02 November 2007

BMW Shorties Screening Appreciation Night - End of Chapter, Beginning of Another.

Zaman belajar di universiti semakin beransur-ansur hilang dari dalam diari harian aku. Sekarang asyik menghadap komputer, masuk mesyuarat, belek-belek fail. Kerja harian seorang pekerja baru dalam sektor kerajaan. Di mana? Nanti-nantilah aku beritahu ya hehe. Yang pasti, tetap tak dapat lari dari bidang kebudayaan dan kesenian. Satu kebetulan sebenarnya.


Malam Penghargaan untuk komiti BMW Shorties Screening dah selamat diadakan minggu lepas. Diadakan serentak dengan sambutan Aidilfitri dan meraikan kemenangan Mahallah Ali sebagai Naib Johan Pertandingan Kibarkan Jalur Gemilang UIAM bulan Ogos lepas. Untuk makluman, Mahallah Ali masih kekal sebagai satu-satunya Mahallah lelaki yang terus mengungguli hadiah-hadiah utama untuk pertandingan ini selama tiga tahun berturut-turut. Malah menjadi Juara pada kali pertama pertandingan ini diadakan dua tahun lepas. Fuh bangga aku hehe! Mahallah perempuan pun tak ada yang kekal tau walaupun merekalah yang pakar bab hias menghias dan menggantung bendera ini.

Tapi, aku sangat terkilan kerana Malam Penghargaan ini tidak sepertimana yang aku harapkan dan jangkakan. Terlalu jauh dari standard penganjuran program Mahallah Ali. Tanyalah Haeqal dan Faizal, presiden-presiden terdahulu. Aku masih ingat semasa kami mengadakan Jamuan Aidiladha, Jamuan Penghargaan “Cultural Week 2004/2005”, Iftar dan banyak lagi yang biarpun ringkas tapi tersusun, lancar dan meriah. Yang penting objektif tercapai. Malangnya, untuk malam Penghargaan kali ini langsung tidak setaraf dengan program BMW Shorties Screening itu sendiri. Nasib baik aku tak jemput wakil BMW atau Fleishman Hillard (walaupun Ustaz ada bertanyakan tentang mereka).

MRC baru pula malu tak bertempat. Aku tak sangka mereka orang yang paling awal meninggalkan majlis, malah ada yang beredar semasa majlis berlangsung. Hendak bersama dalam sesi fotografi pun tak mahu. Tiada nilai-nilai professional. Sepatutnya inilah masanya untuk mereka berkenal-kenalan di samping memohon bantuan daripada komiti BMW Shorties supaya terus menyokong program Mahallah Ali. Tidakkah mereka tahu bahawa komiti BMW Shorties Screening ini adalah antara yang terbaik dan dedikasi terhadap tugas?

Mungkin aku yang silap kerana lepas tangan dalam penganjuran majlis ini (maklumlah aku dan Zamri adalah orang luar sekarang). Mungkin juga aku terpaksa maafkan mereka yang mengendalikan program ini atas alasan “Final Exam”. Atau mungkinkah ada alasan lain yang tersembunyi?

MRC Ali 2007/2008 sangat memerlukan bimbingan yang rapi dari semua pihak terutamanya bekas exco dan fellow. Mereka sedang mengalami kejutan budaya, aku kira. Aku mahu datang lagi ke Mahallah Ali suatu hari nanti. Dan ada hasrat untuk melihat Mahallah Ali terus mengangkat martabat universiti.

03 October 2007

Jalan Kejayaan

Sekarang ni kerja harian aku adalah mentelaah video Festival Zapin yang baru disiapkan oleh Razz 2 minggu lepas. Kena tunggu sampai bosan baru aku boleh layan video lain pulak kot haha! Kumpulan kegemaran aku? UPM, UPSI dan semestinya UIA. Akhirnya sajak terbaru aku berjaya dihasilkan. Mungkin sempena demam zapin yang belum kebah ini kot.. untuk semua member-member zapin yang aku sayangi, terimalah..Jalan Kejayaan cewah!

Jalan Kejayaan

Dalam cantik gerak tari
ada cerita tentang langkah yang tempang
Dalam senyum di pentas aksi
ada kisah pernah ditangisi
Dalam kagum melihat kesamaan
ada banyak hati yang kadang tidak sekata

Keajaiban jarang-jarang terjadi
Hanya kadang-kadang ia datang
Banyak susah dari yang senang
Hakikat itulah memenangkan kita

Kirimkan rasa teruja malam itu
untuk siang yang mungkin kaku
Petakan jalan kejayaan semalam
untuk pedoman seabad lagi

Selamat menanti ketibaan Syawal.. ampun maaf didahulukan..

