28 June 2009

KKP 2009



Semalam pertama kali aku berkunjung ke Karnival Keluarga Petronas (KKP 2009). Dan di atas tu adalah antara permainan yang paling menarik perhatian aku. Baling bola tenis ke papan hitam tu. Kalau terkena sasaran putih di tengah-tengahnya, mangsa akan terjatuh ke dalam air secara automatik. Lebih menarik lagi, mangsa-mangsa tersebut adalah orang-orang besar Petronas. Maka kerana itu aktiviti ini dinamakan "Dunk Your Boss". Mangsa-mangsa yang bergelar Pengurus Besar ni sangat sporting dan tak kisah diketawakan orang ramai. Tapi, lagi seronok kalau kalian memang benar-benar tak suka dengan boss tu kan? Haha!

Ada banyak lagi acara menarik. Daripada aktiviti permainan seperti Go Kart dan belon panas, jualan dan pameran, juga pertandingan akhir Superstars untuk kakitangan Petronas (ala-ala Akademi Fantasia tapi bezanya Mawi dan Marsha pula yang jadi juri), hinggalah ke konsert penutup pada sebelah malam yang membariskan Faizal Tahir, Ramli Sarip, Shila OIAM, Johan dan Zizan.

Tak dilupakan, makanan percuma yang disediakan sempena konsert penutup tersebut seperti sate, durian dan kambing golek . Paling susah nak dapat adalah durian. Kalau nak merasa, terpaksa beratur 50 meter panjangnya.

Sebagai seorang yang belum berkeluarga sendiri, mereka inilah teman aku yang sama-sama berpanas, bersejuk dan bermalam di Padang Karnival ni hehe. Syira, Wei dan Dibe'. Tahun depan kita datang lagi ok. Penutup acara semestinya percikan bunga api. Tapi aku tengok dari jauh sahaja sebab dah tiba waktu untuk balik rumah. Jumpa lagi KKP 2010 Insya Allah .

Hari ini juga pertama kali aku makan Sushi King di Alamanda. Dibe' lah yang meracuni fikiran aku makan makanan mentah ni. Tapi Piri Piri Chicken tu sedap juga ya. Huhu.

25 June 2009

Menarik Tentang Si Kembar Dua

Sebelum ni, macam-macam cerita yang aku dengar tentang si kembar dua ni. Kebanyakannya memang aku percaya. Tapi semakin lama aku di sini, ternyata makin banyak cerita-cerita tersebut bertukar menjadi mitos dan dongengan. Tunggulah, barangkali nanti lama-lama akan aku huraikan satu persatu. Sekarang bukan masanya lagi. Tapi, jika mahu lebih menarik, apa kata kalian senaraikan apa sahaja kepercayaan kalian tentang si kembar dua ni? Manalah tahu nanti aku boleh khabarkan cerita yang sebenar (jika perlu huhu).

Saujana mata memandang bumi yang bukan sempit.

Khayalan minda terbang hingga ke hujung langit.


Lebih kurang jam 5.45 petang, lampu utama pejabat akan tertutup secara automatik (kecuali jika ada yang memohon untuk kerja lebih masa). Justeru, tiada masalah untuk aku balik awal. Haha! Kepada yang memandu kereta, boleh menjenguk ke luar tingkap dan melihat keadaan kesesakan lalu lintas. Jika teruk, boleh tangguhkan perjalanan pulang. Aku hanya ada keretapi. Maka aku hanya termenung di tepi tingkap menyaksikan pemandangan yang tak pernah puas untuk ditatap. Saujana mata memandang bumi yang bukan sempit. Khayalan minda terbang hingga ke hujung langit. Malah ada seorang rakan sekerja yang sengaja bersiar-siar di jejantas udara jika dilanda rasa mengantuk ketika bekerja huhu.

Kalau hujan lebat dan kilat sabung menyabung, getarannya terasa dekat di atas kepala. Kalau ada latihan kebakaran pula, terpaksa menuruni anak tangga setinggi 20 tingkat. Mujur latihan hanya setahun sekali sahaja. Dan kelmarin baru pertama kali aku sedar bahawa ada kaum hawa yang bekerja mencuci tingkap-tingkap si kembar dua ni. Pakai tudung lagi. Sungguh perempuan tu berhati waja berdiri di atas pelantar kabel setinggi 452 meter sambil mengelap tingkap.

Lebih membahagiakan, sepertimana di syarikat lama dulu, di sini juga ada ramai agen pencari jodoh. Hahaha. Tetapi sekiranya bertemu jodoh sesama jabatan, salah seorang perlu ditukarkan ke jabatan lain. Apakah jodohku diam di dalam si kembar dua ini? Oh ya, apakah kalian kenal siapa si kembar dua ni?

:p


Suka tengok kanak-kanak kembar dan membayangkan bagaimana mereka sangat memahami perasaan antara satu sama lain.

18 June 2009

Filem Laskar Pelangi

Aku sentiasa berperang emosi sepanjang menonton filem Laskar Pelangi. Terbawa-bawa dengan cerita dalam novel yang aku dah baca tu. Lagi pula aku dah tahu apa yang akan terjadi kepada hero filem ini iaitu Lintang. Justeru setiap apa yang Lintang lakonkan sama ada kelakar ataupun serius tetap menyedihkan di mata aku. Sungguh menyedihkan untuk melihat manusia sebijak Lintang diuji sedemikian rupa. Dia makhluk tempaan alam yang penuh dengan segala keterbatasan. Ada banyak misteri di sebalik watak sebenar Lintang. Baca ini jika kalian berminat: Fakta di Sebalik LP.

