27 February 2008

Jangan Kalah dan Kalah

Hari Kraf Kebangsaan 2008 sepatutnya dijadual berlangsung minggu ni bermula 28 Februari. Malangnya terpaksa ditunda dek pilihanraya umum yang sedang berperang poster mengempang kekalahan. Jadi aku ada sedikit ruang untuk memenangkan diri sendiri. Sedikit ke? Banyak jugalah hehe.

Aku dimaklumkan Mahallah Ali kalah dalam Inter-Mahallah Cultural Week (IMCW) tahun ni. Mahallah paling bongsu yakni Mahallah Zubair berjaya menjadi Johan. Tahniah untuk semua yang telah melakukan yang terbaik demi Mahallah masing-masing terutama kepada Mahallah Ali. Mujur IMCW masih diteruskan kesinambungannya walaupun ada cakap-cakap yang mengatakan mahu menghentikannya terus. Kalau betul cara koordinasi dan pengawalannya, tiada apa yang akan melampaui batas kan? Bukankah kaca-kaca tajam itu sepatutnya sudah mengajar kita erti luka sepanjang hayat?
Tahniah untuk Kumpulan Angklung UIAM yang dipilih sebagai persatuan terbaik untuk kategori Unit Kebudayaan UIAM. Sudah dijangkakan susah untuk kumpulan Zapin merebut anugerah ni. Zapin hanya disenaraipendekkan bersama-sama Gamelan dan itupun kami dah bersyukur. Tahun depan pula hehe.
***

Aku baru melangsaikan hutang dengan novel Curahan Cinta Niagara tulisan Maya Iris. Jalan ceritanya menarik dengan konflik yang bermacam bagai. Unsur Islami diserap perlahan-lahan moga-moga terkesan di hati pembaca. Dan aku mengakui sedikit sebanyak berbekas juga dalam kepala otak aku yang makin berkarat ni hehe.

Tapi...
Semenjak khatam Laskar Pelangi, Sang Pemimpi dan Edensor, aku sangat merasakan novel-novel yang aku baca sekarang tak mampu melawan kehebatan ketiga-tiga karya Andrea Hirata tu. Tulisan Andrea Hirata membuatkan aku membaca sebutir-sebutir perkataan yang dia tulis sebab setiap perkataan tu sangat memberi makna dan indah-indah belaka olah bahasanya. Tak sama dengan novel-novel yang selalu aku baca selama ini yakni secara "speed reading", tak perlu ditelan setiap butir perkataan kerana kita sudah faham maksud keseluruhan yang nak disampaikan. Jadi kadang-kadang aku hanya membaca kosong. Hanya berusaha menoktahkan jalan cerita.

Apa aku terlalu mengagungkan karya Indonesia? Ah perbandingan gaya penulisan antara Malaysia dan Indonesia sudah selalu sangat dicerita-ceritakan. Malahan seorang teman berwarganegara Malaysia sangat bangga menyatakan dia hanya membaca buku-buku penulis Indonesia. Dan aku belum sampai ke tahap itu. Kata Andrea Hirata, antara manusia yang perlu diprasangkakan adalah penerbit buku. Apakah itu yang sedang berlaku di Malaysia? Atau orang Malaysia hanya rajin menulis blog tapi susah nak membaca dan menulis buku. Macam aku... sipi-sipi haha!
Apapun, selagi semangat masih ada, perteruskanlah. Bukankah orang yang hanya menyerah pada nasib adalah orang yang kalah dan kalah?

11 February 2008

UIAM kena GAM ..!


Satu tindakan yang sangat menyedihkan. UIAM digam daripada menyertai mana-mana aktiviti yang dianjurkan oleh Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM), sebuah majlis yang ditubuh untuk menggerakkan aktiviti kebudayaan di IPTA seluruh Malaysia. Punca jadi adalah skrip pasukan UIAM yang bertanding di Festival Teater Makum pada 18 Januari 2008 lepas dikatakan menghina sensitiviti Krajaan.

