15 July 2008

Message From Water

Liwat? Bodoh? Bocor? Barua? Baghal? Otak kecil?
Sekarang kan kecoh isu bahasa-bahasa kotor di Parlimen Malaysia? Mungkin artikel ini boleh ditujukan buat ahli-ahli Parlimen kesayangan kita itu ...

Sesungguhnya air yang berada di sekeliling kita lebih memahami kata-kata yang baik dan buruk yang dituturkan oleh manusia. Aku berasa malu sendiri selepas melihat eksperimen di bawah ini. Terutamanya ketika kita berada dalam dunia yang semakin sarat dengan kata-kata keji dan nista yang dilemparkan sesuka hati demi memaut kuasa.

Eksperimen ini cuba menguji fenomena Hado yang diperkenalkan oleh Dr. Masaru Emoto dari Jepun. Hado adalah unit paling kecil dan asas bagi tenaga. Fenomena Hado membuktikan bagaimana hablur-hablur air boleh membentuk menjadi kristal air yang cantik jika diperdengarkan dengan perkataan yang baik-baik. Sebaliknya, jika perkataan-perkataan yang buruk disebutkan atau dibisikkan, molekul-molekul air itu boleh menjadi rosak, busuk atau kotor. Untuk maklumat lanjut anda boleh dapatkan buku “Message from Water” karya Masaru Emoto.

Mari lihat eksperimen yang telah dicuba oleh seorang makhluk Allah dari Indonesia selepas beliau membaca buku Dr. Emoto.

Beliau telah merendam nasi ke dalam air dan diletakkan di dalam dua balang yang berbeza. Balang di sebelah kiri dituliskan perkataan-perkataan yang mulia manakala balang di sebelah kanan dituliskan perkataan-perkataan yang terkutuk. Seluruh ahli keluarganya diminta membaca perkataan-perkataan itu setiap kali mereka melihat balang tersebut. (lihat gambar)

Hasilnya, balang yang tertulis perkataan yang buruk lebih cepat busuk dan rosak (kanan) berbanding balang yang tertulis perkataan yang baik (kiri). Usah tanya tentang kesahihan emel yang aku terima ini. Anda boleh mencubanya sendiri di rumah kan? Hehehe...


Barangkali ini boleh menjawab persoalan kita tentang air jampi ataupun tentang pantang larang nenek moyang supaya jangan bergaduh di depan makanan. Ternyata air mempunyai ekspresi. Mengertikan teman, air dan makanan berada di mana-mana sahaja di sekeliling kita. Maka ayuh menjaga kata-kata. Bimbang kita menyemai racun untuk makanan anak cucu kita nanti.

11 July 2008

Perempuan dan Air Mata

Sesungguhnya telah diciptakan perempuan itu kekuatan bahunya untuk menahan lenguh dek sandaran kepala anak kecilnya yang sedang lena; meski bahu itulah yang menanggung azab sengsara caci cela seorang anak yang telah dibesarkan.
DijadikanNya perempuan itu daripada tulang rusuk untuk melindungi jantung dan hati seorang lelaki bernama suami; meski lelaki itulah yang melukai dan menghancurkan hati seorang perempuan bernama isteri.
Lantaran itulah diberikan perempuan akan air mata untuk digunakan pada bila-bila masa diperlukan; sebagai perlambangan ketidaktentuan rasa dalam mendepani keluh kesah hidup.
Menangislah; jika itu mengurai resah.
Menangislah; itu bukan lambang kelemahan.
Menangislah; kerana itulah alir sejarah penghidupanmu.

Buat pertama kalinya aku melihat air mata itu jatuh berjujur-jujur membasahi pipinya. Setelah sekian lama dia menyimpan air mata itu daripada tumpah, akhirnya hari ini dia mengaku kalah. Ternyata dugaan itu terlalu berat untuk dia. Betapa hatinya terlalu terluka.

"Nisaa, terimalah Zam, jadi pengganti Rizzal."

