17 August 2005

Kegembiraan Bersama MRC Ali

Aku putuskan untuk hentikan dulu sambungan Pengkisahan MRC Ali. Sebabnya, aku nak buka laman baru untuk itu. Sekarang ini aku masih dalam proses untuk bangunkan website khusus untuk MRC Ali, moga-moga berhasil. Dalam tu nanti akan ada maklumat pasal semua MRC yang terdahulu dan akan datang, dan juga pastinya episod pengkisahan MRC dari awal sampai akhir. Aku harap sangat website ni akan berjaya sebab inilah juga antara hasil kerja aku yang pertama dalam bab bina membina website ni. Website pertama, jadi semestinya banyak kelemahannya nanti. Tapi tak apa, sekurang-kurangnya aku mencuba.

Aku bersemangat nak buat website ni bukannya apa. Hari itu aku terbaca dalam blog seorang budak ICT. Dia kata, budak ICT ni bukannya semua pandai bab-bab ICT ni dari sudut praktikalnya. Sebaliknya, mereka asyik disogokkan dengan segala macam teori yang akhirnya akan dilupakan apabila berakhirnya exam. Jadi, aku membuat kesimpulan, untuk menjadi celik IT, kita tak semestinya menjadi pelajar Kuliyyah ICT. Bermakna aku pun boleh nak buat website sendiri atau nak belajar segala macam seni grafik berkomputer yang aku teringin sangat nak belajar (yang ni kena banyak belajar daripada Razuwan rasanya ni nanti).



Ni gambar terbaru bebudak MRC 2005/2006 masa diorang pergi McLEAD hari tu. Ni gambar yang paling aku suka tengok sebab kemeriahan dan semangat diorang macam terpancar jelas dari riak wajah diorang semua. So, tetiba aku terfikir, macam manalah hidup aku tanpa MRC nanti (maksudnya lepas grad nantilah). For sure aku akan rindu giler kat MRC. Macam awek la plak nak rindu-rindu....

12 August 2005

Pengkisahan MRC Ali (edisi 2)


Aku ingat lagi, pertama kali aku menyerahkan diri untuk diperhambakan kepada MRC Ali, kami hanya bertatih-tatih ketika itu. Berbekalkan hanya sebuah bilik operasi MRC yang berjaya dimiliki ketika zaman abang Afi (MRC 2001/2002), kami mula menyusun langkah. Lebih malang, bilik tersebut hanyalah sekadar bilik. Tiada apa di dalamnya melainkan sebuah meja mesyuarat yang baru sahaja ditempah dan beberapa buah kerusi. Terlalu kerdil jika hendak dibandingkan dengan MRC al-Faruq yang baru sahaja mengadakan majlis perasmian bilik operasinya yang serba lengkap pada tahun tersebut.

Antara MRC 2001/2002 di Annual Appreciation Night and Idulfitri Gathering 2003



Program pertama kami Annual Appreciation Night and Idulfitri Gathering 2003 diadakan dalam keadaan kekurangan jawatankuasa. Iyalah, siapalah yang kenal dengan nama MRC ketika itu. Tiada sebab yang jelas untuk residen Mahallah Ali menaruh minat menjadi ahli MRC Ali ketika itu. Lantas, kami tekad bahawa misi MRC tahun ini adalah untuk menaikkan nama MRC, membuatkan orang sedar apa itu MRC, memberikan kesedaran kepada semua residen akan peri pentingnya menjadi ahli MRC, dan cuba membuatkan mereka bangga bergelar residen Mahallah Ali.
Pemilihan kami sebagai tuan rumah beberapa program Inter-Mahallah oleh Council of Principals memberikan kelebihan kepada kami untuk mencapai misi tersebut. Walaupun penat (malah kami pernah bermesyuarat untuk menolak tawaran menjadi tuan rumah 4th Inter-Mahallah Sports Carnival 2004) namun kami tetap cuba membalas kepercayaan Council of Principals. Bukanlah kami hendak membolot semua program-program mega, tapi kami cuma tak mahu menjadi askar yang tewas sebelum berperang.
Malangnya, hasrat kami untuk menaikkan nama MRC Ali ini adakalanya dipandang serong oleh sesetengah orang terutamanya beberapa MRC kolej-kolej lain. Mereka beranggapan kami cuba mendabik dada , menanam rasa riak dan membangga diri. Pembetulan, kami mahu residen Ali yang berbangga punya MRC yang menjaga kebajikan mereka. Itu sahaja. Tapi kalau ada residen Mahallah lain yang menyatakan MRC mahallah mereka tidak setanding Mahallah Ali atau tidak menjaga kebajikan mereka, malah mereka lebih kenal nama MRC Ali berbanding MRC kolej mereka, adakah kami yang perlu dipersalahkan? Tepuk dada tanya selera.
Akan datang: Penatnya nak cari komiti...


