26 December 2010

Memeluk Kabus Cameron Highland

Kami ke Tanah Tinggi Cameron melalui jalan raya yang belum ramai diterokai orang. Bermula dari kampung di Kuala Lipis kami menuju ke Sungai Koyan dan terus ke Pos Betau sehinggalah sampai ke daerah Cameron Highland. Sekadar peringatan, jalannya diturap elok tetapi agak berbahaya kalau dilalui pada sebelah malam.

Kembara yang bermula seawal jam 7 pagi kerap kali membuatkan kereta bergerak perlahan dek kabus tebal yang menghalang pandangan. Permulaan pagi yang sungguh menyegarkan! Jam 9 pagi kami sampai di Teh Boh Plantation. Tersalah haluan kerana niat asalnya kami nak bersarapan di restoran terapung di satu lagi Teh Boh Plantation di Sungai Palas. Baru tahu rupa-rupanya ada dua Teh Boh Plantation di Cameron Highland. Niat bersarapan terbantut. Tapi tak mengapa. Serbuk teh tarik yang dicari-cari dijumpai juga.

Jalan yang sempit membuatkan perjalanan semakin panjang dan perut berkeroncong minta diisi. Singgah sebentar di Bharat Tea Plantation. Bersenang-senang di tepi bukit sambil menghirup teh tarik panas dalam gerimis pagi. Benar-benar mengasyikkkan!
Usai minum pagi, kami bersiar-siar di Pekan Tanah Rata dan menikmati makan tengahari. Hujan renyai-renyai mendamaikan udara tengahari. Makan pun jadi tambah berselera.
Dari Tanah Rata, kami terus mendaki Bukit Brinchang untuk singgah di Big Red Strawberry Park. Semestinya demi mencari buah cinta berwarna merah ini. Aiskrim dan wafel strawberi memang melecurkan air liur. Semua yang dibeli lesap dijamah dalam sekelip mata.


Tak sah ke sini kalau tak bermanja dengan flora dan faunanya. Bunga pelbagai jenis, kaktus hijau berduri dan secara tak sengaja terjumpa kolam buatan yang dihuni ikan koi yang berwarna warni.

Sebelum pulang, tak lupa untuk membeli belah di pasar malam Berinchang dan ratusan gerai di sekitarnya. Tapi awas jangan tertipu. Ada jualan yang datangnya bukan dari Cameron Highland sepertinya buah oren dan jambu kristal. Namun sayur-sayuran dan buah strawberi segar sememangnya sah dipetik dari tanah tinggi Cameron. Inilah juga yang menjadi pilihan hati buat bingkisan orang di Lipis. Jam 4 petang hujan turun mencurah-curah mengiringi kepulangan kami ke Kuala Lipis. Jumpa lagi kemudian hari :)


Memeluk Kabus Pagi

Hari ini kami mendaki tanah tinggi
dapatlah kami menyentuh embun dengan hujung jari
dan membiarkan dingin air mencucuk kulit.

Apabila sesekali angin berhembus pergi
kami berlari-lari memeluk kabus pagi
meninggalkan kebas di bibir dan pipi.

Apabila gerimis gugur dari langit
kami tadah bersama ketawa membingit
rindunya kami pada rintik hujan yang bersih.

Akhirnya kami berdiri di puncak bukit
di sana sini pepohon hijau tegak meninggi
kami berbisik di dalam hati sendiri
"rasanya dah lama bumi tak sedingin ini.."



Tanah Tinggi Cameron
25 Disember 2010

4 comments:

iKhRam said...

seronok melihat keindahan di cameron h.
tp tumpuan saya hnya satu
wafel strawberi tu nampaknya mmg sedap betul2..
terliur nak menjamahnya..

yang benar
ikhram

Nizam Ahmad said...

jangan lupa cuba kalau ke cameron ya :)

@xiM said...

gambar eskem tu sangat menggoda jiwa!!

Nizam Ahmad said...

azim: ingat kamu sedang diet kan? hehehe