31 August 2008

Cuaca Alam Fikir

Sekarang musim yang tak tentu. Siang panas melengit. Petang hujan lebat. Malam ribut petir sambar menyambar. Cuaca berubah-ubah menyanggah ramalan manusia dan memberi peringatan agar manusia jangan berlagak seperti Tuhan. Kuasa Tuhan tidak terjangkau. Bukit Tinggi di Pahang tiba-tiba dilanda gempa kecil. Kuala Muda di Kedah pernah disimbah air laut. Siapa yang pernah meramalkan kerja Tuhan ini?

Beberapa hari ini aku beremosi atas faktor cuaca juga. Ruang fikir yang tak tentu perubahan cuacanya. Sepertimana Tuhan mahu kita mengerti itulah perlambangan antara alam dan manusia. Apabila hujan menitik, aku rasa seperti dipenjara. Apabila panas membakar, aku membara. Apabila malam menghimpit sejuk, aku tersepit di celah-celah rindu. Apabila embun bermain-main di hujung daun, hatiku ngilu. Aku sudah terlalu sakit dipermainkan cuaca alam fikir. Meski telah lama aku deritakan sakit ini tapi kebahnya tetap tak kunjung tiba.

Dalam jangka waktu empat tahun, sudah empat kali aku terlantar di rumah sakit kronik. Belum dihitung seksa di katil kamar. Berulang-ulang kali diguris ditoreh perit. Manakan tidak kalau lukanya pasti di parut yang sama. Kalau dilihat dari imbasan sinar-x, semestinya telah hitam legam kesannya.

Tapi otak aku empat kali lebih hitam. Degil hendak mencegah. Konon betah merawat. Nah! sekarang aku sudah mati rasa. Mati sendi. Mati urat saraf. Hanya menanti matinya nyawa.

Seharusnya aku berterima kasih pada empat jasad itu yang datang bersilih ganti. Ibarat tabib selama mencari kedewasaan. Mengajar eja nama-nama ubat yang sepatutnya aku telan. Memberitahu pahit itulah penawar. Sakit itulah hikmat. Kawan mengertikan, itulah sakit cinta namanya -annidxam

"Nurmala adalah tembok yang kukuh Kal .." katanya.
"dan usahaku ibarat melemparkan lumpur ke tembok itu," sambungnya optimis.
"Kau sangka tembok itu akan roboh dengan lemparan lumpur?" tanyanya retorik.
"Takkan! Tapi lumpur itu akan membekas di sana, apa pun yang kulakukan, walaupun ditolaknya mentah-mentah, akan membekas di hatinya," kesimpulannya berfalsafah.

- Sang Pemimpi, Andrea Hirata muka 150

21 August 2008

Tiada Lagi Songkok Konvo UIAM

Inilah uniform terbaru untuk istiadat Konvokesyen UIAM. Tak ada lagi songkok yang unik dan membezakan UIA dengan universiti-universiti lain. Teringat kenangan mengenakan songkok UIA untuk ke jemputan majlis-majlis rasmi, malah untuk berzapin, berpantun dan bernasyid. Malah ada kawan-kawan yang memakainya ketika majlis pernikahan. Kadang-kadang berselisih bahu dengan lelaki yang bersongkok UIA ketika bersembahyang Jumaat dan juga di tempat kerja. Aku juga masih bersongkok UIA setiap hari Jumaat di pejabat.

Tapi, kenangan hanya tinggal kenangan. Dan hari ini seramai 3,158 orang pelajar UIA menghantar memorandum membantah pemansuhan penggunaan songkok ini. Teringat kata-kata seorang kawan bernama Faiz, "You laugh at me because I am different. But I laugh at you because you are all the SAME."

Antara info menarik tentang penukaran uniform konvo ini:

1. Untuk meningkatkan imej UIAM serta menyelaraskan bentuk seragam hari konvokesyen secara yang lebih standard sebagaimana universiti-universiti yang ada sekarang.