11 August 2005

Pengkisahan MRC Ali (edisi 1)



Ini MRC Ali zaman 2003/2004 di bawah pemerintahan Abang Apai. Banyak kejayaan dan pembaharuan yg dia bawa. Contohnya uniform MRC yang dalam gambar tu, dan masa tu MRC Ali memang ke arah profesionalism. Kesannya dapat dilihat dengan jelas apabila Council of Principals memberikan kepercayaan kepada kami untuk menjadi tuan rumah kepada Inter-Mahallah Sports Carnival dan Inter-Mahallah Cultural Week berturut-turut dalam sesi 2003/2004. Alhamdulillah kami juga berjaya mencelikkan mata kolej-kolej lain apabila dinobatkan sebagai Champion of 4th Inter-Mahallah Sports Carnival 2003 buat pertama kalinya dan terus mengekalkannya pada tahun 2004. Imej underdog berjaya dihapuskan sama sekali. Tahun 2005 ini pula, kami berusaha untuk membuat hatrik.
Lagi satu kami berjaya membawa pulang piala pusingan Best Male Mahallah for Inter-Mahallah Cultural Week 2004 dan pada tahun 2005 kami tewas di tangga kedua dengan perbezaan hanya sekadar satu mata sahaja dengan juara. Maka, tahun 2006 kami tekad untuk merampas kembali piala tersebut. Nak tahu kenapa? Kerana motto MRC kali ini berbunyi Towards the Leading Mahallah in IIUM. Terbaik dalam segala perkara yang positif. Untuk edisi pertama ini, eloklah kalau aku tulis yang elok-elok je dulu. Nanti aku akan dedahkan segala liku-liku yang pernah kami lalui untuk menjadi seperti sekarang. Bukan mudah menangkis "cakap-cakap orang", hasutan dan PHD di kalangan orang Melayu yang tak pernah nak berubah. Walaupun hari ini kami belum di tahap sempurna namun kami mampu menarik nafas lega kerana sedikit sebanyak jalan yang gelap sebelum ni dah mula terang.
Bukan untuk sesiapa, bukan untuk apa, tetapi untuk manafaat seluruh warga Aliman... Insya Allah.
Proud to be Aliman!

04 August 2005

Erti Sebenar Persahabatan

Kukira namanya terlalu istimewa dalam diari persahabatan. Kehadirannya tidak pernah diundang, namun ketiadaannya tiba-tiba mencetus rasa sayang dan rindu. Meski tiada apa yang istimewa terjadi antara kami dalam jangka waktu sesingkat ini, namun ketulusannya dalam menjalin ikatan yang diberi nama persahabatan, telah membuka dimensi baru buat aku dalam mengenal erti sebenar persahabatan.

Sebelum ini aku asyik mencurigai keikhlasan teman-teman yang berada di sampingku. Terlalu sukar untuk aku mempercayai pengorbanan mereka yang aku ragui sejauh mana kejujurannya. Pengalaman telah mengajar aku untuk lebih berhati-hati memahami telatah manusia dunia hari ini yang mudah dipengaruhi nafsu dan kepura-puraan. Maka, aku lebih rela bersusah sendiri daripada membebankan kawan-kawan aku waima aku acap kali dipaksa oleh mereka yang cuba untuk membantu aku. Aku keliru sama ada ini adalah satu tabiat yang baik atau sebaliknya. Aku dapat rasakan perasaan syak wasangka aku ini kadang-kala membuatkan orang lain terkilan dan rasa terhina walaupun tak pernah terlintas di hati aku untuk bermaksud sebegitu. Dan aku kerap kali berada dalam dilema sebegini yang tak pernah berkesudahan.