Seorang teman dari UTM yang menyaksikan teater tersebut menyatakan “Bukanlah apa-apa sangat isunya. Biasa-biasa sahaja. Siapa yang makan cili dia rasakanlah pedasnya.” Isu birokrasi adalah antara subjek utama pasukan teater UIAM. Satu isu yang telah lapuk malah aku rasa Krajaan sendiripun mengakui kewujudannya. Dalam Krajaan 10% pekerjanya berada pada tahap prestasi yang di bawah par. 10% inilah yang mencalit nama buruk kepada kerajaan. Bak kata Pak Lah, rakyat mengkritik bukan kerana mereka bencikan Krajaan, tapi kerana sayang. Dengarlah masalah rakyat - kata Pak Lah.

Pada aku tindakan ini sangat mengecewakan terutamanya kepada pasukan kebudayaan UIAM yang lain selain daripada teater. Aku yang pernah bergelumang dalam arena MAKUM sangat merasakannya. Kasihan kepada pasukan pantun, pengdeklamator sajak dan puisi, kumpulan nasyid, terbaru zapin, dan apatah lagi teater yang saban tahun meletakkan MAKUM sebagai medan utama untuk mengukur aksi.

Aku tertanya-tanya sendiri, bukankah skrip perlu melalui proses penapisan di peringkat universiti dan juga di peringkat MAKUM selaku penganjur? Tidak termasuk sesi raptai yang sepatutnya diawasi pegawai-pegawai jawatankuasa. Mengapa selepas dipentaskan baru isunya timbul? Adakah panel yang sedang menapis skrip tidak merasakan isu sensitif yang dibawakan, tetapi tiba-tiba ahli panel itu menjadi sangat sensitif apabila persembahan UIAM ditegur oleh orang-orang besar Krajaan? Tiba-tiba mereka bersepakat. Ya! Ini isu sensitif. UIAM harus dihukum kerana terlalu kreatif dan terlalu berfikiran terbuka. Tapi tuan, tolonglah hukum orang yang sepatutnya. Bukan kepada kami yang berjuang memartabatkan seni budaya negara secara percuma. Terhina sungguh rasanya kerana rupanya selama ini kehadiran kami hanya dipandang begitu begitu! Ada tak mengapa, tak ada pun tak mengapa.

Walau apapun, kalau benar kesalahan terkandar pada bahu UIAM dan pasukan teater, ada sesuatu yang UIAM harus lakukan untuk membantu. Mereka mesti membantu semua pasukan kebudayaan yang lain meneruskan aktiviti mereka. Jangan biarkan pasukan ini tiba-tiba senyap sunyi tanpa platform untuk membuat persembahan kononnya atas apa sahaja alasan yang memualkan. Memang MAKUM pemberi semangat, tapi sekarang kita harus mencari punca semangat kita sendiri. Engkau rakyat terbuang, maka pandai-pandailah menanam padi mencari nasi.
Tapi tak mengapalah. Perkara semacam ini bukanlah kali pertama dilakukan oleh mereka yang takut dengan bayang-bayang sendiri.

28 January 2008

Aku Sedang Sakit


Aku sudah terlalu sakit. Meski telah lama aku deritakan sakit ini tapi kebahnya tetap tak kunjung tiba.

Tiga kali aku terlantar di rumah sakit kronik. Dalam jangka waktu tiga tahun. Belum dihitung seksa di katil kamar. Berulang-ulang kali diguris ditoreh perit. Manakan tidak kalau lukanya pasti di parut yang sama. Kalau dilihat dari imbasan sinar-x, semestinya telah hitam legam kesannya.

Tapi otak aku tiga kali lebih hitam. Degil hendak mencegah. Konon betah merawat. Nah! sekarang aku sudah mati rasa. Mati sendi. Mati urat saraf. Hanya menanti matinya nyawa.

Seharusnya aku berterima kasih pada tiga jasad bersilih ganti. Ibarat tabib selama mencari kedewasaan. Mengajar eja nama-nama ubat yang sepatutnya aku telan. Memberitahu pahit itulah penawar. Sakit itulah hikmat.

…Kawan mengertikan, itulah sakit cinta namanya.


" eh! anda tidak perlu berasa apa-apa untuk saya .. sekadar prosa rasa untuk dikongsi bersama . edensor yang telah aku khatamkan memberi ilham pada penulisan ini . ada komentar? "

21 January 2008

Dua Ribu Lapan ... Beribu-ribu Kekuatan

Belum terlewat nak ucap selamat datang kepada tahun 2008 kan?