2. Melambangkan kematangan serta keterampilan sebenar tahap profesionalisme warga universiti berkenaan.

3. Kajian perlaksanaannya mengambil masa setahun manakala kos yang diperuntukan bagi menyediakan seragam baru untuk seluruh warga konvokesyen UIAM ini menelan belanja tidak kurang RM2.1 juta.

4. Selain bertukar kepada imej topi keras bertali yang standard, jubah para graduan juga turut berimej baru dengan menampilkan warna dan corak baru yang lebih eksklusif.


Apa mungkin pada Majlis Konvokesyen ke 50 nanti, graduan UIAM akan memakai serban pula, atau kopiah barangkali atau topi keledar keselamatan? Hehehe yelah umur dah 50 kenalah pakai serban. Atau apa sahaja penutup kepala yang baru agar selaras dengan kematangan usianya? Bak kata Mukhtar Suhaili , "anda fikirlah sendiri".


Tak salah kalau kita hidup dalam kenangan kan? Apatah lagi kalau kenangan itu membahagiakan dan membanggakan. Apa kata anda?



14 August 2008

Musim Mengawan dan 3 Analisis Calon :)

Musim cuti sekolah adalah musim mengawan hahaha. Ramai yang berkahwin bermula 16 hingga 24 Ogos ni. Tahniah kepada semua. Masalahnya, penyakit mengawan ni berjangkit juga kepada aku. Eh bukan aku nak kahwin, tapi orang-orang di pejabat ni yang susah-susah nak fikirkan calon isteri untuk aku hehehe~

Semalam dua orang akak kerani di pejabat aku ni suruh aku senaraikan ciri-ciri perempuan idaman. Dimohon tulis di atas sehelai kertas putih. Aku blur sekejap. Sebab memang sejak dulu tak pernah terfikir tentang ni. Soalan tu pula diberikan semasa mesyuarat bahagian sedang berjalan. Kurang konsentrasi sikit hehehe~

Ermm terasa nak kongsikan di sini ciri-ciri yang aku senaraikan. Nanti kalau aku terlupa, boleh aku buka blog aku ni semula. So here it goes:

1. Tak cantik, tak anggun tapi manis dipandang – cantik sangat susah nak jaga hehehe~
2. Ceria, happy go lucky dan tak emosional sangat – sebab aku tak suka orang emosional tanpa sebab atau tak mahu bagitahu sebab hehehe~
3. Pandai masak dan pandai buat kerja rumah – haha sebab aku ni rajin mengemas rumah tapi tak pandai memasak, jadi aku perlukan pembantu yang bagus hehehe~
4. Yang penting dapat terima aku seadanya – sebab aku ni terlalu banyak kekurangan tak kira material ataupun fizikal :(

Selepas aku serahkan senarai tu kepada dua akak tadi, dia orang buat analisis. Keputusannya diserahkan kembali kepada aku ketika mesyuarat hampir tamat. Rupa-rupanya, dia orang senaraikan 3 calon untuk aku. Setiap calon dinilai mengikut kriteria yang aku senaraikan tadi. Tergelak besar sekejap aku sebab ketiga-tiga calon tu memang aku kenal. Hahaha terima kasihlah atas keprihatinan Kak As dan Ana. Akan saya simpan sampai bila-bila analisis 3 calon tu hehehe. Tapi nantilah saya timbang-timbangkan ya. Sebab sekarang ni ada sesuatu yang lebih besar untuk difikirkan.

My career.

Sebenarnya sekarang ni aku sedang menghitung hari-hari terakhir bekerja di kementerian kesayangan aku ni. Sejak Oktober 2007, aku hanya staf projek. Kemuncak projek ni adalah Mesyuarat Agung di Hang Zhou, China pada 4-16 November nanti. Kalau ada rezeki, mungkin sempat juga aku terbang ke China. Itupun kalau tak ada syarikat lain yang melamar aku. Justeru, sekarang aku sibuk mengisi borang permohonan kerja ke mana-mana sahaja yang sesuai dengan kelayakan aku... sebelum November menjelang.