Secara tidak langsung, dia juga pernah menerima nasib yang sama daripada aku yang masih buta dalam menilai keikhlasan seorang sahabat. Dalam diam aku pernah menuduhnya pendusta, dan tidak jujur dalam bersahabat. Inilah tanggapan yang pernah aku buat terhadap teman-teman aku yang lain sebelum ini, sama ada secara diam prasangka mahupun lisan bicara. Betapa aku telah berdosa selama ini. Berdosa terhadap teman-teman aku, dan berdosa terhadap dia yang sebenarnya terlalu sayangkan persahabatan ini. Tindakan aku hampir-hampir meranapkan impian kami untuk menjadi sahabat yang kekal ke akhir hayat. Dalam kekalutan emosi dia berjaya juga menyedarkan diriku. Cuba membuka hatiku untuk menerima dia sebagai seorang sahabat yang benar-benar jujur dan ikhlas demi kebaikan bersama. Dan kini aku dapat merasakannya. Benarlah kata orang, kita jarang menghargai apa yang berada di dalam genggaman, namun akan menyesalinya saat ia telah hilang.

Kini aku perlu belajar untuk menghargai setiap pengorbanan teman-teman di sekeliling. Usah pertikaikan sejauh mana keikhlasan mereka kerana aku telah tahu, hanya kejujuran yang memampukan sesebuah persahabatan itu untuk terus kekal. Justeru, selagi mereka berada di sisiku ketika susah dan senang, selagi itulah mereka akan aku junjung sebagai seorang sahabat yang paling tinggi kemuliaannya dalam kamus silaturrahim. Apa lagi yang selayaknya aku hadiahkan buat mereka selain martabat kemuliaan setinggi ini? Terima kasih sahabat!
Tanpa sedar, seorang rakan bernama kawan, telah berjaya menyelamatkan aku dari terus hanyut dalam dunia yang penuh dengan ketidaktentuan ini, demi akhirat yang abadi dan pasti.
…Tuhan, ampunkan aku!

29 July 2005

An-Nidxam Bergelar Pelajar Tahun Akhir?

Huh! Sekejap je tiga minggu berlalu selepas semester 1 05/06 dibuka. Class registration, report of practical training, assignments, quizzes... semuanya dah mula menyesakkan diri dalam kepala otak aku sekarang ini. Bila dah masuk tahun akhir ni, semua orang yang aku jumpa mesti bertanya "bila aku akan grad?" Sama ada semester ni ataupun semester depan...?Insya Allah, semester depan adalah semester terakhir untuk aku berjalan di bumi UIA ni sebagai seorang pelajar... Hai.. lagilah terasa cepatnya masa berlalu. Macam baru semalam je aku masuk Matrik... hmm... dah lama tak menjenguk-jenguk matrik...

