15 March 2005

oN beNdeD kNee...

Darlin' I can't explain
Where did we lose our way
Girl it's drivin' me insane
And I know I just need one more chance
To prove my love to you
If you come back to me
I'll guarantee
That I'll never let you go

Can we go back to the days our love was strong
Can you tell me how a perfect love goes wrong
Can somebody tell me how you get things back
The way they use to be
Oh God give me a reason
I'm down on bended knee
I'll never walk again until you come back to me
I'm down on bended knee

So many nights I dream of you
Holding my pillow tight
I know I don't need to be alone
When I open up my eyes
To face reality
Every moment without you
It seems like eternity
I'm begging you, begging you come back to me

Gonna swallow my pride
Say I'm sorry
Stop pointing fingers the blame is on me
I want a new life
And I want it with you
If you feel the same
Don't ever let it go
You gotta believe in the spirit of love
It can heal all things
We won't hurt any more
No I don't believe our love's terminal
I'm down on my knees begging you please
Come home

Wanna build a new life
Just you and me
Gonna make you my wife
Raise a family

09 March 2005

Di Penghujung Semester

Setiap kali tibanya penghujung semester, setiap yang bernama pelajar pasti akan dihimpit kesibukan. Assignment, case presentation, report and second test will filling all the days. Mujur pengalaman mengatasi segala. Sekurang-kurangnya aku tidaklah terlalu tertekan dengan hampir kesemua kerja-kerja aku akan berakhir penghujung bulan ini. Namun aku terpaksa membataskan masa untuk bersama dengan perkara-perkara yang tidak bersangkut paut dengan pelajaran. Nasyid, puisi, dan MRC sekadar sempat dijeling sahaja.

Selepas ini, demam final exam pula akan melanda semua warga Taman Ilmu dan Budi ini. Dan saat itulah, dirasakan seperti hendak berhenti belajar. Kerisauan tahap maksimum kerana dirasakan semakin banyak yang dibaca, semakin banyak pula yang kita tak tahu. Dan di sinilah motivasi diri yang kuat amat diperlukan. Jika tidak, akan terjadilah kes yang pernah berlaku pada kawan-kawan seperjuangan suatu masa dahulu. Putus asa di tengah jalan. Jika dulu kami bergelak ketawa bersama, kini mereka hilang entah ke mana. Antaranya adalah Hussin dan Azmi, dua orang teman baik aku seketika dahulu. Apa yang berlaku ke atas mereka memberi impak yang cukup kuat kepada aku akan peri pentingnya semangat dan motivasi diri demi meneruskan perjuangan yang telah dimulakan. Moga Allah memberi petunjuk-Nya kepada aku yang asyik lupa ini.

13 February 2005

A Famosa dan PD ~ Sudah Jatuh Ditimpa Tangga

Aku, K-rul, Mizi dan Pijan berangkat ke Melaka seawal jam 8.30 pagi. Cuti-cuti Malaysia. Pakat-pakat kutip duit, sewa sebiji kereta. Bandar Hilir jadi destinasi pertama. Biasalah, pergi Melaka tak sah kalau tak bergambar di Kota A Famosa dan kawasan-kawasan sekitarnya. Tapi, apa yang aku hendak ceritakan di sini bukanlah tentang seronoknya kami melancong ke sana, tetapi tentang betapa seronoknya mengenangkan pengalaman kami sejurus selepas kami keluar dari Bandar Hilir tersebut.

Mengikut perancangan awal, kami akan ke A Famosa Resort di Alor Gajah, antara taman air terbesar di Malaysia. Tak sangka, lebih satu jam kami mencari jalan ke sana, segalanya hampa tatkala kami menjejakkan kaki di A Famosa Resort. Pijan dan K-rul berat hati hendak masuk. Bayaran RM 20 dirasakan tidak berbaloi. Kami memang tidak merancang perjalanan dengan teliti, maka tak mustahil apabila Pijan dan K-Rul menyangka A Famosa Resort itu adalah kawasan rekreasi air terjun yang tidak berbayar. Aku dengan Mizi bengang jugalah sebab rancangan kami tak berjaya disebabkan salah faham tersebut. Tak mengapalah, kami sepakat ke tempat lain.