2008, aku datang dengan imej baru, rambut baru sebenarnya haha! Tak pernah dalam sejarah hidup aku membotakkan kepala, tapi sekarang nah! Ramai yang terkejut haha! Sengaja bersihkan kepala sebelum segala keserabutan datang hinggap kerana 2008 ini kita harus bekerja dengan lebih kuat lagi.


Aku dikhabarkan bahawa Kumpulan Zapin UIAM bersama-sama Gamelan dan Angklung (kalau tak silap) dicalonkan sebagai finalis untuk “Annual Co-curriculum Award” di bawah kategori unit kebudayaan. Wah! Baru setahun jagung dah jadi finalis. Patutnya boleh dapat Anugerah Kumpulan Harapan kot hehe. Tahniah untuk semua ahli dan juga penyokong kumpulan zapin UIAM. Harap-harap boleh menang. Yang pasti 2008 ini kita harus bekerja dengan lebih kuat lagi.

Ustaz Fauzi, Pengetua Mahallah Ali menghubungi aku. Berbual-bual tentang Inter-Mahallah Cultural Week yang bakal berlangsung Februari nanti. Harapnya Mahallah Ali akan terus berusaha mengekalkan kejuaraan dan menampilkan yang terbaik seperti sebelum ini. 2008 ini kita harus bekerja dengan lebih kuat lagi.

2009 nanti aku nak baca semula entri ini. Apakah aku sudah bekerja dengan cukup kuat atau tidak?

17 December 2007

Sang Pemimpi


Dipertemukan dengan karya realistik Andrea Hirata ibarat melepaskan terus sejuta rindu aku pada novel. Sejujurnya, telah lama aku tidak membaca novel, apatah lagi novel sastera sehebat Sang Pemimpi. Hebatnya sungguh! Terima kasih kepada seorang teman jauh yang mencadangkannya.

Sang Pemimpi adalah buku kedua dalam siri tetralogi Laskar Pelangi. Aku belum membaca buku pertamanya atas judul Laskar Pelangi. Terlalu lewat menyedari betapa karya ini sangat laris di pasaran. Justeru aku masih belum ketemu dengan edisi sulung tetralogi ini. Terima kasih kepada seorang teman jauh yang menyedarkan aku.

Membaca Sang Pemimpi seperti membaca diri sendiri. Betapa nasib, cita-cita dan pengorbanan adalah perkara yang selalu disalahertikan lantas disalahgunakan. Mengajar aku lebih menghargai perhubungan cinta kemanusiaan. Benar. Novel ini benar-benar sebuah karya yang membangkitkan semangat. Semangat datang setelah rasa sebak acapkali melinangkan air mata. Semangat datang setelah bibir mengukir senyum, kadang tergelak sendiri pada kelakar yang sinis. Mainan emosi yang mengkagumkan persembahan ayat-ayat segar dan mempesonakan Andrea Hidrata! Mungkin kerana ia adalah satu kisah benar petikan pengalaman hidup penulis maka ia sangat terkesan dalam hati aku. Apapun, terima kasih kepada seorang teman jauh yang mencadangkannya.

Jadi, saya cadangkan tetralogi Laskar Pelangi ini untuk anda pula. Dan jika ada lagi novel lain seperti ini beritahukan saya ya?




13 December 2007

12 Disember 2007





tiap bertambah umur usia
harap bertambah amalan mulia
nikmat hidup jangan dipersia
akhirat jua beroleh kurnia

...Sempena Ulang Tahun Jubli Perak an-nidxam. Alhamdulillah.





03 December 2007

RAHSIA... kerana aku telah tahu.

Hidup ini satu rahsia. Kerana tiada seorang pun yang tahu apa yang akan berlaku kelak. Hari ini, kita tak akan tahu apa yang akan berlaku esok. Tahun ini, kita tak akan tahu apa yang akan terjadi tahun depan. Sampai bila-bila pun kita akan sentiasa dalam ketidaktahuan.

Begitu juga dalam perhubungan. Sampai mati pun kita tak akan tahu segala tentang dia. Dia juga tak akan tahu segala-galanya tentang diri kita. Namakan apa pun. Cinta, ikatan, pernikahan apatah lagi perpisahan. Tiada satupun yang jadi penjamin untuk kita mengetahui sepenuhnya tentang dia.
Itulah menariknya ketidaktentuan ini. Lagi banyak perkara yang kita tidak tahu, lagi mencabar perjalanan hidup. Lebih menyeronokkan dan mendebarkan. Setiap hari kita akan cuba mencari tahu tentang apa sahaja. Semakin banyak yang kita tahu, akan tersedarlah sendiri betapa banyak lagi yang kita tidak tahu.