Dah lama aku tak bercerita tentang MRC Ali. Banyak yang baru sebenarnya dalam MRC kali ini. Perlantikan MRC Ali yang baru untuk sesi 2005/2006 dah pun selamat diisytiharkan pada Mesyuarat Tahunan kami 19 Julai lepas. Maka secara rasminya juga aku tidak lagi bergelar Presiden MRC Ali. Mohd Faizal Che Meh (tahun dua Communication) telah dimasyhurkan sebagai Presiden baru oleh Principal baru kami, Ustaz Fauzi Muda. Mahallah Ali akan menyaksikan ramai muka-muka baru, daripada barisan MRC hinggalah kepada Fellows dan Principal, yang begitu komited dan bersemangat waja. Lagi satu, MRC baru kali ini juga amat bertuah kerana mantan MRC masih berada di bumi UIA ini untuk membantu mereka secara langsung sepanjang tempoh perkhidmatan mereka. Ini bagi mengelakkan kelemahan yang berlaku pada sesi lepas tidak berulang kepada sesi tahun ini. Dan situasi ini tidak pernah berlaku kepada MRC sebelum ini dimana hampir semua mantan MRC terdahulu telahpun grad sejurus selepas mereka meletakkan jawatan. Justeru, buat pertama kali dalam sejarah MRC, disebabkan aku masih lagi berada di UIA ni untuk tempoh setahun lagi, maka aku diminta untuk menjadi penasihat kepada MRC 05/06 ini. Semua ini menguatkan harapan aku bahawa MRC kali ini pastinya akan jauh lebih baik daripada 4 sesi MRC (2000-2004)sebelum ini. Insya Allah, hasrat Mahallah Ali untuk menjadi "The Leading Mahallah in IIUM" akan tercapai.

Aku bukan lagi MRC secara jawatannya, tapi aku tetap MRC selamanya...

06 July 2005

People Say This....

people say this.....
"time will not heal the wound but will fade the memory away......"
"masa tidak akan menyembuhkan luka tetapi akan membiarkan memori berlalu pergi..... "
mmmm...

Perpisahan Ini

Perpisahan seringkali memberi seribu satu kesan kepada kita. Membuatkan kita sering keliru antara rasa gembira, sedih, terharu, terkilan, dan kecewa, malah marah kepada masa yang selalu mencemburui kita. Semusim diSentral meninggalkan episod kehidupan yang pastinya akan menjadi antara sejarah agung buat aku.

Hari esok akan tiada lagi air teh-o dan kek air tangan kak Cah. Tiada lagi gelak tawa Maya yang comel. Tiada lagi suara lembut kak Pah. Tiada lagi senyuman manis kak Sal. Tiada lagi bunyi mesej telefon Yati. Tiada lagi tutur nasihat En. Sabri. Tiada lagi makan tengahari yang melekakan bersama Shahran dan Shahrul. Tiada lagi wajah awet muda En. Hambali. Tiada lagi perjumpaan mingguan dengan Kanda Zul. Tiada lagi kemeriahan Pejabat KTM Antarabandar. Tiada lagi kebisingan bunyi roda keretapi yang bergesel dengan landasannya. Dan tiada lagi suara-suara sumbang dari mulut mereka yang tak bisa memahami aku. Betapa aku bersyukur atas segala nikmat-Nya ini.

Kalau adapun peluang kedua untuk aku mengulangi hari semalam, aku yakin ia tidak seindah hari-hari yang telahpun berlalu itu. Aku telah cuba menjadikan setiap hari semalam berlalu dalam keadaan yang sempurna, kerana aku tak mahu menyesal di kemudian hari kerana aku tak sempat melakukan perkara yang sepatutnya aku lakukan. Namun, aku percaya selagi mana aku bernama insan, aku tak akan mampu melakukannya juga. Hanya lafaz ampun dan maaf yang meniti di bibir demi segala ketidaksempurnaan itu. Terlalu banyak dosa aku selama ini.

Buat sahabat, ketahuilah betapa aku tak pandai berbicara manis di depan kalian, tak pandai mempamerkan emosi di riak wajah, tak pandai menunjukkan keikhlasan hati. Harapnya masih ada yang mampu mengerti sebenar-benar perasaan yang bergelodak dalam hati aku – kesyukuran yang tak terhingga kerana punya sahabat seperti kalian. Harapnya perbalahan hari semalam adalah bukti keutuhan ikatan silaturrahim kita. Harapnya kegembiraan hari semalam akan menjadi hadiah perpisahan yang tak ternilai harganya. Harapnya kesedihan hari semalam akan menjadi tugu ingatan yang menggambarkan bahawa masih ada lagi teman menangis di dunia ini. Terima kasih atas semua perbalahan, kegembiraan dan kesedihan ini. Maafkan aku jika aku belum layak untuk bergelar sahabat buat kalian.