15 September 2007

FESZAM 2007 Yang Mengejutkan

CERITA SEMALAM
Tahun lepas kami cukup berbangga kerana diberikan peluang oleh pihak universiti untuk menubuhkan kumpulan zapin pertama di UIAM. Lebih manis, persembahan pertama kami adalah di UTM Skudai sebagai mewakili UIAM di Festival Zapin Johor MAKUM 2006. Tiada apa yang diharapkan kecuali sekadar mewakili universiti – kata abang Khalid, koreografer kami.
CERITA HARI INI
Tahun ini Festival Zapin datang lagi dan kami baru saja berusia setahun lima bulan. Namun, sebagai lambang terima kasih kepada semua yang menyokong perjuangan kami, kami tetap memasang tekad untuk membawa pulang sesuatu sempena Festival Zapin MAKUM 2007. Sekurang-kurangnya dikategorikan sebagai pemenang Anugerah Perdana (untuk kumpulan yang memungut markah keseluruhan 60%-79%). Setidak-tidakpun diikitiraf sebagai Kumpulan Harapan. Tapi tanpa sedar, rupa-rupanya telah berlaku sesuatu yang jauh lebih mengejutkan daripada itu. Semuanya berlaku bagaikan mimpi.

Berikut adalah keputusan penuh Festival Zapin MAKUM tahun ini:
Johan: Universiti Putra Malaysia (UPM)
Naib Johan: Universiti Tun Hussein Onn (UTHM)
Ketiga: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Anugerah Khas Juri: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Anugerah Penari Lelaki Terbaik: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Anugerah Penari Wanita Terbaik: Universiti Putra Malaysia (UPM)
Anugerah Penataan Terbaik: Universiti Putra Malaysia (UPM)
Anugerah Busana Terbaik: Universiti Putra Malaysia (UPM)
Anugerah Tatarias Terbaik: Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
Anugerah Kumpulan Berbakat: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)



ANUGERAH SERI PERDANA
Kejutan yang pertama, kami berjaya memenangi Anugerah Seri Perdana (markah 80% ke atas) sebaris dengan empat universiti lain iaitu UPM, UTHM, USM dan UPSI. Anugerah Perdana pula dimenangi oleh UTM dan USIM. Manakala Anugerah Utama pula membariskan UNIMAP, UMP, dan UMT. Memang penyertaan tahun ini tidak melibatkan beberapa nama besar lain seperti UNIMAS, UUM, UM dan UiTM, tetapi kejayaan kami memenangi Anugerah Seri Perdana sudah cukup membanggakan aku. Bukan mudah untuk berdiri sebaris dengan universiti-universiti lain yang jauh lebih senior daripada kami dalam bidang tarian ini. Hei, kami cuma menyasarkan anugerah perdana sahaja ok!


ANUGERAH PENARI LELAKI TERBAIK
Kejutan kedua, salah seorang penari kami, Norahman Suradi dinobatkan sebagai Penari Lelaki Terbaik,. Maman, anda satu antara seribu pada malam itu tau. Kejayaan Maman benar-benar membanggakan kami. Mana tidaknya, antara lebih 50 orang penari lelaki yang lain, Maman juga yang mencuri hati Juri. Terima kasih kerana menambahkan lagi anugerah kemenangan kita. Untuk makluman, pemilihan tiga tempat teratas adalah berdasarkan markah dan juga jumlah anugerah yang dimenangi. Maka semestinya semua peserta ingin merangkul sebanyak mungkin anugerah yang dipertandingkan.

ANUGERAH KHAS JURI
Kejutan ketiga, kami membawa pulang anugerah yang telah kami idam-idamkan pada tahun lepas iaitu Anugerah Khas Juri. Aku suka dengan anugerah ini kerana ia sangat misteri dan paling penting ia adalah pemberian khas daripada Juri. Pastinya kami akan terus tertanya-tanya kenapa Juri memberikan hadiah ini kepada kami kerana tiada kriteria khas tentang cara pemilihannya.