Jadi, manfaatkan setiap saat. Usah asyik berkalau-kalau. Kita tetap tidak akan menjadi yang Maha Mengetahui.

***


Rahsia... Kerana Aku Telah Tahu.

Tak perlu kau rasa bersalah
Atas dusta yang kau cipta
Jangan juga berasa malu
Pada mungkir janji dahulu
Biar lali merawat luka sendiri
Daripada menagih janji janji basi
Kerana aku telah faham
Kata hati bukan di bibir
Kerana aku telah tahu
Rahsia cinta sebenar
Kerana aku telah percaya
Cinta yang mana membawa ke syurga

Keramat
28 November 2007

:: sediasetiaselagimasihkasih ::


30 November 2007

Kita Perlukan Penanda Aras

Tahukah anda, bagi menjamin dan mengekalkan keaslian tarian-tarian tradisi di Malaysia, satu usaha untuk menentukan penanda aras tarian melayu sedang diusahakan oleh agensi-agensi bertanggungjawab.

Aku sokong sepenuhnya usaha ini walaupun aku bukanlah seorang penari pun. Sekadar suka-suka di zaman universiti sahaja. Aku sokong kerana kebelakangan ini meluat juga menonton tarian yang dikatakan tradisional tetapi kadang-kadang tak nampak di mana keasliannya. Melompat-lompat, terbaring-baring, bergesel-gesel lelaki dan perempuan. Itu belum cerita bab pakaian lagi. Hilang kelembutan dan kesopanan yang sepatutnya ditonjolkan oleh penari-penari Melayu.

Akan datang mungkin akan muncul penanda aras bahasa melayu, penanda aras pakaian melayu, penanda aras budi bahasa dan macam-macam lagi. Semuanya kerana kita selalu cenderung untuk melampaui batas.

Moga-moga seratus tahun lagi anak Melayu masih kenal zapin, joget atau inang dan bukan hanya ballroom dance, break-dance atau dirty dance!

19 November 2007

Video Festival Zapin MAKUM 2007 !

Video persembahan UIAM di Festival Zapin MAKUM 2007 kini boleh disaksikan di youtube.com. Hehe.. berterima kasihlah kepada "tintaberdarah" yang sudi memuatnaikkan video tersebut. Setakat hari ini, hanya ada video dari UPM dan UIAM sahaja. Mungkin yang lain akan menyusul.



Apa lagi.. pergilah layan. Komen jangan tak komen hehe. Lawat URL ini: www.youtube.com/tintaberdarah

Tapi setelah aku menelaah video ini entah berapa ratus kali, ada sesuatu yang aku nak kongsi cerita.

Pertama, kami memang terlalu teliti dengan koreografi dan spacing (penggunaan ruang) sepanjang tempoh latihan. Koreografi abg.Khalid memang susah kalau nak dibandingkan dengan universiti lain. Banyak berlari dan curi langkah. Jadi, kesilapan yang sedikit mungkin akan membawa kepada kemalangan haha! Usah ditanya berapa kali kami terjatuh semasa latihan. Perlanggaran dan pergeseran yang tak sepatutnya dilihat. Secara peribadi aku kira UPSI nampak lemah dalam aspek ini. Mungkin itu antara yang dikatakan hakim sebagai tertib menari.

Kedua, oleh kerana terlalu banyak masa dihabiskan untuk koreografi, kami tidak sempat memperincikan pergerakan tangan. Kami telah mencuba. Banyak kali. Tetapi masih terpengaruh dengan kebiasaan. Masing-masing ada gaya tersendiri dan susah untuk diubah dalam masa yang suntuk. Tapi, keseluruhannya masih memuaskan walaupun aku akui yang UPSI lebih hebat dari segi persamaan tangan ini.