Jika kalian sudah membaca novelnya, dan kemudian ingin menonton filem ini, pastikan tisu yang disediakan adalah mencukupi. Huhu. Itu baru menonton di Youtube. Belum ke panggung wayang lagi. Emm bilalah filem ni nak sampai ke Malaysia ya?


Sangat terhibur mendengar loghat percakapan para pelakon Laskar Pelangi yang berbangsa Melayu tu. Ibarat orang Indonesia yang mengajuk-ajuk Bahasa Malaysia.

***

Wajah sebenar 10 Laskar Pelangi: Dari kiri (berdiri) Lintang, Samson, Trapani, Sahara, Kucai, Syahdan, Harun, A Kiong - Dari kiri (duduk) Mahar dan Ikal.
MaharSamson
Syahdan KucaiHarunIbu MuslimahA Kiong

Di mana Lintang?

14 June 2009

Dengarkan Ini... Sebuah Bingkisan Hati



Jika kalian duduk berdua tapi ada satu yang kosong, maka dengarkan ini.
Jika kalian bertanya erti pencarian cinta, barangkali ini memberi sedikit inspirasi.

Ya Allah jika aku jatuh cinta,
cintakanlah aku pada seseorang
yang melabuhkan cintanya PadaMu,
agar bertambah kekuatanku
untuk mencintaiMu.

Ya Muhaimin jika aku jatuh hati,
izinkanlah aku menyentuh hati
seseorang yang hatinya tertaut
padaMu agar tidak terjatuh aku
dalam jurang cinta nafsu. . .

Ya Rabbana jika aku jatuh hati,
jagalah hatiku padanya agar
tidak berpaling daripada hatiMu..

Ya Rabbul Izzati jika aku rindu,
rindukanlah aku pada seseorang
yang merindui syahid di jalanMu. . .

Ya Allah jika aku menikmati
cinta kekasihMu, janganlah
kenikmatan itu melebihi
kenikmatan indahnya
bermunajat di sepertiga malam
terakhirMu..

Ya Allah jika aku jatuh hati
pada kekasihMu, jangan biarkan
aku tertatih dan terjatuh dalam
perjalanan panjang menyeru
manusia kepadaMu. . .

Ya Allah, jika Kau halalkan aku
merindui kekasihMu, jangan biarkan
aku melampaui batas sehingga
melupakan aku pada cinta hakiki dan
rindu abadi hanya kepadaMu.
Amin..


Akhirnya aku bertemu juga dengan Filem Laskar Pelangi di Youtube.. yahoooo!

13 June 2009

Setenang Kemasik

Pantai Kemasik Kemaman Terengganu :: 5 - 7 Jun 2009

***

Bekerja di tempat baru yang serba canggih ni sangat tenteram dan menenangkan. Suhu bilik sungguh menyamankan meskipun tak terdengar bunyi penghawa dingin. Tak terdengar juga bunyi mesin fotostat kerana letaknya di dalam bilik kerja khas yang tersorok. Bunyi telefon meja pun sangat perlahan dan adakalanya hanya tuan punya telefon yang dapat mendengarnya. Bunyi telefon bimbit pula sangat jarang-jarang berdering ketika waktu pejabat (seingat aku belum pernah terdengar lagi). Justeru aku sendiripun harus membiarkan telefon bimbit sentiasa berada dalam vibrate mode. Setiap staf juga diberikan earphone jika kepingin mendengar muzik daripada komputer. Disediakan juga aplikasi Communicator yang bertindak sebagai instant messenger untuk berbual sesama rakan sejawatan. Jadi jimatlah sikit bil telefon hehe.Kalau adapun bunyi bising di sini hanyalah suara gelak ketawa orang sekeliling yang sekali sekala berkumpul dan bercerita untuk meredakan tekanan kerja.

Namun begitu ada sesuatu yang harus diketahui. Di sebalik semua ketenangan ini, tetap ada cabaran yang sentiasa bergema dan berdentum dalam setiap hati warga kerja. Ibarat setinggi menara, semakin kuat jugalah angin yang menerjah. Harap-harapnya, ketenangan akan tetap mengatasi segala cabaran tersebut. Bertenang, bekerjasama dan bersimpatilah terhadap rakan sekerja. Itu resipi dalam pengurusan manusia.

Berat badan aku turun 5kg, mungkin kerana terlalu risau untuk mendepani kerja-kerja mendatang. Huhu~

***

Kala Kemasik berbisik indah, hati ini merisik kisah.

Kisah masa depan yang tak tentu hala.

Kisah masa depan yang baru bermula

...apakah hati akan setenang Kemasik?

07 June 2009

Baru

Rasanya, sudah hampir sepuluh kali aku ke sini. Tapi aku tetap berpatah balik. Tanpa meninggalkan apa-apa hasil. Tanpa ada coret tulis. Tanpa ada entri terkini.

Maafkan aku wahai blogspot. Aku masih perlukan waktu untuk kembali fokus dalam menyusun atur jadual hidup dan menerima segala pantang larang yang baru termaktub.

Perkara-perkara baru kadang-kadang mengelirukan.


4 Jun 2009: Energy receive, Energy return, Aspire people everywhere.