Jadi aku terpaksa abaikan sekejap soal perempuan idaman. Sebab kerjaya idaman adalah lebih utama buat masa ni.

p/s: Ada sesiapa nak bagi borang? Hehehe~

11 August 2008

Rangkuman Sebulan :)

Aku melewati beberapa minggu yang agak memenatkan tapi menyeronokkan. Dah lama aku nak sibukkan diri dengan perkara-perkara semacam ni, tapi hanya sekarang aku dapat memanfaatkannya. Terima kasih kepada dia, seorang sahabat baru yang punya cita rasa yang sama dengan aku dalam hampir segala hal. Dialah yang banyak membawa aku kepada pelbagai aktiviti kesenian sekitar Kuala Lumpur. Almaklumlah, dia Pegawai Kebudayaan yang dikenali ramai :)

26-27 Julai: Taman Budaya KL
Dua hari aku bermukim di Taman Budaya KL menyaksikan Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka peringkat WP Kuala Lumpur. Berbanding negeri-negeri lain, KL merupakan kawasan paling banyak menerima penyertaan. 73 orang kesemuanya. Pertandingan saringan berlangsung dari pagi hingga ke petang. Tak banyak pembaharuan dari segi gaya deklamasi, tapi kesungguhan peserta kategori Bukan Bumiputera membuka persepsi baru. Aku tak bersedia untuk turut bertanding, tahun depan Insya Allah hehehe~

26 Julai: Teater Tari Peta’ka
Sebelah malam aku ke Panggung Bandaraya menyaksikan teater produksi artis-artis DBKL bertajuk Peta’ka. Ternampak beberapa wajah yang dikenali. Kenangan Citrawarna 2008 hehe. Sebenarnya, inilah pertama kali aku berkenalan dengan teater tari. Penceritaannya disampaikan melalui gerak tari dan dibantu dengan suara latar (voice over). Mereka menari sambil berlakon. Berbeza dengan teater muzikal yang menyanyi sambil berlakon. Terasa besar cabarannya untuk menjadi “pelakon-tari” yang berkesan.

1-3 Ogos: Seminar Perpaduan
Dua minggu lepas pula aku ke Melaka yang kini dikenali sebagai Bandaraya Warisan Dunia. Bukan lagi Bandaraya Bersejarah ya. Aku bukan peserta seminar, tapi sekadar mengadakan pameran muzik dan permainan tradisional Melayu. Berkesempatan juga menjejakkan kaki di Taman Budaya Melaka yang tersergam indah buat pertama kalinya.

Seminar ini diadakan di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC). Apa yang menarik tentang seminar perpaduan yang dianjurkan oleh Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional ini adalah kesungguhannya mendedahkan budaya dan cara hidup setiap bangsa utama di Malaysia kepada pelajar-pelajar pelbagai bangsa yang dijemput sebagai peserta seminar. Malah kesemua peserta berpeluang menikmati makanan mengikut tradisi masyarakat Melayu, Cina dan India.

Tapi kadang-kadang aku terasa sedih juga. Generasi sekarang perlu diajar tentang adat resam dan cara hidup bangsa mereka sendiri dan pengajarannya dilakukan di pusat konvensyen secara formal dan menelan belanja beribu-ribu ringgit. Walhal, semua ini mereka boleh belajar sendiri melalui pengalaman hidup di rumah ataupun di sekolah. Apa sudah jadi dengan masyarakat kita ya? Segala-galanya harus dikempenkan. Jika tidak, budaya akan terus ditinggalkan zaman.


8-9 Ogos: Mahallah Ali Leadership Camp (MALiC) sesi 2008/2009
Minggu lepas pula aku ke Bukit Lagong Selayang. Seperti biasa selaku mantan MRC Ali; aku, Zamri dan Hakim dijemput oleh Haeqal untuk menjadi fasilitator bagi kursus kepimpinan MRC baru. MRC tahun lepas agak mengecewakan sepanjang sejarah Mahallah Ali sehinggakan MALiC dan Annual Vision Award tidak dapat dianjurkan. Maka, untuk barisan kepimpinan kali ini di bawah Presiden baru – Syakir – ada harapan cuba disinarkan.