Ketiga, aku sangat memuji koreografer kami yang aku anggap sangat kreatif dalam menghasilkan bentuk-bentuk yang abstrak dan lain dari yang lain. Dari menegak jadi melintang, dari bulat jadi anak panah, dari sebaris jadi berpasangan. Beliau tahu bagaimana untuk menghasilkan tarian yang tidak membosankan dan nampak bertenaga. Aku paling suka bahagian taksim dan buka langkah. Setelah setahun kami berzapin, baru kami sedar betapa lemahnya pergerakan tarian-tarian kami sebelum ini.

Keempat, anda mungkin nampak persembahan kami kurang bertenaga walhal kami sudah bermandi peluh. Memang itu hakikat kalau anda menonton melalui video rakaman dan bukan secara langsung. Pengalamannya berbeza. Apapun anda perlu menyaksikan kesemua kumpulan yang bertanding. Kemudian barulah anda boleh menyaksikan keunikan UIAM hehe.

Jadi, apa pula komen anda?

05 November 2007

Pilih Satu Saja..!

Baru dua minggu bekerja dikelilingi pakar-pakar seni budaya di sini, aku sudah sedih dengan diri sendiri. Kadang bingung kadang terkilan.

Aku bertemu dengan pelukis-pelukis mampan dari Balai Seni Lukis Negara. Aku berbual bicara dengan koreografer bertauliah dari Istana Budaya. Aku mendengar cerita daripada pakar kraftangan, grafik dan lukis melukis. Aku berkenalan dengan penulis-penulis baru yang sangat tekun dengan usaha mereka. Dan ramai lagi yang pastinya akan datang.

Mereka begitu teruja bercerita. Malangnya aku begitu sedih mendengar. Baru aku sedar yang aku langsung tidak berusaha untuk menjadi pakar sepertimana mereka kerana aku terlalu mengejar semua perkara dan akhirnya ketinggalan segala-galanya.

Zaman sekolah aku senang sekali memahirkan diri dalam bab pengucapan umum dan penulisan (terutamanya cerpen dan puisi). Buku dan novel jadi teman setia. Bahasa Melayu memang disanjung tinggi. Terselit harapan untuk bergelumang dalam bidang penulisan suatu hari nanti. Sekarang, aku hanya ada blog yang satu ini.

Begitu juga dengan warna-warna dari berus lukisan dan pen grafik yang sentiasa memenuhi ruang kosong kertas. Segala jenis teknik dicuba dan melahirkan kepuasan yang tak sudah-sudah. Malah pernah aku potretkan wajah pengantin kakak. Sekarang, berus lukisan pun aku dah kekok nak pegang.

Zaman kampus, aku belajar seni suara pula. Baru aku mengerti tentang harmoni, falsetto, suara 2, suara 3, dan macam-macam lagi. Lagu-lagu nasyid dan rnb jadi siulan. Hampir-hampir menerbitkan album. Sekarang aku hanya menyimpan dua lagu demo yang sempat dirakamkan dulu.

Kesusasteraan Melayu terutamanya pantun turut jadi kegilaan. Empat tahun aku mewakili universiti ke festival pantun serata tempat. Masih berangan-angan untuk menerbitkan buku koleksi pantun sendiri. Sekarang hanya punya koleksi puisi persendirian buat tatapan sendiri.

Sebelum kaki meninggalkan zaman universiti, masih sempat mempelajari seni tari zapin. Kalau dulu sekadar menghentakkan kaki, kini aku sudah tahu beberapa jenis zapin di Malaysia terutamanya zapin Johor. Tapi masih banyak jenis zapin lain yang belum sempat dipelajari tetapi terpaksa ditangguhkan untuk mengutamakan alam kerjaya yang baru bermula.

Ada beberapa lagi bidang seni yang aku pernah cuba tapi sekadar dicuba. Seni khat, teater, grafik, fotografi, setakat yang teringat. Tapi tiada satupun yang aku betul-betul mahir. Atau sekurang-kurangnya berusaha untuk menjadi mahir. Pernah aku duduk mentelaah ruang fikir mencari kata selesai. Tapi entahlah. Apakah kerana aku terlalu tamak-minat dengan segala cabang seni budaya? Atau aku takut dengan komitmen dan bermalas-malasan? Kekurangan material dan kewangan. Tidak tetap pendirian dan mudah bosan.

Aku sedang berusaha untuk memilih sekurang-kurangnya SATU cabang seni untuk aku dalami sedalam-dalamnya… tolonglah saya…!