
Seorang teman dari UTM yang menyaksikan teater tersebut menyatakan “Bukanlah apa-apa sangat isunya. Biasa-biasa sahaja. Siapa yang makan cili dia rasakanlah pedasnya.” Isu birokrasi adalah antara subjek utama pasukan teater UIAM. Satu isu yang telah lapuk malah aku rasa Krajaan sendiripun mengakui kewujudannya. Dalam Krajaan 10% pekerjanya berada pada tahap prestasi yang di bawah par. 10% inilah yang mencalit nama buruk kepada kerajaan. Bak kata Pak Lah, rakyat mengkritik bukan kerana mereka bencikan Krajaan, tapi kerana sayang. Dengarlah masalah rakyat - kata Pak Lah.
Pada aku tindakan ini sangat mengecewakan terutamanya kepada pasukan kebudayaan UIAM yang lain selain daripada teater. Aku yang pernah bergelumang dalam arena MAKUM sangat merasakannya. Kasihan kepada pasukan pantun, pengdeklamator sajak dan puisi, kumpulan nasyid, terbaru zapin, dan apatah lagi teater yang saban tahun meletakkan MAKUM sebagai medan utama untuk mengukur aksi.
Aku tertanya-tanya sendiri, bukankah skrip perlu melalui proses penapisan di peringkat universiti dan juga di peringkat MAKUM selaku penganjur? Tidak termasuk sesi raptai yang sepatutnya diawasi pegawai-pegawai jawatankuasa. Mengapa selepas dipentaskan baru isunya timbul? Adakah panel yang sedang menapis skrip tidak merasakan isu sensitif yang dibawakan, tetapi tiba-tiba ahli panel itu menjadi sangat sensitif apabila persembahan UIAM ditegur oleh orang-orang besar Krajaan? Tiba-tiba mereka bersepakat. Ya! Ini isu sensitif. UIAM harus dihukum kerana terlalu kreatif dan terlalu berfikiran terbuka. Tapi tuan, tolonglah hukum orang yang sepatutnya. Bukan kepada kami yang berjuang memartabatkan seni budaya negara secara percuma. Terhina sungguh rasanya kerana rupanya selama ini kehadiran kami hanya dipandang begitu begitu! Ada tak mengapa, tak ada pun tak mengapa.
Walau apapun, kalau benar kesalahan terkandar pada bahu UIAM dan pasukan teater, ada sesuatu yang UIAM harus lakukan untuk membantu. Mereka mesti membantu semua pasukan kebudayaan yang lain meneruskan aktiviti mereka. Jangan biarkan pasukan ini tiba-tiba senyap sunyi tanpa platform untuk membuat persembahan kononnya atas apa sahaja alasan yang memualkan. Memang MAKUM pemberi semangat, tapi sekarang kita harus mencari punca semangat kita sendiri. Engkau rakyat terbuang, maka pandai-pandailah menanam padi mencari nasi.
Tapi tak mengapalah. Perkara semacam ini bukanlah kali pertama dilakukan oleh mereka yang takut dengan bayang-bayang sendiri.