Tidak semena-mena malah terlalu tiba-tiba dan tanpa amaran; Rizzal dengan kekuatan jantannya menyepak terajang segala pintu peti yang ada di minda Nisaa. Terlampau terkejut kotak fikir Nisaa bilamana Rizzal menerjah setiap ceruk peti mindanya dan seperti orang kerasukan disiat-siatkan oleh Rizzal akan catitan janji, dikoyak-koyakkan oleh Rizzal gambar kenangan lama, dicampakkan jauh kenangan antara mereka. Malanglah pula Nisaa kerana dikutipnya pula segala yang dibuang Rizzal, dicantum dan disusunkan agar balik seperti asalnya kerana Nisaa tahu dia sudah tidak punya hari ini, sudah tidak punya hari esok, sudah tidak punya masa depan, melainkan cerita-cerita semalam semata-mata. Kenangan yang telah dicarik-carik, itu sahajalah kepunyaannya.

Dia biarkan sahaja air mata itu mengalir. Tak disekat tak dihentikan. Dicuba lepas segala gundah. Moga-moga itu bisa membuatkan hatinya tenang semula.

“Maafkan aku Zam. Izinkan sekali ini sahaja aku menidakkan kata-kata Rizzal. Hatiku telah terkubur bersamanya.”

Harapan, itulah yang menguatkan kita. ♥

10 July 2008

Akademi Nasyid Minggu Ketiga

Minggu ketiga adalah minggu paling meriah. Hampir semua peserta menampilkan persembahan yang bertenaga dan meriah.

Azhan seperti biasa bijak mengubah lenggok lagu mengikut acuan suaranya sendiri. Tapi, Azhan masih dengan gaya yang sama. Aku bimbang penonton menjadi bosan kerana showmanshipnya yang terhad. Tetapi suaranya sudah semakin pop komersial pula kan? Barangkali itu punca persembahannya minggu ini kurang menusuk kalbu huhu.

Voice of Men membuatkan bulu roma aku meremang. Lagu Nabi Anak Yatim memang lagu kegemaran aku sejak dulu sebab melodinya sangat bertenaga. Bagi aku Voice of Men sudah berjaya menaikkan semangat lagu ni. Harmoni suara mereka juga sangat padat.
Apa yang aku suka dengan kumpulan In Heart pula, mereka kreatif dalam menggubah lagu. Setiap minggu pasti ada lirik dan lagu yang mereka gubah sendiri dan digabungkan dengan cukup baik. Itu pakej yang bagus untuk menjadi kumpulan nasyid yang boleh menggubah lagu sendiri.
Cicik sudah meninggalkan gitarnya minggu ini. Lagu rock Dewa memang makanan Cicik. Penghayatannya terhadap lagu sudah bertambah baik. Emm ini pertama kali aku mendengar juri mengkritik pemuzik. Zubir Ali nampak sangat tegas dan garang kan hehe.
Aiman pula betul-betul lepas geram minggu ini. Khabarnya lagu-lagu yang diberikan kepadanya sebelum ini tidak kena dengan kemampuan vokalnya. Jadi minggu ini dia diuji dengan lagu yang keluar daripada tema cinta. Dan dia benar-benar teruji. Urat leher dia hampir-hampir nak tercabut keluar hehe.. jangan terlalu menjerit Aiman.

Lagu penutup Mendidik Jiwa best. Eh! Azhan boleh buat suara dua lah hehe...keseluruhannya aku puas hati dengan peningkatan persembahan pada minggu ini. Tak sabar nak tunggu minggu depan pula huhu~
Persembahan pilihan aku minggu ketiga ini mengikut ranking:

1. Voice of Men
2. Cicik
3. Dvision
4. In Heart
5. Azhan
6. Aiman
7. Farhan
8. Muslim Voice
9. Shahridzal
10. Eda
11. Ana - tersingkir minggu ini :(
Teruskan perjuangan!