Akhirnya, secara tidak sengaja kami menuju ke Port Dickson. Biarpun Pijan tak berapa berminat mandi pantai (fobia tsunami…), tetapi dia terpaksa akur kerana itulah satu-satunya tempat yang paling dekat demi menjimatkan masa yang telah terbuang begitu sahaja sedari tadi. Minyak hampir habis dan kami berada di tengah lebuh raya yang sesak. Berdoalah kami sepanjang jalan semoga kami sempat berjumpa stesen minyak. Perut pula berkeroncong minta diisi. Malangnya banyak kedai makan yang tutup (kecuali restoran milik kaum Cina). Menggagau kami mencari kedai makan, dan akhirnya KFC terpaksa menjadi pilihan. Jam 3.30 petang baru kami merasa makan tengahari. Huh!

Kami sampai di Port Dickson lebih kurang jam 4.30 petang lantas sembahyang Asar di sana. Kemudian, pantai menjadi destinasi seterusnya. Seronok memanglah seronok, hinggakan kunci kereta di dalam poket seluar terlupa hendak disimpan. Kami mandi laut, kunci kereta pun mandi juga. Mujur tidak hanyut dibawa air. Masing-masing berharap kunci tersebut tidak rosak.

Harapan berkecai apabila alat kawalan jauh kunci kereta tersebut tidak berfungsi. Kami buka kereta menggunakan kunci, alat penggera keselamatan berbunyi. Sudah! Macamana kami nak balik ni? Enjin kereta tidak dapat dihidupkan kerana sistem keselamatan kereta masih berjalan. Orang sekeliling memandang kehairanan.Tak sangka ramai yang mula datang menolong. Lebih satu jam kami cuba mencari punat yang sepatutnya berada di bawah stereng kereta untuk mematikan sistem keselamatan tersebut.

Jam 8.30 malam kami mula putus asa. Pertolongan daripada EON juga tidak boleh dipakai apabila mereka sendiri tidak dapat memberikan penyelesaiannya. Dengan berat hati, kami sepakat untuk meninggalkan kereta di situ, di tepi pantai, dan kami pula ke masjid berhampiran untuk membersihkan diri. Nasib baik ada empat orang lelaki yang baik hati sudi menumpangkan kami secara bergilir-gilir. Aku dan Pijan pergi dulu dan kami menunggu hampir setengah jam di masjid sebelum K-rul dan Mizi tiba bersama kereta.

Alhamdulillah, rupa-rupanya orang ramai menolong mereka menolak kereta untuk menghidupkan enjin. Bermakna, kami harus menolak kereta kalau hendak menghidupkannya. Signal kereta pula langsung tidak boleh berfungsi. Sepanjang perjalanan balik ke Kuala Lumpur, kami bertawakal moga-moga kami akan selamat sampai. Di awal perjalanan pulang ke KL, kami tersalah masuk jalan. Hai, tak putus-putus masalah datang. Sabar sajalah.

Paling melucukan, enjin kereta tiba-tiba mati di plaza tol ketika kami membayar tol. Serentak, dalam sekelip mata, aku, Mizi dan Pijan keluar dan menolak kereta. Bayangkan betapa malunya apabila kereta-kereta yang sedang beratur di belakang kami di plaza tol tersebut semuanya tersenyum ke arah kami. Pasti mereka berasa pelik melihatkan aksi kami. Kunci kereta tak boleh gunalah bang! Hehe. Kenapalah enjin mati di plaza tol???

Jam 10.30 malam kami selamat juga sampai ke UIA. K-rul menjerit puas. Dia yang memandu mesti lebih rasa takutnya. Tanpa signal, tanpa kunci kereta untuk menghidupkan enjin, kami pasti tergelak mengenangkan semua ini. Apa-apapun, semua ini mengajar kita erti kerjasama dan faham-memahami. Moga ukhuwwah kita kekal sampai mati. Kalau mati pun, kita pakat tolak ramai-ramai ok? ;-) Love you guyz!
10 Februari 2005
1 Muharram 1426 H

09 February 2005

TRiTUN 2005

Temasya Pantun Intervarsiti Tiga Penjuru (TRITUN) anjuran Persatuan Literasi Melayu MMU Cyberjaya telah berlangsung selama tiga hari bermula 4 Februari 2005 yang lepas. Tiga hari dua malam menginap di Hotel Equatorial Bangi, seribu satu pengalaman berbekas di galeri fikir. Sekali lagi nasib tidak menyebelahi kami di taman siber ini. Keputusannya sama seperti tahun lepas (meskipun pemantunnya berlainan) di mana kumpulan UIAM A hanya berjaya ke separuh akhir manakala kumpulan UIAM B setakat di peringkat saringan.

