05 November 2007

Pilih Satu Saja..!

Baru dua minggu bekerja dikelilingi pakar-pakar seni budaya di sini, aku sudah sedih dengan diri sendiri. Kadang bingung kadang terkilan.

Aku bertemu dengan pelukis-pelukis mampan dari Balai Seni Lukis Negara. Aku berbual bicara dengan koreografer bertauliah dari Istana Budaya. Aku mendengar cerita daripada pakar kraftangan, grafik dan lukis melukis. Aku berkenalan dengan penulis-penulis baru yang sangat tekun dengan usaha mereka. Dan ramai lagi yang pastinya akan datang.

Mereka begitu teruja bercerita. Malangnya aku begitu sedih mendengar. Baru aku sedar yang aku langsung tidak berusaha untuk menjadi pakar sepertimana mereka kerana aku terlalu mengejar semua perkara dan akhirnya ketinggalan segala-galanya.

Zaman sekolah aku senang sekali memahirkan diri dalam bab pengucapan umum dan penulisan (terutamanya cerpen dan puisi). Buku dan novel jadi teman setia. Bahasa Melayu memang disanjung tinggi. Terselit harapan untuk bergelumang dalam bidang penulisan suatu hari nanti. Sekarang, aku hanya ada blog yang satu ini.

Begitu juga dengan warna-warna dari berus lukisan dan pen grafik yang sentiasa memenuhi ruang kosong kertas. Segala jenis teknik dicuba dan melahirkan kepuasan yang tak sudah-sudah. Malah pernah aku potretkan wajah pengantin kakak. Sekarang, berus lukisan pun aku dah kekok nak pegang.

Zaman kampus, aku belajar seni suara pula. Baru aku mengerti tentang harmoni, falsetto, suara 2, suara 3, dan macam-macam lagi. Lagu-lagu nasyid dan rnb jadi siulan. Hampir-hampir menerbitkan album. Sekarang aku hanya menyimpan dua lagu demo yang sempat dirakamkan dulu.

Kesusasteraan Melayu terutamanya pantun turut jadi kegilaan. Empat tahun aku mewakili universiti ke festival pantun serata tempat. Masih berangan-angan untuk menerbitkan buku koleksi pantun sendiri. Sekarang hanya punya koleksi puisi persendirian buat tatapan sendiri.

Sebelum kaki meninggalkan zaman universiti, masih sempat mempelajari seni tari zapin. Kalau dulu sekadar menghentakkan kaki, kini aku sudah tahu beberapa jenis zapin di Malaysia terutamanya zapin Johor. Tapi masih banyak jenis zapin lain yang belum sempat dipelajari tetapi terpaksa ditangguhkan untuk mengutamakan alam kerjaya yang baru bermula.

Ada beberapa lagi bidang seni yang aku pernah cuba tapi sekadar dicuba. Seni khat, teater, grafik, fotografi, setakat yang teringat. Tapi tiada satupun yang aku betul-betul mahir. Atau sekurang-kurangnya berusaha untuk menjadi mahir. Pernah aku duduk mentelaah ruang fikir mencari kata selesai. Tapi entahlah. Apakah kerana aku terlalu tamak-minat dengan segala cabang seni budaya? Atau aku takut dengan komitmen dan bermalas-malasan? Kekurangan material dan kewangan. Tidak tetap pendirian dan mudah bosan.

Aku sedang berusaha untuk memilih sekurang-kurangnya SATU cabang seni untuk aku dalami sedalam-dalamnya… tolonglah saya…!

6 comments:

Dewangga Sakti said...

Salam hormat kepada Nizam,
Jangan bersedih. Bakat yang ada jangan disia-siakan.Mungkin belum masanya lagi jadi seperti mereka.
Setapak demi setapak,insyaallah boleh menuju ke situ.
Ini namanya multi-talented.Terdapat individu yang memakai banyak tag di kepala mereka dan mereka berjaya.Cendekiawan Islam dahulukala terlatih dalam lebih daripada satu bidang.
Teruskan berjuang

Anonymous said...

sedih la plak aku membacanya hahahaha aku lebih kurang cam ko la.. tapi aku sentiasa berusaha attend satu2 interest aku, dan berusaha menjamkannya setiap kali.. kawan aku dok madinah cakap.. kalu nak satu bende tu kene sematkan dalam hati, sebut selalu.. insyaAllah, kalu bende baik Allah akan balas juga kesabaran kita.. yang penting jgn buang terus apa yang kita ada.. mcm aku sekarang, daripada masuk bertanding..dah dpt peluang mengajar budak skolah berzapin (degilnyer budak2 tuh!), semua bermula dengan berangan nak miliki production house sendiri, dan aku yakin jalan kearah itu biar lambat akan sampai jua!!

Zamri Mohamad said...

kau ada kenal penulis bolehlah kenal-kenalkan hahahaha

Anonymous said...

jd penulis or novelis ok gk ape...huk2...sonok bace ape yg a.nizam tulih aka taip sbenar nye...tp ok wat...xe unsur poyo yg bahase nye cm ala2 jemu org nk bc...xde unsur keterlaluan...bg sy ok n kool...ape kate try n tros kn....try yg bkn skadar try tp try yg mmg btol nk ade achivement in dat particular field...bakat da ade...nk gilap ag je...hee...ape pn yg a.nizam buat,sume sy sokonh je sbb a.nizam best!!!

Anonymous said...

Salam...
Semua ada cita-cita, semua ada harapan dan semua ada impian. Tidak semua akan kita dapat..tapi kalau ingin memilikinya juga...berusahalah.
Tidak ada datang bergolek. Tidak ada datang bertandang.
Nizam, jadilah diri sendiri. Jangan takut dengan mencuba sesuatu yang baru atau sesuatu yang diidamkan. Cuma perlu yakin pada diri sendiri. Pasti berjaya!!!

Anonymous said...

You are mistaken. Let's discuss it. Write to me in PM, we will talk.