23 March 2011

Aku Suka Usha Dia

Apa yang kalian suka tengok? Atau ayat budak-budak sekarang “usha”. Suka usha awek? Usha pakwe? Hehehe. Aku? Emmmm aku suka usha dia.. suka usha dia… ya dia :)

Entahlah, kami tak berjumpa selalu. Kadang terlihat, kadang tidak. Kadang terpandang, kadang tidak. Tapi kalau ternampak di depan mata, memang aku akan usha lama-lama. Eh, mula-mula dulu sekadar pandang-pandang jeling-jeling. Iyalah, nanti apa pula kata orang sekeliling kan. Tapi. Kebelakangan ni rasanya makin rakus aku merenung dia. Terutamanya kalau terserempak di eskalator menuju ke kedai Mesra Petronas di aras bawah tanah Menara Berkembar PETRONAS ni.

Bila dah usha, mulalah gaya jadi tak keruan. Sibuk nak betul-betulkan rambut. Tarik tahan nafas biar tak nampak perut yang memboroi. Hampir-hampir tersengih sendiri. Oh kacak juga aku ni – dan bisikan tu dah cukup memuaskan hati. Hehe.

Kata seorang kawan, ini sindrom orang dah lanjut usia. Sebab apabila makin tua, makin banyak yang perlu kita usha. Mengertikan kawan, dia itulah cermin. Aku suka usha cermin. Dialah pantulan realiti yang paling jujur. Dialah cerminan peribadi paling hakiki. Kalau rasa-rasa badan tu dah berubah saiz, rajin-rajinlah usha cermin macam aku ni! Oh ya, usha saja tak cukup. Perlu ada usaha dan usaha! Mengerti? :p

05 March 2011

Belasungkawa : Jay (1982 -2011) - Kami Merinduimu

Ternyata pemergian arwah amat mengejutkan keluarga dan rakan malah sesiapa saja sama ada yang mengenali beliau atau tidak. Buktinya ada di sini. Hanya selepas aku tuliskan cerita tentang arwah, statistik pembaca meningkat berpuluh kali ganda. Blog aku tak pernah dikunjungi pembaca sebanyak ini.

Kepada yang mengenali arwah, pasti tahu betapa beliau seorang yang mudah mesra dan peramah. Perkenalan yang dicipta akan semestinya lekat di dalam hati. Walaupun tidak bertemu muka, tapi perkenalan yang sekejap itu mampu meninggalkan kesan yang peribadi dan tersendiri. Walaupun beliau adalah orang biasa-biasa, tapi kehadirannya mencipta suasana yang luar biasa.

Jay, betapa ramai yang menyayangimu. Betapa ramai yang menyanjungimu. Betapa ramai yang mendoakan agar berbahagialah hidupmu di dunia sana. Mengertilah, ramai yang merindui kamu.


Bermula dari 2 Mac, yakni sehari selepas pemergian arwah, sebanyak 273 klik datang ke blog aku.


Perbezaan yang sangat ketara kalau dilihat dari segi grafik graf


Datangnya bukan hanya dari Malaysia, tapi juga UK, US, Arab Saudi, Pakistan, Kanada, Australia, Indonesia, Jepun malah Unknown (yang tak dapat dikenalpasti)!


Enjin carian meletakkan nama arwah sebagai antara subjek paling banyak dicari orang


Dan, 459 klik datangnya dari blog nafastari


hanya doa yang kami panjat
buat teman yang telah pergi
hanya kenangan yang kami ingat
batu bersurat persahabatan sejati

Kalau saja aku mati esok hari, apakah akan ada yang merindui sebuah kehilangan? Al-Fatihah.



02 March 2011

Belasungkawa : Jay (1982 -2011)

Tulisan ini aku kirimkan khas buat Arwah Wan Ahmad Fadzil, teman penyayang dan baik hati.


Kami sama-sama belajar di Matrikulasi UIA sejak tahun 2000. Bilik asrama kami hanya selang beberapa langkah. Masa tu Albert, Mas, Afifi dan Umamudin adalah antara jiran-jiran terdekat di Kolej Abu Bakar yang setinggi 9 tingkat. Kami kerap juga berjumpa dan bercerita. Malah arwah adalah antara orang terawal yang tahu tentang rahsia hidup aku. Dan aku yakin rahsia tu masih tersemat kukuh dalam genggaman dia seorang.

Kami sama-sama berjuang mengangkat nama Kelab Grup Penggiat Sastera (GETAR) selama di Matrik UIA. Arwah adalah Presiden Kelab selama satu semester, dan aku menyambung jawatannya untuk baki satu semester. Malah nama kumpulan zapin kami di UIAM Gombak yakni NAFASTARI, adalah hak milik rasmi arwah. Kami pinjam dari blog arwah di http://www.nafastari.blogspot.com/. Blog idola yang sentiasa membuatkan aku khayal dengan gaya penulisannya yang sangat halus dan indah.

Tapi Tuhan lebih sayangkan dia. Pemergiannya mengejutkan keluarga dan rakan. Dijemput pergi ke Rahmatullah tanggal 01 Mac 2011 akibat kemalangan jalan raya ketika memandu pulang ke kampungnya di Setiu. Mujur isterinya yang baru sahaja habis pantang dan dua anaknya yang kecil comel, Wan Nada dan Wan Marwa, terselamat. Entah apalah rasa hati seorang isteri yang kehilangan suami tika mana anak-anaknya baru belajar menyebut "ayah".