Kejutan keempat, kami beranggapan kami tidak layak untuk memenangi tiga tempat teratas kerana kami telah diberikan Anugerah Khas Juri. Ini berlaku kepada pemenang tahun lepas. Tapi, tanpa disangka-sangka kami berjaya juga mendapat tempat ketiga keseluruhan! Fuh, memang hilang suara menjerit meraikan kemenangan malam itu! UPM menepati ramalan dengan Zapin Ghalit yang sangat unik dan mengasyikkan. Muzik dan langkah gaya mereka sangat profesional dan menarik. Mereka memang layak menang setelah menggondol 4 anugerah utama yang lain.


SYUKUR ALHAMDULILLAH
Aku akui kejayaan ini terlalu besar untuk kami. Empat anugerah besar dalam satu masa dengan pengalaman kurang dari setahun, latihan yang tidak sampai sebulan dan mewakili sebuah Universiti yang tidak penah dikenali langsung dalam bidang seni tari di Malaysia. Tidak hairanlah kalau Lan tidur pun tersenyum, Razz pula asyik terbayang-bayangkan suasana malam itu, Maman pula masih merasakan semuanya bagaikan mimpi, dan semua orang masih asyik tersenyum lebar. Tak tahu bagaimana nak melahirkan rasa gembira dan syukur atas kejutan ini. Sekalung tahniah buat Koreografer kami, Abang Khalid atas koreografi yang mengagumkan, juga kepada semua ahli kumpulan zapin UIAM yang sentiasa berusaha melakukan yang terbaik. Bergaduh-gaduh kecil tu biasalah kan? Hehe.. Terima kasih Khalid, Syazwan, Che Mat, Shah, Maman, Razz, Lan, Amer, dan Adnan atas setiap peluh yang menitik demi menaikkan nama kelab kita.

Owh! Adakah aku terlalu membanggakan diri? Adakah aku terlalu menunjuk-nunjuk? Maaf itu bukan niat aku. Semuanya adalah demi sebuah kenangan yang aku tak mahu lupakan. Hmmm..bukankah laman ini aku dedikasikan buat diri sendiri? Hehe.. Teruskan perjuangan teman! Ingat, mengekalkan kemenangan adalah lebih sukar daripada mencipta kemenangan.

31 August 2007

Selamat Merdeka.... an-nidxam!




Selamat Merdeka Malaysia! Dah 50 tahun rupanya. Dan selamat merdeka juga untuk aku haha! Alhamdulillah, akhirnya aku berpeluang juga menghadiri majlis konvokesyen sebagai meraikan tamatnya 6 tahun aku bermastautin di Taman Ilmu dan Budi ni. 2 tahun di Pusat Matrikulasi dan 4 tahun lagi di Kampus Utama Gombak. Fuh! Lama gila kan? Sebenarnya aku dah hampir-hampir terlupa tentang majlis ni sebab agak serabut dengan zapin dan resume. Aku terlambat nak ambil jubah konvokesyen. Mujur saiz aku masih ada. Tapi segalanya tetap berjalan lancar. Aku tetap seronok dan bangga.

Kata seorang kawan, menghadiri majlis konvokesyen hanya sekadar simbol. Simbol kepada berakhirnya tempoh pembelajaran kita di UIA ni. Jadi pada dia, hadir atau tidak ke majlis ni bukanlah perkara penting kerana yang lebih penting adalah memiliki segulung ijazah. Namun pada pandangan aku, majlis ni sangat penting. Ia ibarat hadiah kepada ahli keluarga aku kerana ini adalah kali pertama mereka merasai suasana majlis konvokesyen. Sekurang-kurangnya apabila orang bercerita tentang konvokesyen, mereka dapat membayangkan dengan tepat akan bagaimana rupa bentuknya.

Apapun, tahniah kepada semua graduan UIAM yang ke 23. Banyak yang perlu kita lakukan selepas ini untuk menjadikan majlis graduasi bukan sekadar simbol, tapi sebagai pembakar semangat untuk menjadi yang lebih terbaik! Insya Allah…

Terima kasih kepada Adnan sebagai penaja persalinan aku (aku tak perlu beli baju baru pun untuk majlis ni hehe) dan juga Pijan sebagai pengapit aku (haha! teman setia -lah lebih kurang). Pijanlah yang banyak tolong peringatkan aku tentang banyak benda termasuk tentang persediaan untuk majlis ni. Macam nak kahwin je kan? Hmmm.. aku tahu apa yang korang fikir…hehe. Selamat datang ke dunia baru! Selamat Merdeka Malaysia!

