18 May 2009

Hari Pertama di Permata

Hanya 28 orang eksekutif baru yang diterima masuk ke Petronas untuk sesi kali ni. Segalanya masih memuaskan hati dengan pusat latihan yang sangat selesa dan teman seperjuangan yang peramah. Disediakan juga tujuh buah komputer untuk melayari internet. Justeru aku boleh mengemaskini blog malam ni hehe. Tak lupa, makan percuma enam kali sehari yang akan membuatkan perut aku terus membuncit haha.


Program hanya akan bermula secara rasmi pada hari esok 19 Mei 2009. Hari ni sekadar lepak-lepak menikmati masa senggang yang belum tentu akan berulang lagi. Sempat juga bertemu muka dengan Asyraf, rakan yang sebelum ni hanya dikenali melalui Youtube. Kami berkongsi minat yang sama iaitu zapin. Tak sangka dia juga merupakan salah seorang warga Petronas (sejak tiga tahun yang lepas) dan kebetulan dia menjalani kursus di tempat yang sama. Tapi sayang, dia jauh di Terengganu. Kalau dekat, boleh juga buat kumpulan zapin di Kuala Lumpur huhu.


Hari pertama penuh dengan tanda tanya. Tak tahu apa yang akan berlaku 15 hari yang mendatang. Apatah lagi untuk meneka-neka apa yang akan terjadi 15 tahun yang akan datang. Aku telah membuat keputusan. Tak mungkin berpatah balik. Titik.



Kata Asyraf, di Petronas engkau mesti laju, sistematik dan tabah.

14 May 2009

Tempat Jatuh Lagi Dikenang

"Sometimes we have to be cruel in order to be kind."

Ayat di atas aku dapat daripada boss aku. Sebagai respon kepada kesusahan aku untuk berkata "tidak". Sebagai respon kepada kesusahan aku untuk membuat pilihan antara Petronas dan Kraftangan. Maknanya sekarang, aku telah bertindak zalim ke atas Kraftangan Malaysia sebab aku telah berkata "tidak" ke atas pelawaan jawatan yang diberikan oleh mereka. Tapi aku yakin dengan keputusan yang aku dah buat. Harapnya aku telah membuat keputusan yang betul.

Selain daripada kata-kata di atas, aku dapat juga hadiah-hadiah di bawah. Aku sangat senang hati untuk kongsikan gambar-gambar hadiah yang aku dapat supaya aku akan terus ingat akan segala pemberian mereka sampai bila-bila.

Hadiah daripada Encik Manan. Aku sangat jarang baca buku bahasa Inggeris. Apatah lagi buku motivasi. Mungkin sekarang aku ada sebab untuk memulakannya. Sangat berkesan untuk aku yang akan memulakan cabaran baru.

Hadiah daripada Unit Promosi Antarabangsa. Tempat terakhir aku berkhidmat di Kraftangan. Selama ni aku cuma ada baju batik lengan panjang. Tapi yang ini adalah baju batik lengan pendek. Dah lama aku rancang nak beli untuk dipakai semasa bekerja di luar waktu pejabat. Akhirnya hari ni aku dapat secara percuma. Tapi sekarang... aku tak tahu bila aku akan pakai baju batik lagi.

Hadiah kemeja lengan panjang daripada Bahagian Strategi Korporat (BSK) yakni pejabat pertama aku sebelum aku berpindah ke Unit Promosi Antarabangsa. Kemeja lengan panjang SEED yang dibalut oleh beg kertas yang sangat comel huhu~

Kad yang ditampal di atas hadiah baju SEED tadi. Antara ayat yang menyentuh hati:
"Semoga berjaya di tempat baru - Kak As"
"Tahniah dan jangan lupakan kami especially me - Che Ru"
"Jangan lupa amik lesen kereta - Kak Saadi"
~ hahaha

Yang ni pula hadiah daripada Nani. Awek comel dari BSK hehe. Ada dua ekor burung. Seekor terbang bebas. Seekor lagi dalam kurungan. Akulah yang dah terbang bebas tu. Tapi dia masih terkurung dalam Kraftangan. Haha~

Terima kasih kepada semua yang sudi berikan hadiah. Sebenarnya, dah banyak hadiah yang aku terima selama bekerja di sini. Aku pun memang minat dengan barang-barang kraftangan ni. Walau apapun, hadiah yang paling bermakna adalah kenangan yang berusia satu tahun 6 bulan selama aku mencari rezeki di sini. Ya, aku mungkin boleh bergembira di tempat kerja baru. Tapi manakan sama dengan gelak tawa di tempat lama. Bak kata orang tua-tua, tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat bermain.