Maka tak menghairankan apabila tiga generasi MRC yang terdahulu sanggup turun padang bersama-sama ahli MRC Ali yang baru dilantik ini. Mereka berkhemah di Hutan Lipur Bukit Lagong selama dua hari untuk merencanakan tema program “Teamwork Makes the Dream Work”. Malangnya aku dan Zamri tak dapat berlama-lamaan di sana atas tuntutan kerja yang menanti. Namun, tidak seperti MRC tahun lepas, aku lebih berkeyakinan dan positif terhadap barisan MRC tahun ini. Hanya satu yang aku harapkan, kembalikanlah kegemilangan MRC Ali.

9 Ogos: Festival Filem Malaysia 2008 (FFM 2008)
Pulang dari MALiC, sebelah malamnya aku harus ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya untuk menghadiri program kementerian yang dianjurkan oleh FINAS. Festival Filem Malaysia seperti biasa diadakan secara sederhana. Tahniah kepada warga produksi filem Kala Malam Bulan Mengambang. Aku belum tengok lagi filem ni. Tapi selepas dianugerahkan sebagai Filem Terbaik FFM 2008 aku rasa aku mesti mendapatkan cakera padatnya.

17 Ogos: Festival Kesenian Kanak-Kanak dan Remaja KL (Pancawarna)
Minggu depan aku akan melibatkan diri sebagai salah seorang tenaga produksi program tersebut. Sebuah perarakan persembahan kesenian di bawah kelolaan Jabatan Kebudayaan WPKL sebagai persediaan untuk festival di peringkat kebangsaan. Konsepnya seakan-akan Citrawarna tetapi melibatkan pelajar-pelajar Tunas Budaya sekolah rendah dan menengah di sekitar KL. Kalau anda berkelapangan, jemputlah datang ya. Jam 8 pagi 17 Julai di Taman Tasik Titiwangsa.

Ada yang Terlepas
Disebabkan jadual hujung minggu aku penuh dengan aktiviti-aktiviti di atas, maka sudah empat kali aku terlepas temu janji dengan siaran langsung Akademi Nasyid. Kadang-kadang menonton secara online sahaja. Tambah malang pula, minggu lepas komputer aku demam terkena virus. Masih belum berkesempatan untuk disembuhkan.

Bukan itu sahaja, aku juga terlepas Festival Zapin Nusantara di Johor Baharu dan “World Marching Band Competition” di KL. Kedua-duanya program yang telah lama aku nanti-nantikan. Tapi apakan daya, kita tak mampu mendapatkan segala-gala yang kita mahukan. Aku hanya berharap pada rakaman video Zapin Nusantara daripada abang Khalid.

Majlis pembukaan Olimpik 2008 juga hanya sempat dijeling-jeling. Setakat yang sempat aku saksikan, persembahan padang mereka memang sangat hebat. Mungkin yang paling hebat sepanjang sejarah Olimpik. Ada siaran ulangan ke ek?
Fuh! Panjang sungguh entri kali ini hehe. Rangkuman aktiviti selama hampir sebulan. Sayang tak banyak gambar dirakamkan. Tapi rakaman kenangan di peti minda, tetap membuatkan aku sentiasa tersenyum.

01 August 2008

Separuh Hari Bersama Seniman Asmara

Dia, sebagai seorang seniman asmara, memang sukar untuk didalami hatinya. Memang susah untuk memaknakan tiap kata-katanya. Separuh hari takkan pernah cukup.
Aku, yang mahu jadi seniman hidup, sangat teruja menunggu setiap hari yang bakal dilalui. Sangat mengharapkan yang terbaik jadi milik kami. Separuh hari sudah amat memberi erti.
Dia dan dunianya. Melengkapkan aku dan duniaku.
Orang akan melupakan apa yang kamu katakan.
Orang akan melupakan apa yang kamu lakukan.
Tapi orang tak akan pernah lupa bagaimana kamu membuat mereka bererti.