11 July 2008

Perempuan dan Air Mata

Sesungguhnya telah diciptakan perempuan itu kekuatan bahunya untuk menahan lenguh dek sandaran kepala anak kecilnya yang sedang lena; meski bahu itulah yang menanggung azab sengsara caci cela seorang anak yang telah dibesarkan.
DijadikanNya perempuan itu daripada tulang rusuk untuk melindungi jantung dan hati seorang lelaki bernama suami; meski lelaki itulah yang melukai dan menghancurkan hati seorang perempuan bernama isteri.
Lantaran itulah diberikan perempuan akan air mata untuk digunakan pada bila-bila masa diperlukan; sebagai perlambangan ketidaktentuan rasa dalam mendepani keluh kesah hidup.
Menangislah; jika itu mengurai resah.
Menangislah; itu bukan lambang kelemahan.
Menangislah; kerana itulah alir sejarah penghidupanmu.

Buat pertama kalinya aku melihat air mata itu jatuh berjujur-jujur membasahi pipinya. Setelah sekian lama dia menyimpan air mata itu daripada tumpah, akhirnya hari ini dia mengaku kalah. Ternyata dugaan itu terlalu berat untuk dia. Betapa hatinya terlalu terluka.

"Nisaa, terimalah Zam, jadi pengganti Rizzal."

Tidak semena-mena malah terlalu tiba-tiba dan tanpa amaran; Rizzal dengan kekuatan jantannya menyepak terajang segala pintu peti yang ada di minda Nisaa. Terlampau terkejut kotak fikir Nisaa bilamana Rizzal menerjah setiap ceruk peti mindanya dan seperti orang kerasukan disiat-siatkan oleh Rizzal akan catitan janji, dikoyak-koyakkan oleh Rizzal gambar kenangan lama, dicampakkan jauh kenangan antara mereka. Malanglah pula Nisaa kerana dikutipnya pula segala yang dibuang Rizzal, dicantum dan disusunkan agar balik seperti asalnya kerana Nisaa tahu dia sudah tidak punya hari ini, sudah tidak punya hari esok, sudah tidak punya masa depan, melainkan cerita-cerita semalam semata-mata. Kenangan yang telah dicarik-carik, itu sahajalah kepunyaannya.

Dia biarkan sahaja air mata itu mengalir. Tak disekat tak dihentikan. Dicuba lepas segala gundah. Moga-moga itu bisa membuatkan hatinya tenang semula.

“Maafkan aku Zam. Izinkan sekali ini sahaja aku menidakkan kata-kata Rizzal. Hatiku telah terkubur bersamanya.”

Harapan, itulah yang menguatkan kita. ♥

2 comments:

Anonymous said...

cerita ini berdasarkan cerita betul atau hanya khayalan sahaja?

Artozy said...

air mata perempuan?

kalah.