08 July 2008

Promosi Kerja Kahwin Kraftangan Malaysia 2008

PROMOSI KERJA KAHWIN
KOMPLEKS KRAF KUALA LUMPUR
26 JUN - 6 JULAI 2008

Seronok bersiar-siar di sini. Meriah dan mewah. Menarik lensa kamera untuk merakam setiap yang dipamerkan. Mengusik rasa untuk cepat-cepat dipasangkan :)


:: Telur merah yang dah jarang-jarang orang buat. Telur pendang pun ada. Bunga telur ni diberikan percuma kepada setiap pengunjung ::


:: Macam-macam jenis tepak sirih ada kat sini. Macam yang di atas tu, konsep tepak sirih yang sama tapi menggunakan material yang berbeza-beza ::

:: Ini contoh pelamin kaum Cina dulu kala. Sepanjang promosi ini, setiap hari diadakan majlis perkahwinan olok-olok pelbagai bangsa di Malaysia seperti Melayu, Cina, India, Baba Nyonya, Orang Asli, Punjabi Bhangra, Portugis, Siam, Bajau Sabah dan Masyarakat Kayan Sarawak ::

:: Pelamin ukiran kayu gaya kreativiti pereka-pereka Kraftangan Malaysia ::


:: Pelamin berwarna hitam hasil idea seorang usahawan yang terlibat. Ada sesiapa yang berani nak pilih pelamin ni untuk kahwin di kampung nanti? ::


:: Pelamin kaum India yang ringkas tapi berwarna warni ::


:: Aneka hantaran kerja tangan orang pandai untuk bakal pengantin ::


:: Katil antik dan hantaran orang Melayu dulu kala. Katil ini telah berjaya dijual semasa promosi ni dengan harga yang... hmm lumayan! ::


:: Aneka pelamin ilham rasa usahawan-usahawan yang terlibat dalam promosi ini ::

01 July 2008

SEPI.. Dia Tak Sanggup Tengok

Aura filem ni memang kuat untuk tarik aku ke panggung. Aku tempah dua keping tiket. Satu untuk aku dan satu lagi untuk seorang kawan baik. Aku yang belanja. Sebab aku tahu kawan aku yang seorang ni memang tak layan filem melayu sangat.

Tapi hampagas! Dia keluar panggung sebelum tamat cerita. Sekerat jalan atas alasan nak ke tandas. Lebih malang lagi, tandas dalam panggung rosak katanya. Jadi dia terus keluar dari TGV KLCC. Tak mahu masuk lagi. Jadi sepilah aku keseorangan dalam panggung huhu! Aku tak salahkan dia. Aku rasa dia tak tahan. Mungkin Sepi membuatkan dia terkenang cerita lama. Kasihan pula aku tengok dia. Mungkin dia takut aku nampak dia menangis agaknya hehe.. Untuk makluman, kawan aku tu lelaki, tunangan orang lagi haha. Jadi kalau anda belum cukup kuat, jangan tengok cerita ni.
Ada 3 watak utama iaitu Adam, Sufi dan Imaan. Babak pertama adalah tentang Adam. Lawak jenaka Afdlin sebagai Adam bersama Nasha Aziz memang tak menghampakan. Masuk babak kedua tentang Sufi, dah mula membuatkan air mata bergenang. Masa ni aku tengok kawan aku dah tak senang duduk. Masuk babak ketiga tentang Imaan, kawan aku terus angkat punggung. Kasihan dia. Katanya, nanti dia belanja aku pula untuk filem lain. Semestinya bukan cerita cinta melayu haha!

comel dua2 pengantin ni ~ diambil dari blog afdlinshauki.blogspot.com


Aku tak pandai berkomentar tentang pembikinan filem sebab aku bukan ahlinya. Tapi bagi aku, Sepi memang filem yang cantik. Sepi bukan hanya cinta dan air mata. Sepi mengajak penonton berfikir untuk memanfaatkan peluang yang datang. Jangan bertangguh atau disia-siakan. Dan jangan juga terlalu memanjakan perasaan sepi anda! Bimbang nanti jadi seperti Imaan (eh, kisah Imaan tak surpriselah sebab aku dah dapat jangka siapa Pierre Andre tu hehe). Babak koma pun macam dah terlalu klise. Tapi aku suka babak Imaan baca puisi di perpustakaan ketika mengajar Syed Hussein. Puisi tu kelakar kalau dibaca tanpa emosi. Tapi bila Imaan baca sepenuh hati, aku dapat rasakan sesuatu cewah~
Apapun, 4 per 5 bintang untuk Sepi bagi kategori filem melayu. Aku boleh bagi 5 bintang kalau babak Imaan tidak terlalu panjang dan diperkuatkan lagi. Demi menyeimbangkan kekuatan babak Afdlin-Vanidah dan Tony Eusoff-Eja. Emm.. masa babak tepung jatuh "berguguran" antara Afdlin dan Vanidah, memang romantik, tapi aku teringatkan babak dalam buku Laskar Pelangi pula hehe.
Sekarang aku tahu kenapa dia tak suka filem cinta melayu. Tusukannya mencengkam. Huhu~