Semusim di Sentral terlalu sarat dengan suka duka cerita. Dan aku tak mahu menamatkannya lagi….Tuhan, tabahkanlah hati ini.

“Ukhuwah itu indah bila bertemu dan berpisah kerana Allah”

25 June 2005

Gelombang

dulu kukira lagaknya biasa
hanya seorang yang penuh mimpi
dulu kufikir tiada istimewanya
hanya kejujuran sebuah harapan sepi

tapi bila harapannya sesuci hari ini
baruku sedar kejujuran dan mimpinya itu
tiada lagi pada manusia lewat senja ini
...tiada juga padaku
...hanya dia yang sebegitu

itulah luar biasanya dia
itulah istimewanya dia
hingga mengundang gelombang
yang menoleh terus memandang
hingga aku terlalu yakin
jika tiadapun peluang kedua kelmarin
yang terang akan tetap terang
kerana dia tetap dia

...aku harus bermimpi sejujur itu!



Keramat
24 Jun 2005

23 June 2005

Gelombang TsuMawi...

Gelombang TsuMawi benar-benar mengejutkan bagi aku. Masuk e-sastera.com, masuk blog Pakdi (sekadar menyebut beberapa contoh), pasti terlihat juga istilah yang dicipta oleh Aznil Nawawi ini. Aku yang tak pernah melayan konsert-konsert AF1 & 2 sebelum ini tiba-tiba terpanggil untuk menjadi penonton setia ASTRO Ria setiap malam minggu. Kenapa ya? Apa aku juga sudah hanyut dalam gelombang TsuMawi ini?
Sebenarnya, aku terlalu ingin melihat bagaimana nasyid boleh bertepuk tampar di dalam AF3 kali ini. Mawi dengan imej yang terlalu asing di dalam dunia AF umpama satu kelainan yang berjaya menarik perhatian aku. Manalah tahu satu hari nanti semua peserta AF4, 5 dan seterusnya mesti pakai tudung dan nyanyi lagu nasyid atas permintaan tinggi peminat. Aku cuma berharap Mawi akan dapat pertahankan prinsip hidup dia selama ini dan tak mudah goyah dengan kekalutan di dalam dunia AF yang penuh kontroversi. Kalau Rabbani boleh menyanyi dalam kelab, mengapa tidak Mawi? Yang penting dia tahu apa yang dia lakukan, dia ingat latar belakang keluarga dia, dan dia sedar harapan peminat-peminat dia yang mahukan satu kelainan dalam AF3 kali ini.
Tapi aku masih belum berniat untuk AFUNDI Mawi lagi (ada sesiapa nak sponsor kredit untuk aku?)

21 June 2005

Terlalu Baik

Sungguh sukar menjadi dia yang terlalu baik
tulus hati menghulur segala
murah hati menolong bantu.
Hidup ini satu ujian
menduga ketabahan keteguhan
terkadang hatinya diguris
pernah juga mukanya tercalar
tapi kerana hati merahnya terlalu baik
segala sekadar sementara
esok lusa sembuhlah ia.

Salahkah menjadi dia yang terlalu baik?
terkadang dipermainkan
malah diperbudakkan
Suaranya tidak bisa berkata benci
tangannya kudung daripada reaksi
hatinya tidak tahu apa itu marah
memorinya tidak dapat mengingat dendam
semuanya seketika sahaja
namun yang parah sekian lama
adalah dia… insan yang terlalu baik.

UIAM Gombak
26 Ogos 2002


Sajak ini telah lama aku nukilkan kesan daripada sesuatu yang pernah aku alami dahulu. Tapi hari ini aku kembali merasai rasa yang sama... Hari ini Mahathir dan kak Dila akan menamatkan latihan praktikum mereka di KL Sentral ini. Dan tak kusangka, pemergian mereka telah membawa sejuta erti buat aku untuk lebih mengenali siapa sebenarnya diri aku ini, dan siapa sebenarnya yang layak bergelar sahabat.

Aku redha atas segala ketentuanMu Tuhan.