08 August 2007

Senyum Tangis Pening :: BMW Shorties Screening





Semalam propaganda BMW Shorties Screening keluar Kosmo.. satu muka surat besar.. kecoh kejap satu kampung haha! Apa-apa pun, aku tak sabar nak jemput semua komiti program untuk Malam Jasamu Dikenang .. Insya Allah..

02 August 2007

Isu Lelaki Bermekap Kumpulan Zapin UIAM

Hmm... isu budak-budak Zapin memakai mekap ini sebenarnya sudah membosankan bagi kami. Kadang-kadang kami dikelirukan oleh macam-macam cakap-cakap orang. Mereka bising, kemudian senyap. Tanpa dalil, tanpa alasan. Sekadar mencetuskan kontroversi barangkali. Untuk itu saya hadiahkan entri ini untuk mereka. Ini adalah pendirian kami, IIUM Zapin Group.
Satu peringatan, kami amat jarang memakai mekap ketika membuat persembahan. Jika kami memakai mekap sekalipun, ia bukanlah kerana kami mahu menyerupai perempuan. Kami sudah cukup berbangga memiliki wajah tampan untuk digilai wanita-wanita normal! Walau apapun, komen dan pandangan anda amat kami alu-alukan.

HUKUM LELAKI MEMAKAI MEKAP
Hukum asal sesuatu perkara termasuklah perhiasan adalah HARUS, melainkan ada dalil yang mengharamkannya. Jadi, pakai bedak umpamanya, untuk mengelakkan muka berminyak tidak dilarang oleh mana-mana nas syarak.

Malahan syarak menggalakkan seseorang muslim berketrampilan bersih dan kemas. Dalam hadis sahih Muslim dan lain-lain:
"Tidak masuk syurga orang yg ada dalam hatinya takabur walau seberat zarah"
lalu sahabat bertanya: Apa pendapatmu tentang seorang lelaki yang suka pakaiannya cantik, dan sepatunya cantik.
kata Nabi: "Sesungguhnya Allah cantik, dan sukakan kecantikan. Takabur ialah: tidak menerima kebenaran, dan memperlekehkan manusia".

TETAPI
Sesuatu perkara yang HARUS pada asalnya, boleh bertukar kepada haram dengan sebab perkara luaran. Contohnya dalam permasalahan kita, seorang yang bermekap dengan tujuan untuk membuat persembahan yang haram, atau untuk berlakon dalam perkara yang dilarang syarak, atau memakai mekap kerana mahu menyerupai wanita, atau memakai mekap yang diperbuat daripada perkara haram. Walaupun hukum asal ialah HARUS, tetapi bertukar kepada HARAM dengan sebab luaran.

Untuk mudah memahami, ulama Usul membahagikan HARAM kepada jenis.
1) Haram pada zatnya: seperti zina, mencuri
2) Haram kerana sifatnya: seperti arak haram kerana memabukkan.
3) Haram kerana perkara luaran: seperti membeli pisau tujuan untuk bunuh orang. (Beli pisau: HARUS, tetapi bunuh orang :HARAM, jadi beli pisau pun jadi HARAM.

Masalah lelaki mekap ini, boleh masuk bahagian ketiga, sekiranya tujuannya haram. Kalau tiada bercampur dengan perkara haram maka hukum ASALNYA HARUS.

Wallahu a'lam.

Sumber: http://www.al-ahkam.net/

BMW Shorties Screening

Meski ramai yang mahu menang dan menjadi sebahagian daripada sejarah, namun tidak semua mahu kecewa dan menjadi sebahagian daripada yang kalah.

MISTERI YANG MAHAL
BMW Shorties Screening, sebuah program yang penuh misteri pada asalnya (ibarat misterinya filem Westbound) akhirnya membuatkan aku tersenyum lega juga. Ternyata bukan mudah untuk menganjurkan sebuah program bersama-sama dengan sebuah syarikat korporat besar seperti BMW. Segalanya hanya bermula dari satu emel, kini semuanya sudah jadi sejarah. Sejarah yang sangat mahal untuk Mahallah Ali yang baru berusia sepuluh tahun. Mahal-lah tu kan? Tahu bagaimana kami mendapatkannya? Program ini diadakan selama dua malam berturut-turut. Sepuluh filem pendek yang merupakan finalis pertandingan BMW Shorties ditayangkan secara percuma sambil diselitkan dengan sesi soal jawab bersama pengarah-pengarah filem terbabit. Pop corn dan air coke percuma sumbangan BMW juga dihidangkan untuk semua yang datang sebagai cenderahati.

