23 March 2011

Aku Suka Usha Dia

Apa yang kalian suka tengok? Atau ayat budak-budak sekarang “usha”. Suka usha awek? Usha pakwe? Hehehe. Aku? Emmmm aku suka usha dia.. suka usha dia… ya dia :)

Entahlah, kami tak berjumpa selalu. Kadang terlihat, kadang tidak. Kadang terpandang, kadang tidak. Tapi kalau ternampak di depan mata, memang aku akan usha lama-lama. Eh, mula-mula dulu sekadar pandang-pandang jeling-jeling. Iyalah, nanti apa pula kata orang sekeliling kan. Tapi. Kebelakangan ni rasanya makin rakus aku merenung dia. Terutamanya kalau terserempak di eskalator menuju ke kedai Mesra Petronas di aras bawah tanah Menara Berkembar PETRONAS ni.

Bila dah usha, mulalah gaya jadi tak keruan. Sibuk nak betul-betulkan rambut. Tarik tahan nafas biar tak nampak perut yang memboroi. Hampir-hampir tersengih sendiri. Oh kacak juga aku ni – dan bisikan tu dah cukup memuaskan hati. Hehe.

Kata seorang kawan, ini sindrom orang dah lanjut usia. Sebab apabila makin tua, makin banyak yang perlu kita usha. Mengertikan kawan, dia itulah cermin. Aku suka usha cermin. Dialah pantulan realiti yang paling jujur. Dialah cerminan peribadi paling hakiki. Kalau rasa-rasa badan tu dah berubah saiz, rajin-rajinlah usha cermin macam aku ni! Oh ya, usha saja tak cukup. Perlu ada usaha dan usaha! Mengerti? :p

05 March 2011

Belasungkawa : Jay (1982 -2011) - Kami Merinduimu

Ternyata pemergian arwah amat mengejutkan keluarga dan rakan malah sesiapa saja sama ada yang mengenali beliau atau tidak. Buktinya ada di sini. Hanya selepas aku tuliskan cerita tentang arwah, statistik pembaca meningkat berpuluh kali ganda. Blog aku tak pernah dikunjungi pembaca sebanyak ini.

Kepada yang mengenali arwah, pasti tahu betapa beliau seorang yang mudah mesra dan peramah. Perkenalan yang dicipta akan semestinya lekat di dalam hati. Walaupun tidak bertemu muka, tapi perkenalan yang sekejap itu mampu meninggalkan kesan yang peribadi dan tersendiri. Walaupun beliau adalah orang biasa-biasa, tapi kehadirannya mencipta suasana yang luar biasa.

Jay, betapa ramai yang menyayangimu. Betapa ramai yang menyanjungimu. Betapa ramai yang mendoakan agar berbahagialah hidupmu di dunia sana. Mengertilah, ramai yang merindui kamu.


Bermula dari 2 Mac, yakni sehari selepas pemergian arwah, sebanyak 273 klik datang ke blog aku.


Perbezaan yang sangat ketara kalau dilihat dari segi grafik graf


Datangnya bukan hanya dari Malaysia, tapi juga UK, US, Arab Saudi, Pakistan, Kanada, Australia, Indonesia, Jepun malah Unknown (yang tak dapat dikenalpasti)!


Enjin carian meletakkan nama arwah sebagai antara subjek paling banyak dicari orang


Dan, 459 klik datangnya dari blog nafastari


hanya doa yang kami panjat
buat teman yang telah pergi
hanya kenangan yang kami ingat
batu bersurat persahabatan sejati

Kalau saja aku mati esok hari, apakah akan ada yang merindui sebuah kehilangan? Al-Fatihah.



02 March 2011

Belasungkawa : Jay (1982 -2011)

Tulisan ini aku kirimkan khas buat Arwah Wan Ahmad Fadzil, teman penyayang dan baik hati.


Kami sama-sama belajar di Matrikulasi UIA sejak tahun 2000. Bilik asrama kami hanya selang beberapa langkah. Masa tu Albert, Mas, Afifi dan Umamudin adalah antara jiran-jiran terdekat di Kolej Abu Bakar yang setinggi 9 tingkat. Kami kerap juga berjumpa dan bercerita. Malah arwah adalah antara orang terawal yang tahu tentang rahsia hidup aku. Dan aku yakin rahsia tu masih tersemat kukuh dalam genggaman dia seorang.

Kami sama-sama berjuang mengangkat nama Kelab Grup Penggiat Sastera (GETAR) selama di Matrik UIA. Arwah adalah Presiden Kelab selama satu semester, dan aku menyambung jawatannya untuk baki satu semester. Malah nama kumpulan zapin kami di UIAM Gombak yakni NAFASTARI, adalah hak milik rasmi arwah. Kami pinjam dari blog arwah di http://www.nafastari.blogspot.com/. Blog idola yang sentiasa membuatkan aku khayal dengan gaya penulisannya yang sangat halus dan indah.

Tapi Tuhan lebih sayangkan dia. Pemergiannya mengejutkan keluarga dan rakan. Dijemput pergi ke Rahmatullah tanggal 01 Mac 2011 akibat kemalangan jalan raya ketika memandu pulang ke kampungnya di Setiu. Mujur isterinya yang baru sahaja habis pantang dan dua anaknya yang kecil comel, Wan Nada dan Wan Marwa, terselamat. Entah apalah rasa hati seorang isteri yang kehilangan suami tika mana anak-anaknya baru belajar menyebut "ayah".


Jay,


Sejujurnya aku masih belum puas mengenali kamu. Belum puas memuji kebaikan kamu. Belum puas melihat gambar-gambar kamu bersama anak-anak yang comel. Belum puas membaca tulisan-tulisan kamu di blog nafastari. Belum puas memberi komen dan mesej di facebook kamu. Namun tiada lain melainkan doa, buat kamu insan yang baik hati. Moga tenang abadi perjalanan kamu bertemu Illahi.

Ketika tulisan ini ditaip, aku masih lagi di pejabat menghabiskan sisa kerja yang tak pernah habis. Kalau saja aku mati esok hari, mungkinkah aku sudah bersedia menghadapinya? Jay, terima kasih atas peringatan yang kau berikan. Kehilanganmu tetap dirindukan. Al-Fatihah.