UIAM A:
Mohd Nizam Ahamad
Abd Razzuwan Abd Razak
Nurul Aina
UIAM B:
Mohd Johan Abd Malik
Ros Aniza Mohamad Rosli
Abu Sufyan Mohd Salleh

Namun, apa yang membanggakan kami, markah terkumpul di peringkat saringan 1 dan 2 didahului oleh UIAM A dengan 1386 markah diikuti oleh UKM (B), MMUC (B), UM, UKM (A), UTM, MMUC (A), UPM (A), UPM (B), KPM Beranang, UIAM (B) dan yang terakhir UNIMAS. Meskipun kedudukan UNIMAS adalah di tangga tercorot, tetapi kemampuan mereka berpantun bukanlah boleh dipandang enteng. Secara keseluruhan, semua pasukan berjaya menunjukkan kebolehan dan kehebatan berpantun serta bijak menggunakan pengalaman sedia ada.

Keputusan ini melayakkan kami ke peringkat separuh akhir bersama 8 kumpulan teratas yang lain. Pemantun terbaik juga dimenangi oleh UIAM (A) untuk kedua-dua saringan walaupun kami tewas kepada UKM (B) dalam saringan kedua. Malangnya, UIAM B tidak berjaya melangkah ke peringkat ini atas beberapa masalah teknikal baik yang datang dari pihak penganjur mahupun dari pihak kami sendiri. Tak perlulah dinyatakan di sini kerana ia adalah sebhagian daripada pengalaman sedih UIAM (B), UNIMAS, UPM (B) dan KPM Beranang yang kesemuanya bertanding di bilik pertandingan yang sama sepanjang pusingan saringan.

Di peringkat separuh akhir, UIAM A ditemukan melalui undian dengan MMUC (B) dan UPM (B). Kami tewas kepada tuan rumah iaitu MMUC (B) lantas memusnahkan harapan kami untuk mara ke pusingan akhir kerana penentuan ke pusingan akhir adalah secara kalah mati. Pelik bukan? Peringkat saringan digunakan sistem pemarkahan, tetapi untuk separuh akhir digunakan sistem kalah mati pula. Kenapa penentuan ke akhir tidak menggunakan sistem markah juga sedangkan struktur pertandingannya tetap sama dengan hakim dan peserta yang asyik berubah-ubah bilik pertandingan?

Pusingan akhir menemukan MMUC (B), UKM (B) dan UM yang merupakan johan di bilik pertandingan masing-masing di peringkat separuh akhir. Nasib menyebelahi UKM (B). Kejayaan mereka sememangnya sudah dijangkakan setelah menyaksikan aksi mereka di pentas akhir. UIAM (A) juga pernah bertemu mereka di saringan 2 dan mereka berjaya menewaskan kami ketika itu. Tapi aku bangga kerana aku berjaya menjadi pemantun terbaik ketika bertemu dengan mereka. :-) Namun, mereka memang layak untuk itu. Secara keseluruhan, MMU Cyberjaya berjaya menganjurkan TRITUN kali ini dengan sempurna dan lancar. Banyak perubahan positif yang dilakukan berbanding tahun lalu. Mereka benar-benar ingin mengangkat warisan budaya Melayu ini ke tahap yang lebih tinggi dan berprestij. Semoga berjumpa lagi di tahun depan, Insya Allah.