MULA MENCARI PENYAKIT
Mulanya, idea ini hanya datang dari empat orang MRC pencen (yang sengaja mencari penyakit haha!) iaitu Zamri, Syarafuddin, Haeqal (bakal pencen) dan aku. Selepas seronok menonton filem-filem BMW Shorties di “bilik gerakan rasmi” kami, satu idea tiba-tiba tercetus. Lantas satu perjumpaan diatur dengan syarikat perhubungan awam BMW iaitu Fleishman Hillard di Mid Valley pada awal April 2007. Gerak kerja dimulakan dengan bantuan rakan-rakan seperti Engku (terima kasih untuk poster yang cun walau terpaksa diperbetulkan berpuluh-puluh kali haha!) dan juga Alif (pakar linguistik kami hehe). Mujur gerak kerja kami bermula awal, maka tidak banyak perkara yang menimbulkan kekalutan. Segalanya berjalan lancar. Kami menerima hampir 70 orang ahli jawatankuasa ikhlasrela - ibarat satu keajaiban buat aku. Sayangnya kami terlepas pandang akan aspek teknikal yang amat-amat penting untuk sebuah program berkonsepkan “pawagam” seperti BMW Shorties ini. Tayangan hari pertama, sangat mengecewakan kerana terlalu banyak kesilapan audio visual berlaku. Siapa yang suka tengok wayang yang filemnya tersekat-sekat kan? Hari kedua kami kuatkan azam. Terima kasih kepada Fleishman Hillard yang banyak membantu kami. Semua yang datang seperti para pelajar, wartawan, pengarah-pengarah filem, syarikat-syarikat produksi dan juga tetamu khas kesemuanya berpuas hati. Alhamdulillah.
PROTOKOL DAN PENGHALANG
Suatu perkara yang aku sangat suka apabila bekerja dengan BMW adalah dari aspek protokol. Mereka bukanlah orang-orang yang terlalu berprotokol seperti yang kita bayangkan. Tiada sofa empuk untuk mereka, tiada pop corn atau air coke yang berbeza untuk mereka. Apa sahaja yang dinikmati oleh penonton, itulah juga yang mereka mahukan. Tiada diskriminasi. Semua orang adalah VIP. Suatu idea yang murni. Program juga menjadi sangat santai tetapi menghiburkan – pujian untuk celoteh mesra pengacara majlis, Faiz. Ramai yang bertanyakan kenapa BMW memilih UIAM untuk menjadi tuan rumah program ini? Jawapannya, mungkin kerana kami sangat teruja dengan filem-filemnya yang pendek tetapi “panjang” mesej dan kualitinya. Kami terlalu komited untuk berkongsi rasa teruja kami dengan semua peminat filem. Memetik kata-kata Pengurus Hal Ehwal Korporat BMW, ramai yang berminat untuk membuat program seperti ini dengan BMW. Namun Mahallah Ali sahaja yang berjaya memecahkan tembok penghalang. Malah kami menjadi inspirasi untuk mereka mengadakan road tour seluruh Malaysia pula. Dan BMW turut menantikan sekurang-kurangnya satu penyertaan untuk mewakili UIA dalam pertandingan BMW Shorties pada tahun depan. Berminat? TANGISAN DAN SENYUMAN
Program ini sememangnya ringkas (sependek namanya), tetapi mengambil masa hampir empat bulan untuk direalisasikan. Kami sedar bahawa kami membawa nama UIA kepada komuniti luar kampus. Jadi, kami sedaya upaya melakukan yang terbaik. Sejuta penghargaan kepada semua yang menyokong kami. Namun kami sedar tidak semuanya sempurna, maka ampun maaf kami mohonkan. Kami menangis pada hari pertama program ini. Syukur, rupa-rupanya itulah hikmah yang membawa kepada senyuman pada hari keduanya. Bak kata Syarafudin, ramai yang mahu menang dan menjadi sebahagian daripada sejarah, namun tidak semua mahu kecewa dan menjadi sebahagian daripada yang kalah.

Jumpa lagi pada tahun depan.. mungkin?

21 July 2007

Jom Tengok Wayang PERCUMA..!

