15 September 2007

FESZAM 2007 Yang Mengejutkan

CERITA SEMALAM
Tahun lepas kami cukup berbangga kerana diberikan peluang oleh pihak universiti untuk menubuhkan kumpulan zapin pertama di UIAM. Lebih manis, persembahan pertama kami adalah di UTM Skudai sebagai mewakili UIAM di Festival Zapin Johor MAKUM 2006. Tiada apa yang diharapkan kecuali sekadar mewakili universiti – kata abang Khalid, koreografer kami.
CERITA HARI INI
Tahun ini Festival Zapin datang lagi dan kami baru saja berusia setahun lima bulan. Namun, sebagai lambang terima kasih kepada semua yang menyokong perjuangan kami, kami tetap memasang tekad untuk membawa pulang sesuatu sempena Festival Zapin MAKUM 2007. Sekurang-kurangnya dikategorikan sebagai pemenang Anugerah Perdana (untuk kumpulan yang memungut markah keseluruhan 60%-79%). Setidak-tidakpun diikitiraf sebagai Kumpulan Harapan. Tapi tanpa sedar, rupa-rupanya telah berlaku sesuatu yang jauh lebih mengejutkan daripada itu. Semuanya berlaku bagaikan mimpi.

Berikut adalah keputusan penuh Festival Zapin MAKUM tahun ini:
Johan: Universiti Putra Malaysia (UPM)
Naib Johan: Universiti Tun Hussein Onn (UTHM)
Ketiga: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Anugerah Khas Juri: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Anugerah Penari Lelaki Terbaik: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Anugerah Penari Wanita Terbaik: Universiti Putra Malaysia (UPM)
Anugerah Penataan Terbaik: Universiti Putra Malaysia (UPM)
Anugerah Busana Terbaik: Universiti Putra Malaysia (UPM)
Anugerah Tatarias Terbaik: Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
Anugerah Kumpulan Berbakat: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)



ANUGERAH SERI PERDANA
Kejutan yang pertama, kami berjaya memenangi Anugerah Seri Perdana (markah 80% ke atas) sebaris dengan empat universiti lain iaitu UPM, UTHM, USM dan UPSI. Anugerah Perdana pula dimenangi oleh UTM dan USIM. Manakala Anugerah Utama pula membariskan UNIMAP, UMP, dan UMT. Memang penyertaan tahun ini tidak melibatkan beberapa nama besar lain seperti UNIMAS, UUM, UM dan UiTM, tetapi kejayaan kami memenangi Anugerah Seri Perdana sudah cukup membanggakan aku. Bukan mudah untuk berdiri sebaris dengan universiti-universiti lain yang jauh lebih senior daripada kami dalam bidang tarian ini. Hei, kami cuma menyasarkan anugerah perdana sahaja ok!


ANUGERAH PENARI LELAKI TERBAIK
Kejutan kedua, salah seorang penari kami, Norahman Suradi dinobatkan sebagai Penari Lelaki Terbaik,. Maman, anda satu antara seribu pada malam itu tau. Kejayaan Maman benar-benar membanggakan kami. Mana tidaknya, antara lebih 50 orang penari lelaki yang lain, Maman juga yang mencuri hati Juri. Terima kasih kerana menambahkan lagi anugerah kemenangan kita. Untuk makluman, pemilihan tiga tempat teratas adalah berdasarkan markah dan juga jumlah anugerah yang dimenangi. Maka semestinya semua peserta ingin merangkul sebanyak mungkin anugerah yang dipertandingkan.

ANUGERAH KHAS JURI
Kejutan ketiga, kami membawa pulang anugerah yang telah kami idam-idamkan pada tahun lepas iaitu Anugerah Khas Juri. Aku suka dengan anugerah ini kerana ia sangat misteri dan paling penting ia adalah pemberian khas daripada Juri. Pastinya kami akan terus tertanya-tanya kenapa Juri memberikan hadiah ini kepada kami kerana tiada kriteria khas tentang cara pemilihannya.

Kejutan keempat, kami beranggapan kami tidak layak untuk memenangi tiga tempat teratas kerana kami telah diberikan Anugerah Khas Juri. Ini berlaku kepada pemenang tahun lepas. Tapi, tanpa disangka-sangka kami berjaya juga mendapat tempat ketiga keseluruhan! Fuh, memang hilang suara menjerit meraikan kemenangan malam itu! UPM menepati ramalan dengan Zapin Ghalit yang sangat unik dan mengasyikkan. Muzik dan langkah gaya mereka sangat profesional dan menarik. Mereka memang layak menang setelah menggondol 4 anugerah utama yang lain.


SYUKUR ALHAMDULILLAH
Aku akui kejayaan ini terlalu besar untuk kami. Empat anugerah besar dalam satu masa dengan pengalaman kurang dari setahun, latihan yang tidak sampai sebulan dan mewakili sebuah Universiti yang tidak penah dikenali langsung dalam bidang seni tari di Malaysia. Tidak hairanlah kalau Lan tidur pun tersenyum, Razz pula asyik terbayang-bayangkan suasana malam itu, Maman pula masih merasakan semuanya bagaikan mimpi, dan semua orang masih asyik tersenyum lebar. Tak tahu bagaimana nak melahirkan rasa gembira dan syukur atas kejutan ini. Sekalung tahniah buat Koreografer kami, Abang Khalid atas koreografi yang mengagumkan, juga kepada semua ahli kumpulan zapin UIAM yang sentiasa berusaha melakukan yang terbaik. Bergaduh-gaduh kecil tu biasalah kan? Hehe.. Terima kasih Khalid, Syazwan, Che Mat, Shah, Maman, Razz, Lan, Amer, dan Adnan atas setiap peluh yang menitik demi menaikkan nama kelab kita.

Owh! Adakah aku terlalu membanggakan diri? Adakah aku terlalu menunjuk-nunjuk? Maaf itu bukan niat aku. Semuanya adalah demi sebuah kenangan yang aku tak mahu lupakan. Hmmm..bukankah laman ini aku dedikasikan buat diri sendiri? Hehe.. Teruskan perjuangan teman! Ingat, mengekalkan kemenangan adalah lebih sukar daripada mencipta kemenangan.

6 comments:

Anonymous said...

tahniah...team zapin UIAM..
korang menang besar n menang sorak malam tu...=>

Nizam Ahmad said...

tenkiu so much! nak kenal gak sapa skygurl123 nih ek.. buleh? hehe...

Anonymous said...

nk kenal?
sy ni peminat zapin cam en nidxam gak...=>

it's jenn. said...

woot!

lamer giler x lompat2 ke blog org..

hebat seyh uia!!

ni bangger nieh!!

memang comprehensive excellence laa!! heh~

Anonymous said...

jap! nk tanya.. nizam ko dah abeh pn masih bleh mewakili uia? bekas pelajar pn bleh ke? klo pantun pon mcm tu jgk ke?

Nizam Ahmad said...

azz: selagi kita belum konvo, bermakna kita masih pelajar. jadi masuk jelah pertandingan apapun huhu~