Hikmah dan Ketentuan

Benarlah. Sesuatu yang pasti adalah perubahan. Dan perubahan mengajar manusia menukar rentak aturan hidup selaras dengan irama perubahan yang tercipta.
Mengapalah masa amat mencemburui kehidupan? Setiap yang berlalu terpaksa dinamakan kenangan. Dan setiap kenangan tidak pula mahu berlalu pergi. Tetap di situ menanti masa menjenguk kembali.
Maka jadikanlah hari ini lebih baik daripada semalam. Moga-moga, kelak apabila masa menjenguk kenangan tiada rasa terkilan yang tercuit di hati.
Meskipun begitu, hakikatnya payah untuk membina kenangan yang indah dalam setiap detik yang berlalu. Usia dan masa membataskan segala. Tidak hairanlah jika ada yang ingin kembali ke masa dahulu tetapi dengan kematangan fikiran hari ini, semata-mata untuk melengkapkan apa-apa yang terkurang.
Lantas, di sinilah kepasrahan juga doa memainkan peranan. Takdir yang tersurat di sebalik qada’ dan qadar cuba menyinarkan apa yang diertikan sebagai hikmah.
Dan…
Aku ingin mendalami setiap hikmah itu.

Gombak
28 January 2005

30 January 2005

...sesuci rindu...

I.
Dalam kejaran masa
Setiap yang semalam
Dipaksa menamakan kenangan.

II.
Inginku putar putaran waktu
Kembali pada dahulu
Dan kekalkannya di situ
Agar tiada lagi sejarah sepi
Yang bisa terjadi
Melainkan kenyataan yang abadi
Sesuci rindu.

III.
Biar apa saja yang berlaku
Tiada apa pun yang berlalu
Kerana masa yang terlalu laju
Membuatku tambah merindu
Mengusung ribuan keluhan qalbu..!


Gombak
21 November 2004
mengenang kisah 24 Januari 2005 (sebaik-baik cahaya) Melaka - Kuala Lumpur

11 January 2005

Tsunami ~ 26 Disember 2004

Misi 24 Jam Bantuan Mangsa Bencana Tsunami
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
08-09 Januari 2005

Seperti yang dirancang, lebih kurang 9.30 malam kami mula bergerak ke Menara KL untuk bergabung bersama-sama rombongan dari universiti dan persatuan lain dari sekitar Kuala Lumpur. Program anjuran Persatuan Anak Kedah Wilayah Persekutuan dan Selangor (ADAM) ini berjaya menghimpunkan UiTM, UIAM, UKM, UniKL, KLIUC, Jabatan Ukur dan Tanah Malaysia, Kumpulan Karangkraf, barisan artis dan pelakon, dan banyak lagi. Di sana kami diminta mendaftarkan diri dan diberi baju-t program serta makan malam yang turut ditaja oleh Menara KL dan NTV 7. Menjelang detik 12.30 tengah malam, selepas ucapan perasmian oleh Dato Uthman Desa (Setiausaha Politik PM) dan sedikit taklimat ringkas oleh penganjur, 13 buah biji bas dan beberapa buah van dan kereta mula bergerak ke utara Malaysia secara konvoi.


Kami tiba di sebuah Chalet di sekitar Kuala Muda untuk sarapan pagi pada jam 8 pagi. Hasrat untuk mandi pagi terpaksa dilupakan memandangkan kami tiba agak lewat daripada perancangan asal. Jam 9 pagi kami mula ke destinasi utama, Kampung Kuala Muda, tempat paling teruk dilanda bencana tsunami. Bas bergerak perlahan dek kesibukan jalan raya yang sesak dengan kenderaan dari serata Malaysia dan badan-badan penyelamat kerajaan. Situasi ini memudahkan kami melihat persekitaran kampung yang rosak dan kotor dengan lumpur dan selut yang dibawa ombak besar yang mengganas 26 Disember lalu.

Rata-rata rumah yang paling hampir dengan pantai mengalami kerosakan yang paling teruk dan hilang struktur asal rumahnya. Ada yang sekadar tinggal lantai, tandas, dan dinding di bahagian kiri dan kanan rumah. Lumpur bermaharajalela di merata-rata melitupi tanah sekitar kawasan rumah. Batu-batu dinding rumah yang runtuh berselerakan. Ikan yang mati bertaburan terutamanya di kawasan pantai. Bau lumpur bercampur bangkai ikan menambahterukkan keadaan. Jalan raya yang kecil sesak dengan lori-lori pengangkut sampah dan jentera berat yang digunakan untuk mengangkut segala bahan binaan rumah yang telah rosak.