Program yang julung-julung kalinya menggabungkan persatuan pelajar di UIAM (MRC Ali) dan agensi korporat BMW, bersatu tenaga dan idea menghasilkan satu program yang lain daripada yang lain:

BMW SHORTIES SCREENING
26 & 27 JULY 2007 (Thursday & Friday)
8 PM - 11 PM
MAIN AUDITORIUM UIAM GOMBAK

10 finalis pertandingan filem pendek BMW bakal ditayangkan secara esklusif di UIAM. Saksikan sendiri keunikan dan kualiti yang ditampilkan oleh pengarah-pengarah muda berbakat dari seluruh Malaysia. Satu program yang tidak harus dilepaskan oleh peminat-peminat seni fotografi dan sinematografi.

Free pop corn, free drinks, free movies, so lets just free yourself..!

Details: www.aliman.wordpress.com
Email: mahallah.ali@gmail.com
Contact: 014 - 625 8985 (Syarafuddin)

21 June 2007

Selamat Ulang Tahun ke-10 untuk Mahallah Ali.

Mahallah Ali di Utusan Malaysia: click here

Acara tahunan Mahallah Ali yang disusun penuh gilang gemilang telah berakhir 4 Jun yang lepas. Annual Vision Award edisi kedua ini dianjurkan secara bersama dengan Mahallah Asiah pula. Sebenarnya, konsep malam anugerah ini telah dimulakan sejak tahun 2005 dengan nama Annual Appreciation Night dan Mahallah Safiyyah menjadi penganjur bersama. Kemudian namanya ditukar kepada Annual Vision Award pada tahun 2006 sempena persaraan Rektor Prof. Dr. Kamal Hassan dan dianjurkan bersama dengan Mahallah Ameenah. Kegemilangannya diteruskan pula pada tahun 2007 ini bersempena dengan ulang tahun ke 10 Mahallah Ali dan ulang tahun kedua untuk Mahallah Asiah.



Pada hari inilah kami menghargai setiap residen Mahallah Ali atas sumbangan mereka merealisasikan objektif program iaitu “IIICE is a Way of Students’ Life” (Kecemerlangan Menyeluruh). Pada hari ini jugalah kesemua bekas ahli MRC, bekas staf dan juga bekas residen Mahallah Ali dikumpulkan. Alhamdulillah tahun ini kami berjaya mengumpulkan hampir kesemua Presiden MRC Ali dari tahun 2001 hingga 2007. Malangnya kami tidak berjaya menghubungi Presiden yang pertama atas masalah dokumentasi. Ada sesiapa yang kenal beliau?





Konsep tradisional menjadi pilihan tahun ini. Jadi aku terus teringatkan Kumpulan Dewangga Sakti dan Kumpulan Zapin UIAM yang mana kedua-duanya memperjuangkan irama tradisional. Ternyata persembahan mereka tidak menghampakan.



Aku juga sangat berpuas hati dengan hiasan pentas (walaupun menggunakan barang-barang terpakai tetapi kreatif) serta persembahan multimedia yang semestinya sentiasa membuatkan aku kagum sepertimana tahun lepas. Pilihan muzik dan animasi yang sangat menarik. Tahniah juga kepada CET atau lebih dikenali sebagai ROVAS yang berjaya membantu menyempurnakan majlis. Mereka datang awal ke dewan dan memberi kerjasama yang sangat baik. Tahniah dan terima kasih!

Apa pun, sekalung tahniah kepada jawatankuasa program. Semestinya kepada MRC Ali dan MRC Asiah yang bertungkus lumus menjayakan acara tradisi yang sentiasa ditunggu-tunggu ini, walaupun masa yang diberikan agak singkat (lain kali jangan buat kerja saat-saat akhir ok). Tahniah juga kerana bilangan residen yang datang berjaya memenuhi setiap ruang kosong. Cuma sikap segelintir mereka yang meninggalkan majlis sejurus selepas acara makan malam amat dikesali. Kenapa ya?




Tahniah kepada semua barisan pemenang tahun ini. Teruskan kecemerlangan anda selepas graduasi nanti ya. Mahallah Ali kini sudah 10 tahun.. terus unggul sebagai “The Leading Mahallah in IIUM”.

15 June 2007

Video-video Zapin di Youtube

Bosan? Inginkan hiburan secara maya? Mari saya cadangkan ini...

http://www.youtube.com/annidxam

Video-video zapin. Hehehe...

Selamat Ulangtahun pertama untuk Kumpulan Zapin UIAM..!