Lawat juga: http://www.afdlinshauki.blogspot.com/

29 June 2008

Akademi Nasyid Minggu 2

Konsert kedua Akademi Nasyid nampak lebih tenang kali ini. Taklah aku tercungap-cungap mengejar skrip Hafiz sang pengacara sepertimana minggu lepas.

Azhan terus menjadi pilihan utama aku. Azhan tetap memukau. Sangat original dan sangat mengesankan. Bikin meleleh air mata hehe. Entah berapa puluh kali aku sudah mendengar lagu Kepadamu Kekasih dinyanyikan. Tetapi Azhan telah memberikan sentuhan yang paling terbaik untuk lagu ini. Menewaskan M. Nasir, Ramli Sarip, Siti Nurhaliza apatah lagi Mawi. Aku menjangkakan Azhan akan semakin berani dan berkeyakinan. Jika itu benar, Azhan bakal bergelar juara.

Tiga Terbawah (Bottom Three)
Persembahan Sofeya pada minggu lepas sebenarnya lebih baik daripada minggu ini. Prestasi mereka sedikit menurun dan penyingkiran menjadi hukuman. Kali ini aku terperasan salah seorang ahli kumpulan Farhan memiliki lontaran suara yang sangat tinggi. Meremang bulu roma mendengar suaranya. Tapi kelebihan itu membuatkan harmoni suara mereka bertiga adakalanya tidak seimbang. Namun terlihat peningkatan pada persembahan mereka minggu ini. Aiman pula semakin sengau hingga lirik lagu menjadi tidak jelas. Justeru aku kira, walaupun Aiman berada di kedudukan carta sms yang sangat selamat, namun dia gagal mendapat markah yang tinggi daripada juri membuatkan dia hampir-hampir tergelincir.

- In Heart -

Kumpulan Nasyid Komedi
Gelaran kumpulan nasyid komedi dan nakal kepada Muslim Voice seharusnya memberi panduan kepada kumpulan ini untuk mencipta imej tersendiri. Jika berjaya, Insya Allah mereka mampu pergi lebih jauh lagi dalam industri ini. Meski lagu Teman Sejati telah banyak kali dinyanyikan secara acapella, mujur Muslim Voice masih kreatif memberikan kelainan. Kumpulan In Heart pula, kata Farihin, rap mereka merosakkan persembahan. Walau bagaimanapun mereka berjaya menonjolkan persembahan yang bertenaga dengan penguasaan pentas yang baik. Dibandingkan dengan minggu lepas, gubahan lagu mereka semakin menyegarkan dan paduan suara juga semakin bertambah baik.

Masih Sama
Peserta-peserta lain masih berada di tanda aras yang sama. Cicik masih kekal mempersonakan tetapi gayanya sama sahaja seperti minggu lepas. Satu hari nanti Cicik harus cuba meninggalkan gitarnya dan menyuntik sedikit kelainan. Rupa-rupanya dia menganggur dan mencari duit dengan menyanyi di jalanan Kampung Baru. Bagusnya dia kerana memilih Akademi Nasyid untuk memajukan diri dan bukannya akademi yang lain.
Eda, Ana, Shahrizal, Voice of Men dan Dvision masih belum mampu menawan hati aku. Tapi minggu ini Shahrizal pula yang terlalu banyak tersenyum kan huhu..