Selepas sedikit majlis ringkas yang disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, hampir seribu para sukarelawan yang turut disertai ratusan pelajar PLKN, Pemuda UMNO Kedah dan N.Sembilan, dan lain-lain mula bergerak ke rumah-rumah mangsa untuk membantu mereka membersihkan kediaman yang telah seminggu ditinggalkan. Kerja paling teruk pastinya untuk membuang lumpur yang tebalnya mencecah 2 kaki menggunakan ‘scoope’ dan kereta sorong yang disediakan. Sukarelawan wanita kebanyakannya membersihkan kawasan di dalam rumah yang berserakan. Baju-baju yang hampir semuanya bertukar kepada warna kelabu terpaksa dicuci menggunakan tangan. Pendek kata, lumpur seolah-olah menjadi mainan kami di sana.

Sambil bekerja, kami mendengar cerita dari tuan rumah mengenai pengalaman mereka berhadapan dengan bencana tersebut. Melihatkan tinggalan kesan ombak pada dinding rumah yang begitu tinggi, memang menggerunkan apabila membayangkan bagaimana ombak setinggi pokok kelapa mengejar mereka yang berlari sehingga hampir satu kilometer jauhnya. Saat itu, hanya nyawa keluarga yang difikirkan. Bendang dan belukar semuanya diredah. Jeritan suara tenggelam dalam bunyi ombak yang mengganas. Ada yang sekadar berpaut pada dahan-dahan pokok dan naik ke siling rumah kerana tidak mampu meredah arus ombak yang deras. Ada yang mati dihempap dinding rumah, lemas bernafas di dalam air lumpur, dan sebagainya. Kereta-kereta pula ada yang tersadai di atas pokok. Pendek kata, tiada apa yang mampu menahan kedatangan ombak tersebut yang muncul secara tiba-tiba. Maha Besar Allah!

Kebanyakan pemilik rumah-rumah di sini tidak tidur di rumah mereka lagi sebaliknya masih menghuni di tempat perlindungan di sekolah-sekolah berhampiran. Mereka sekadar datang ke rumah mereka pada sebelah siang untuk membersihkan apa-apa yang terlarat dilakukan. Kalau diikutkan, kahadiran kami untuk 24 jam itu sememangnya tidak mencukupi kerana masih banyak lagi rumah yang memerlukan bantuan. Hanya ini yang termampu kami lakukan meski sedang bergelut dengan peperiksaan pertengahan semester ketika ini. Namun, kami agak kecewa apabila melihatkan segelintir sukarelawan yang datang ke sini seolah-olah hendak berpesta lagaknya. Bergelak ketawa dan berhimpit-himpit antara lelaki dan perempuan di dalam lori yang mengangkut kami ke rumah-rumah mangsa. Mereka seolah-olah tidak menghormati sensitiviti masyarakat kampung yang masih bersedih dan insaf dengan apa yang telah berlaku. Entahlah!

Jam 5 petang barulah kami melangkah ke dalam bas untuk pulang dan sembahyang Zohor dan Asar secara jama’. Ketika itu, kebanyakan sukarelawan lain telahpun menghilang. Mereka balik lebih awal daripada perancangan asal. Kepenatan seharian di Kuala Muda bagaikan satu pengalaman manis saat kami mula menjejakkan kaki ke bumi UIAM. Kami sampai di Taman Ilmu dan Budi pada jam 2.30 pagi membawa pulang seribu satu cerita dan perasaan. Sesuatu yang sukar untuk diungkapkan.

05 January 2005

TERBISU PADA TAHUN BARU

Terbuka lembaran itu
Bersahut jeritan bisu
Cuba katakan
Siapakah yang pernah membacanya
Siapakah yang pernah menafsirnya
Maka itulah
Terencananya kekalutan baru

Kini baru kita terngadah
Mencari mana salah
Pesta berganti doa
Syair berganti zikir
Hanya kerana
Terencananya kekalutan baru

Bukankah indah begini
Setiap jam masa menghisab diri
Kenallah siapa kawan
Tahulah siapa Tuhan
Hanya kerana
Terencananya kekalutan baru

Apakah perlu yang asing
Untuk setiap yang lazim
Demi menyentak kebiasaan
Alpa yang meratah kecintaan
Mujurlah
Terencananya kekalutan baru

