11 August 2008

Rangkuman Sebulan :)

Aku melewati beberapa minggu yang agak memenatkan tapi menyeronokkan. Dah lama aku nak sibukkan diri dengan perkara-perkara semacam ni, tapi hanya sekarang aku dapat memanfaatkannya. Terima kasih kepada dia, seorang sahabat baru yang punya cita rasa yang sama dengan aku dalam hampir segala hal. Dialah yang banyak membawa aku kepada pelbagai aktiviti kesenian sekitar Kuala Lumpur. Almaklumlah, dia Pegawai Kebudayaan yang dikenali ramai :)

26-27 Julai: Taman Budaya KL
Dua hari aku bermukim di Taman Budaya KL menyaksikan Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka peringkat WP Kuala Lumpur. Berbanding negeri-negeri lain, KL merupakan kawasan paling banyak menerima penyertaan. 73 orang kesemuanya. Pertandingan saringan berlangsung dari pagi hingga ke petang. Tak banyak pembaharuan dari segi gaya deklamasi, tapi kesungguhan peserta kategori Bukan Bumiputera membuka persepsi baru. Aku tak bersedia untuk turut bertanding, tahun depan Insya Allah hehehe~

26 Julai: Teater Tari Peta’ka
Sebelah malam aku ke Panggung Bandaraya menyaksikan teater produksi artis-artis DBKL bertajuk Peta’ka. Ternampak beberapa wajah yang dikenali. Kenangan Citrawarna 2008 hehe. Sebenarnya, inilah pertama kali aku berkenalan dengan teater tari. Penceritaannya disampaikan melalui gerak tari dan dibantu dengan suara latar (voice over). Mereka menari sambil berlakon. Berbeza dengan teater muzikal yang menyanyi sambil berlakon. Terasa besar cabarannya untuk menjadi “pelakon-tari” yang berkesan.

1-3 Ogos: Seminar Perpaduan
Dua minggu lepas pula aku ke Melaka yang kini dikenali sebagai Bandaraya Warisan Dunia. Bukan lagi Bandaraya Bersejarah ya. Aku bukan peserta seminar, tapi sekadar mengadakan pameran muzik dan permainan tradisional Melayu. Berkesempatan juga menjejakkan kaki di Taman Budaya Melaka yang tersergam indah buat pertama kalinya.

Seminar ini diadakan di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC). Apa yang menarik tentang seminar perpaduan yang dianjurkan oleh Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional ini adalah kesungguhannya mendedahkan budaya dan cara hidup setiap bangsa utama di Malaysia kepada pelajar-pelajar pelbagai bangsa yang dijemput sebagai peserta seminar. Malah kesemua peserta berpeluang menikmati makanan mengikut tradisi masyarakat Melayu, Cina dan India.

Tapi kadang-kadang aku terasa sedih juga. Generasi sekarang perlu diajar tentang adat resam dan cara hidup bangsa mereka sendiri dan pengajarannya dilakukan di pusat konvensyen secara formal dan menelan belanja beribu-ribu ringgit. Walhal, semua ini mereka boleh belajar sendiri melalui pengalaman hidup di rumah ataupun di sekolah. Apa sudah jadi dengan masyarakat kita ya? Segala-galanya harus dikempenkan. Jika tidak, budaya akan terus ditinggalkan zaman.


8-9 Ogos: Mahallah Ali Leadership Camp (MALiC) sesi 2008/2009
Minggu lepas pula aku ke Bukit Lagong Selayang. Seperti biasa selaku mantan MRC Ali; aku, Zamri dan Hakim dijemput oleh Haeqal untuk menjadi fasilitator bagi kursus kepimpinan MRC baru. MRC tahun lepas agak mengecewakan sepanjang sejarah Mahallah Ali sehinggakan MALiC dan Annual Vision Award tidak dapat dianjurkan. Maka, untuk barisan kepimpinan kali ini di bawah Presiden baru – Syakir – ada harapan cuba disinarkan.

Maka tak menghairankan apabila tiga generasi MRC yang terdahulu sanggup turun padang bersama-sama ahli MRC Ali yang baru dilantik ini. Mereka berkhemah di Hutan Lipur Bukit Lagong selama dua hari untuk merencanakan tema program “Teamwork Makes the Dream Work”. Malangnya aku dan Zamri tak dapat berlama-lamaan di sana atas tuntutan kerja yang menanti. Namun, tidak seperti MRC tahun lepas, aku lebih berkeyakinan dan positif terhadap barisan MRC tahun ini. Hanya satu yang aku harapkan, kembalikanlah kegemilangan MRC Ali.

9 Ogos: Festival Filem Malaysia 2008 (FFM 2008)
Pulang dari MALiC, sebelah malamnya aku harus ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya untuk menghadiri program kementerian yang dianjurkan oleh FINAS. Festival Filem Malaysia seperti biasa diadakan secara sederhana. Tahniah kepada warga produksi filem Kala Malam Bulan Mengambang. Aku belum tengok lagi filem ni. Tapi selepas dianugerahkan sebagai Filem Terbaik FFM 2008 aku rasa aku mesti mendapatkan cakera padatnya.

17 Ogos: Festival Kesenian Kanak-Kanak dan Remaja KL (Pancawarna)
Minggu depan aku akan melibatkan diri sebagai salah seorang tenaga produksi program tersebut. Sebuah perarakan persembahan kesenian di bawah kelolaan Jabatan Kebudayaan WPKL sebagai persediaan untuk festival di peringkat kebangsaan. Konsepnya seakan-akan Citrawarna tetapi melibatkan pelajar-pelajar Tunas Budaya sekolah rendah dan menengah di sekitar KL. Kalau anda berkelapangan, jemputlah datang ya. Jam 8 pagi 17 Julai di Taman Tasik Titiwangsa.

Ada yang Terlepas
Disebabkan jadual hujung minggu aku penuh dengan aktiviti-aktiviti di atas, maka sudah empat kali aku terlepas temu janji dengan siaran langsung Akademi Nasyid. Kadang-kadang menonton secara online sahaja. Tambah malang pula, minggu lepas komputer aku demam terkena virus. Masih belum berkesempatan untuk disembuhkan.

Bukan itu sahaja, aku juga terlepas Festival Zapin Nusantara di Johor Baharu dan “World Marching Band Competition” di KL. Kedua-duanya program yang telah lama aku nanti-nantikan. Tapi apakan daya, kita tak mampu mendapatkan segala-gala yang kita mahukan. Aku hanya berharap pada rakaman video Zapin Nusantara daripada abang Khalid.

Majlis pembukaan Olimpik 2008 juga hanya sempat dijeling-jeling. Setakat yang sempat aku saksikan, persembahan padang mereka memang sangat hebat. Mungkin yang paling hebat sepanjang sejarah Olimpik. Ada siaran ulangan ke ek?
Fuh! Panjang sungguh entri kali ini hehe. Rangkuman aktiviti selama hampir sebulan. Sayang tak banyak gambar dirakamkan. Tapi rakaman kenangan di peti minda, tetap membuatkan aku sentiasa tersenyum.

2 comments:

Ejaylicious said...

HI...Salam bloggers...selamat berpuasa

Ejaylicious said...

HI...Salam bloggers...selamat berpuasa