Farihin ada menyentuh tentang penguasaan pentas di ruang A, ruang B dan ruang C. M. Nasir pula menyebut tentang reaksi peserta terhadap kamera. Tapi sehingga ke hari ini kebanyakan peserta masih ragu-ragu untuk bergerak. Apakah nasyid mesti hanya berdiri tegak? Mari kita tanya Ustaz Asri yang pakar membuat formasi di dalam persembahan.
Persembahan pilihan aku minggu ini mengikut ranking:
1. Azhan
2. Muslim Voice
3. In Heart
4. Cicik
5. D Vision
6. Voice of Men
7. Shahridzal
8. Ana
9. Farhan
10. Eda
11. Sofeya
12. Aiman

25 June 2008

Hanya Satu Yang Tidak Terpisahkan

Ikuti langkah berikut ini:

1. Pertama, temukan kesemua hujung lima jari kedua-dua tangan kiri dan kanan anda. Jari tengah ditekuk ke dalam (lihat gambar).

2. Kemudian, 4 jari yang lain pertemukan hujungnya menjadi 5 pasang jari yang bercantum.


3. Permainan dimulai, 5 pasang jari tetapi hanya 1 pasang yang tidak terpisahkan...


4. Cubalah membuka (renggangkan / pisahkan) hujung kedua-dua ibu jari anda. Anggaplah ibu jari mewakili ibu bapa kita. Ibu jari mudah dibuka kerana semua manusia mengalami sakit dan mati. Dengan demikian ibu bapa kita akan meninggalkan kita suatu hari nanti.


5. Tutup kembali ibu jari anda, kemudian buka jari telunjuk anda. Anggaplah jari telunjuk mewakili kakak dan adik kita. Mereka memiliki keluarga sendiri, sehingga mereka juga akan meninggalkan kita.


6. Sekarang tutup kembali jari telunjuk anda, buka jari kelingking. Anggaplah jari kelingking mewakili anak-anak kita. Cepat atau lambat anak-anak juga akan meninggalkan kita.


7. Selanjutnya, tutup jari kelingking anda dan bukalah jari manis anda. Hairan bukan kerana jari tersebut tidak boleh dibuka, direnggangkan atau dipisahkan hujung kedua-duanya. Kerana jari manis mewakili suami dan isteri, selama hidup akan terus melekat antara satu sama lain.


...barangkali kerana itulah cincin perkahwinan disarungkan ke jari manis :)


p/s: kalau bijak, jari tengah mewakili apa?

23 June 2008

Promosi Kerja Kahwin Kraftangan Malaysia 2008 (2)


Promosi Kraf Kerja Kahwin
Tarikh: 26 Jun – 6 Julai 2008
Tempat: Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay Bukit Bintang
Masa: 10 pagi – 8 malam

Aktiviti:
Jualan dan pameran produk kraf perkahwinan, perkhidmatan perkahwinan,
ragam masakan pengantin dan persembahan kesenian.

Saksikan keunikan produk kraf kerja kahwin untuk pelbagai bangsa seperti
Melayu, Cina, India, Baba Nyonya, Orang Asli, Punjabi, Portugis, Siam, Etnik Sabah dan Sarawak.

Semuanya di bawah satu bumbung, alam ilham untuk semua.

22 June 2008

Akademi Nasyid

Semalam Akademi Nasyid membuka tirai dengan persembahan peserta yang sangat membanggakan walaupun baru pertama kali bersiaran (sekurang-kurangnya lebih bagus daripada konsert pertama Akademi Fantasia hehe). Ada beberapa peserta sudah mula menonjolkan aura dengan persembahan yang mudah diingati dan didasarkan kepada keunikan tersendiri.

Semestinya pilihan aku terletak pada Mohd Shukri Nasrun dari Pahang (gambar di bawah) atau nama timang-timangannya, Cicik. Dia menyimpan karisma dan kekuatan vokal yang digali selama bergelar penyanyi rock jalanan sebelum ini. Cicik mempunyai suara, rupa dan gaya yang mempesonakan untuk mengumpan undi. Aku harap dia kekal sampai ke peringkat akhir.
Tak lupa Azhan Atan dari Johor (gambar di bawah). Lupakan tentang kecacatan matanya. Persembahan Azhan sangat memukau dengan vokal yang dilepaskan tanpa rasa takut-takut hingga membuatkan aku merasa sangat puas dengan lontaran suaranya yang mendayu-dayu tetapi gagah dan mengesankan. Kebanyakan peserta lain terlalu berhati-hati mengawal suara sehingga nampak seperti dibuat-buat dan sedikit membosankan. Aku harap Azhan akan kekal sehingga ke peringkat akhir juga.

