wanita, atau memakai mekap yang diperbuat daripada perkara haram. Walaupun hukum asal ialah HARUS, tetapi bertukar kepada HARAM dengan sebab luaran.

Untuk mudah memahami, ulama Usul membahagikan HARAM kepada jenis.
1) Haram pada zatnya: seperti zina, mencuri
2) Haram kerana sifatnya: seperti arak haram kerana memabukkan.
3) Haram kerana perkara luaran: seperti membeli pisau tujuan untuk bunuh orang. (Beli pisau: HARUS, tetapi bunuh orang :HARAM, jadi beli pisau pun jadi HARAM.

Masalah lelaki mekap ini, boleh masuk bahagian ketiga, sekiranya tujuannya haram. Kalau tiada bercampur dengan perkara haram maka hukum ASALNYA HARUS.

Wallahu a'lam.

Sumber: http://www.al-ahkam.net/

BMW Shorties Screening

Meski ramai yang mahu menang dan menjadi sebahagian daripada sejarah, namun tidak semua mahu kecewa dan menjadi sebahagian daripada yang kalah.

MISTERI YANG MAHAL
BMW Shorties Screening, sebuah program yang penuh misteri pada asalnya (ibarat misterinya filem Westbound) akhirnya membuatkan aku tersenyum lega juga. Ternyata bukan mudah untuk menganjurkan sebuah program bersama-sama dengan sebuah syarikat korporat besar seperti BMW. Segalanya hanya bermula dari satu emel, kini semuanya sudah jadi sejarah. Sejarah yang sangat mahal untuk Mahallah Ali yang baru berusia sepuluh tahun. Mahal-lah tu kan? Tahu bagaimana kami mendapatkannya? Program ini diadakan selama dua malam berturut-turut. Sepuluh filem pendek yang merupakan finalis pertandingan BMW Shorties ditayangkan secara percuma sambil diselitkan dengan sesi soal jawab bersama pengarah-pengarah filem terbabit. Pop corn dan air coke percuma sumbangan BMW juga dihidangkan untuk semua yang datang sebagai cenderahati.

MULA MENCARI PENYAKIT
Mulanya, idea ini hanya datang dari empat orang MRC pencen (yang sengaja mencari penyakit haha!) iaitu Zamri, Syarafuddin, Haeqal (bakal pencen) dan aku. Selepas seronok menonton filem-filem BMW Shorties di “bilik gerakan rasmi” kami, satu idea tiba-tiba tercetus. Lantas satu perjumpaan diatur dengan syarikat perhubungan awam BMW iaitu Fleishman Hillard di Mid Valley pada awal April 2007. Gerak kerja dimulakan dengan bantuan rakan-rakan seperti Engku (terima kasih untuk poster yang cun walau terpaksa diperbetulkan berpuluh-puluh kali haha!) dan juga Alif (pakar linguistik kami hehe). Mujur gerak kerja kami bermula awal, maka tidak banyak perkara yang menimbulkan kekalutan. Segalanya berjalan lancar. Kami menerima hampir 70 orang ahli jawatankuasa ikhlasrela - ibarat satu keajaiban buat aku. Sayangnya kami terlepas pandang akan aspek teknikal yang amat-amat penting untuk sebuah program berkonsepkan “pawagam” seperti BMW Shorties ini. Tayangan hari pertama, sangat mengecewakan kerana terlalu banyak kesilapan audio visual berlaku. Siapa yang suka tengok wayang yang filemnya tersekat-sekat kan? Hari kedua kami kuatkan azam. Terima kasih kepada Fleishman Hillard yang banyak membantu kami. Semua yang datang seperti para pelajar, wartawan, pengarah-pengarah filem, syarikat-syarikat produksi dan juga tetamu khas kesemuanya berpuas hati. Alhamdulillah.
PROTOKOL DAN PENGHALANG
Suatu perkara yang aku sangat suka apabila bekerja dengan BMW adalah dari aspek protokol. Mereka bukanlah orang-orang yang terlalu berprotokol seperti yang kita bayangkan. Tiada sofa empuk untuk mereka, tiada pop corn atau air coke yang berbeza untuk mereka. Apa sahaja yang dinikmati oleh penonton, itulah juga yang mereka mahukan. Tiada diskriminasi. Semua orang adalah VIP. Suatu idea yang murni. Program juga menjadi sangat santai tetapi menghiburkan – pujian untuk celoteh mesra pengacara majlis, Faiz. Ramai yang bertanyakan kenapa BMW memilih UIAM untuk menjadi tuan rumah program ini? Jawapannya, mungkin kerana kami sangat teruja dengan filem-filemnya yang pendek tetapi “panjang” mesej dan kualitinya. Kami terlalu komited untuk berkongsi rasa teruja kami dengan semua peminat filem. Memetik kata-kata Pengurus Hal Ehwal Korporat BMW, ramai yang berminat untuk membuat program seperti ini dengan BMW. Namun Mahallah Ali sahaja yang berjaya memecahkan tembok penghalang. Malah kami menjadi inspirasi untuk mereka mengadakan road tour seluruh Malaysia pula. Dan BMW turut menantikan sekurang-kurangnya satu penyertaan untuk mewakili UIA dalam pertandingan BMW Shorties pada tahun depan. Berminat? TANGISAN DAN SENYUMAN
Program ini sememangnya ringkas (sependek namanya), tetapi mengambil masa hampir empat bulan untuk direalisasikan. Kami sedar bahawa kami membawa nama UIA kepada komuniti luar kampus. Jadi, kami sedaya upaya melakukan yang terbaik. Sejuta penghargaan kepada semua yang menyokong kami. Namun kami sedar tidak semuanya sempurna, maka ampun maaf kami mohonkan. Kami menangis pada hari pertama program ini. Syukur, rupa-rupanya itulah hikmah yang membawa kepada senyuman pada hari keduanya. Bak kata Syarafudin, ramai yang mahu menang dan menjadi sebahagian daripada sejarah, namun tidak semua mahu kecewa dan menjadi sebahagian daripada yang kalah.

Jumpa lagi pada tahun depan.. mungkin?