Aku harap aku sentiasa punya waktu untuk kembali kepada masa dulu.

11 May 2009

Adikraf Penghidupan

Dalam kejaran masa
Setiap yang semalam
Terpaksa menama kenangan

Berlarilah kau ke mana sahaja
Seluas loka diteroka jua
Berlarilah kau ke mana sahaja
Esok, bukan lusa akhirnya


***


Ya. Hari ini aku berhenti di sini. Tapi esok aku akan mendaki di sana. Izinkan aku untuk terus berlari. Doakan aku tak jatuh tersungkur. Bukankah hidup hanya mati pada ajalnya?

Terima kasih khusus buat seluruh warga Kraftangan Malaysia. Jasa kalian terukir di ingatan. Kasih tersulam dalam kenangan. Budi yang ditempa pada pengalaman mencipta adikraf penghidupan. Jadi pedoman sepanjang zaman. Terima kasih semua.

22 Oktober 2007 - 13 Mei 2009

06 May 2009

Rintangan

i.
usah kamu menangis kalah
jika kita tidak bersatu
bukan kamu yang salah
jika kita terpisah jauh
banyak ruang merintang di depan
mencari kurang dalam hubungan

ii.
selamanya
sepanjang sejarah cinta diri
tetap kamu terindah abadi

05 May 2009

Mei 2009: Bulan Penentu Kerja

Setelah hampir 2 tahun menunggu, akhirnya hari ni aku dipanggil menghadiri sesi temuduga untuk jawatan tetap di Kraftangan Malaysia. Dalam masa yang sama aku dah pun dipanggil untuk melapor diri pada 18 Mei di Petronas dengan prospek kerja dan tawaran gaji yang lebih tinggi. Satu baru nak temuduga, satu lagi sudah mengeluarkan tawaran. Sempena Hari Pekerja, bulan Mei ini akan jadi penentu perjalanan masa depan karier aku.

Ada yang kata, pilihlah Kraftangan kerana statusnya sebagai agensi kerajaan. Terjamin dan selamat. Pilihlah Kraftangan kerana cintamu pada seni dan budaya. Pilihlah Kraftangan atas jalinan mesra selama hampir dua tahun dengan semua staf di sini. Pilihlah Kraftangan kerana aku boleh berkhidmat kepada segenap lapisan masyarakat. Daripada usahawan kraf di kampung-kampung sehinggalah kepada SPB YDP Agong. Pilihlah Kraftangan kerana aku boleh menonjolkan potensi diri yang lebih besar di sini. Pilihlah Kraftangan kerana aku mungkin akan dapat mengembara sambil bekerja ke seluruh dunia. Pilihlah Kraftangan kerana aku akan dimanjakan dengan pelbagai elaun dan insentif.

Kata kawan-kawan yang lain pula, Petronas itu sudah ibarat satu badan kerajaan yang lain. Kukuh dan berdaya saing. Pilihlah Petronas. Nanti sekali dapat bonus terus boleh kahwin. Haha! Pilihlah Petronas sebab senang nak naik LRT dan duduknya di tengah-tengah kota. Huhu. Pilihlah Petronas sebab nanti boleh belanja kawan-kawan selalu. Insya Allah. Pilihlah Petronas sebab kalau hidup dipandang tinggi, mati dipandang mulia. Haha yeke? Pilihlah Petronas kerana nanti boleh membantu karier adik beradik dan saudara mara yang lain. Pilihlah Petronas kalau kau sukakan cabaran dan mendepani risiko. Pilihlah Petronas kalau kau sukakan pengalaman baru dan suasana kerja yang berbeza. Pilihlah Petronas kerana itu sahaja pilihan yang kau ada.

Kalau tanya pada hati, Kraftangan akan memberi lebih kebahagiaan kepada diri sendiri. Jika aku memilih Petronas, aku akan memberi lebih kebahagiaan kepada orang-orang di sekeliling.


Jika ada yang perlu berkorban, semestinya itu adalah aku.