Rencana-Nya jangan dibisukan
Jika tak mahu
Terus terbisu pada tahun baru

Gombak
03 Januari 2005

28 December 2004

Inter-Mahallah Cultural Week kali Kedua

Lelah sekejap mengharungi cabaran Inter-Mahallah Cultural Week yang telahpun berlalu semalam. Kekalutan pengurusan program menambahterukkan lagi serabut di kepala aku ini. Harapan yang telah aku sematkan dulu, rasanya agak tidak kesampaian. Tercuit juga sedikit rasa terkilan di hati apabila melihatkan jerih perih kami menaikkan prestij IMCW tahun lalu, sekadar dipandang sebelah mata kali ini. Ternyata ini bukanlah pandangan peribadi semata-mata, tetapi turut disokong dengan kenyataan daripada Pengarah program sendiri-Hanum.
Walau apapun, tahniah juga kepada para komiti yang telah berhempas pulas menjayakan yang terbaik. Semoga usaha anda semua diredhai-Nya. Cacat cela sememangnya tak dapat dielakkan, tetapi janganlah asyik menyalahkan takdir, cepat melatah atas setiap apa yang tidak sepatutnya berlaku.
Tahniah kepada As-Siddiq! Mungkinkah itu sebagai penanda kemunculan semula as-siddiq? Ayuh kita terus berdiri bersama menampung nama MRC di taman ini. Seronok rasanya melihat jiran sebelah kami ini telah mula bangun dari tidurnya.
Kami tewas dengan hanya satu mata di belakang as-siddiq. Biar tidak dapat mempertahankan piala pusingan, tapi aku bangga kerana kami masih tetap yang utama di pandangan orang. Buktinya dapat dilihat dengan jelas apabila 3 daripada 4 persembahan pada malam penutup adalah daripada Mahallah Ali - dikir barat, tarian dan nyanyian solo daripada Saiful. Malah lagu tema turut dinyanyikan oleh 2 orang ahli kumpulan nasyid Ali. Walaupun bukan semua yang membuat persembahan pada malam tersebut menang, tetapi kami tetap dipilih untuk dipertontonkan di malam kemuncak tersebut. Kenapa ya? Inilah persoalan yang berlegar di minda aku dan setiap MRC juga mungkin. Lagi satu, aku juga bangga kerana kami kalah dengan maruah dan tidak menang dengan memperjudikan integriti.
Nantikan kami pada tahun depan....

12 December 2004

DI SEBALIK TARIKH KELAHIRAN....

Tadi aku cuba selidik perkaitan antara tarikh lahir aku dengan kehidupan realiti aku berdasarkan hasil kajian Dato' Dr. Fadzillah Kamsah. Hampir 90% menepati hakikatnya. Walau apapun, baik dan buruk natijahnya bergantung pada cara bagaimana untuk aku mengendalikan seribu satu sifat yang berada dalam diri aku ini. Jom sama-sama baca kalau hendak tahu siapakah diri saya di sebalik kajian Dato' ini...

BERDASARKAN TARIKH LAHIR:
Aku adalah penyelesaian masalah, profesional, berterus terang, penilai yang baik dan sangat tegas. Aku selalu mempunyai perancangan yang hebat dan suka hidup dalam suasana kehidupan yang terbaik. Aku sangat suka mengendalikan manusia dan aku melihat manusia secara objektif. Aku akan memberitahu seseorang dengan cara aku yang tersendiri bahawa aku adalah ketua.

BERDASARKAN BULAN LAHIR:
Sangat setia dan pemurah, bersifat patriotik, sangat aktif dalam permainan dan pergaulan, Sikap kurang sabar dan tergesa-gesa, bercita-cita tinggi, suka menjadi orang yang berpengaruh dalam organisasi, seronok didampingi, suka bercampur dengan orang, suka dipuji, diberi perhatian dan suka dibelai. Sangat jujur, amanah dan bertolak ansur, tidak pandai berpura-pura, cepat marah, perangai yg berubah-ubah, tidak ego walaupun harga diri yang sangat tinggi, benci pada kongkongan, suka berlawak, pandai buat lawak dan berfikiran dengan logik.

SELAMAT HARI LAHIR.... TERISTIMEWA BUAT DIRIKU SENDIRI.
12 DISEMBER 2004~30 SYAWAL 1425H