Pada hemat aku, peserta-peserta yang lain masih berada di tahap biasa-biasa sahaja. Contohnya Zuriana Ishak (Pulau Pinang), Mohd Shahridzal Lokma (Pahang), Eda Fazilah Ismail (Perak), Sofieya (Kuala Lumpur), Voice of Men (Johor), Muslim Voice (Pahang), dan D'Vision (Melaka). Rata-rata mereka mempunyai suara yang bagus cuma agak kurang menyengat. Kena belajar lebih sikit daripada otai-otai nasyid seperti Raihan yang selalu membuatkan penonton terpegun. Masih ada sekurang-kurangnya 10 minggu lagi untuk mereka membuktikannya.

Cuma untuk Aiman, dia perlu memantapkan lagi vokalnya untuk terus kekal di dalam akademi ini. Kenapa dia terlalu banyak tersenyum semasa menyanyi ya? Begitu juga In Heart yang agak kelam kabut sikit susunan harmoni suara mereka. Barangkali mereka terlalu memikirkan untuk menjadi lain daripada yang lain dengan mempertaruhkan imej nasyid alternatif. Kumpulan Farhan dari Melaka juga harus bekerja lebih kuat lagi.

Aku yakin semua peserta yang terpilih ini memiliki suara yang baik. Tapi untuk menang dan menambat hati pengundi yang mewakili 50% markah keseluruhan, mereka perlu bersedia untuk menampilkan persembahan yang ikhlas dan menghiburkan dengan vokal yang tersusun dan bertenaga. Aku nak tunggu siapa yang akan memilih lagu Amuk atau Akhil Hayy untuk dinyanyikan. Aku nak tunggu lebih banyak gubahan muzik yang pelbagai dan lebih segar sepertimana yang telah dilakukan oleh In Heart tempoh hari.

Apapun, aku hanya berkomentar ringan. Cuba menghangatkan industri nasyid yang agak sirna sekarang. Dapat juga melepas rindu kepada zaman aku bernasyid dulu-dulu hehe. Tahniah kepada TV9 dan lihatlah sendiri persembahan mereka di http://www.tv9.com.my/

20 June 2008

Mari Berhibur..


Aku bukanlah seorang yang selalu menepati janji dengan rancangan-rancangan tv. Banyak program yang aku senaraikan sebagai mesti tonton akan terabai macam tu sahaja misalnya Majalah Tiga dan Akademi al-Quran. Tapi semalam kebetulan aku bercuti di rumah dan pertandingan akhir AQ sedang bersiaran.

Aku bukanlah selalu sangat menonton AQ ni. Tapi kalau dah tengok memang melekat juga sebab sebagai seorang yang tidak tahu tentang tarannum, qiraat dan tajwid, aku yakin AQ sangat berkesan untuk mereka yang mahu belajar sambil berhibur. Ya, aku sangat terhibur mendengar pelbagai lagu-lagu al-Quran yang disampaikan oleh peserta. Rasa menusuk ke dalam satu ruang yang kosong.

Perjalanan program juga sangat lancar, tenang dan menghiburkan dengan lawak jenaka yang bermutu. Siapa kata AQ tak boleh mengalirkan air mata penonton? Tak boleh menerbitkan senyum dan gelak tawa penonton? Cubalah, tapi kena tunggu tahun depanlah, AQ edisi keempat.

Tahniah kepada Juara AQ 3, Saudara Fakhrul Radhi dan juga tiga finalis yang lain; Sharifah, Tarmizi dan Shamsul. Sejuk mata menatap wajah-wajah mereka. Membandingkan dengan diri sendiri.. aku hanya mampu mengeluh.

Sabtu ni Akademi Nasyid akan membuka tirai. AN juga akan menjadi antara rancangan mesti tonton untuk beberapa bulan ini. Yang pasti, Akademi Nasyid harapnya menjadi pengganti kepada kekecewaan aku terhadap Gang Starz yang kurang menyengat tahun ini. Akademi Fantasia? Haha untuk pertama kalinya aku tak tahu pun siapa pemenang-pemenang AF kali ini. Mungkin AF memerlukan formula terbaru untuk kekal relevan.