Jay,


Sejujurnya aku masih belum puas mengenali kamu. Belum puas memuji kebaikan kamu. Belum puas melihat gambar-gambar kamu bersama anak-anak yang comel. Belum puas membaca tulisan-tulisan kamu di blog nafastari. Belum puas memberi komen dan mesej di facebook kamu. Namun tiada lain melainkan doa, buat kamu insan yang baik hati. Moga tenang abadi perjalanan kamu bertemu Illahi.

Ketika tulisan ini ditaip, aku masih lagi di pejabat menghabiskan sisa kerja yang tak pernah habis. Kalau saja aku mati esok hari, mungkinkah aku sudah bersedia menghadapinya? Jay, terima kasih atas peringatan yang kau berikan. Kehilanganmu tetap dirindukan. Al-Fatihah.



22 February 2011

"Dating"

22 hari bulan. Masa macam inilah aku bangga dengan Maybank. Gaji aku akan masuk lebih awal daripada bank CIMB, bank RHB malah Bangkok bank sekalipun.

Mahunya tak melompat kalau tiba-tiba ribu ringgit dicampak depan mata. Masa macam inilah - kemeja G2000 Isetan, kasut kulit Dr.Cardin, jam tangan Fossil, promosi tiket MAS dan Air Asia - berebut-rebut tempat dalam "wishlist".

Nak jumpa tak hari ni? - aku baca sms dari dia.

Akhirnya aku pilih makan malam di Chilli's. Ditemani hadiah comel dari Parkson. Duduk tepi tingkap yang basah air hujan. Dapat tengok air pancut KLCC sambil minum jus epal yang boleh ditambah sesuka hati. Penat aku "tuck in" perut dalam seluar supaya nampak kacak di depan dia. Oh tak lupa minyak wangi terbaru dari Bodyshop. Kami beli dua botol. Supaya boleh dapat diskaun 50% untuk sebotol ubat ketiak. Oh wangilah ketiak dia sebulan ni ya.

Aku senyum lebar. Sampai ke tengkuk. Sumpah! Sehingga aku terlajak stesen. Cis! Aku patutnya turun di Chan Sow Lin untuk tukar tren ke Ampang!

Eh! Tak adalah terlajak sampai macam ni :p


20 February 2011

Undang-undang Berkawan

Undang-undang berkawan ada lima:

1. Untuk mendapat kawan yang baik, kita mesti dahulu menjadi kawan yang baik. Kalau tak mahu kawan memungkiri janji, kitalah yang dulu mengkotakan janji. Kalau tak mahu kawan melupakan kita, selalu-selalulah mengingati mereka. Kalau tak mahu mereka datang lewat, kita mesti dulu tiba cepat.

2. Jika ada yang berkawan dengan semuaaaaaa orang, dia sebenarnya tidak berkawan dengan sesiapapun. Kalaupun ada 4000 kawan di facebook, ianya tak lebih daripada sekadar senarai. Kawan sebenar tidak berkawan dengan semua orang.

3. Kawan yang datang dari bisnes adalah lebih baik daripada bisnes yang datang dari kawan. Janganlah menggunakan kawan untuk tujuan memajukan bisnes kita sendiri. Jangan mengambil kesempatan atas kesukarannya mengatakan "tidak" pada setiap permintaan kita.

4. Kita suka kawan yang sentiasa mencari masa untuk bersama dengan kita. Tapi kita mesti LEBIH sukakan kawan yang boleh bersama dengan kita tanpa perlu dia mencari-cari masa untuk kita. Jam 4 pagi pun masih boleh balas "sms" kita.

5. Dengan kawan, kita tak perlu memberikan alasan atau justifikasi. Memegang jawatan seorang kawan sudah memadai untuk dia memahami kita. Kalau sampai kita terpaksa memberikan jawapan berjela-jela pada setiap buruk sangka dia, itu bukan kawan namanya. Hatta musuh pun tak akan percaya pada alasan yang berjela-jela.

Sekadar peringatan untuk diri sendiri dan untuk kawan-kawan yang kita suka :)



Bekerja = Mengerjakan. Berkawan = Mengawankan?
Hahaha. Undang-undang berkawan tak sama dengan undang-undang mengawan tau! :p



19 February 2011

Pengumuman Pertunangan


Adakah perlu untuk dihebahkan pertunangan? Mari kita menimba ilmu serba sedikit dari artikel-artikel yang aku jumpa di internet. Aku dah ringkaskan, sebab aku tahu ramai orang tak suka membaca ayat berjela-jela huhu.

Ada dua jawapan untuk soalan di atas yakni harus untuk dihebahkan dan sunat untuk menyembunyikannya. Emm dua hukum yang bertindih antara satu sama lain. Nak umum atau tidak ni?

***
1. Harus dihebahkan: Tidak ada halangan dalam mengumumkan pertunangan secara syarak kerana hukum asalnya adalah harus dan tak ada pun nas mahupun dalil yang melarang atau mengharamkan pengumuman pertunangan.

2. Sunat disembunyikan: Ada juga golongan yang tidak menggalakkan pengumuman pertunangan: "(Dan) sunat (memendekkannya) iaitu khutbah (nikah) dan (mengiklankannya) iaitu pernikahan, berlawanan dengan pertunangan, maka hendaklah disembunyikan" - Kitab Al-Syarhu Al Kabir oleh Sidi Ahmad Al-Dardir, Jilid 2 Mukasurat 216.

Ada hadis tentang larangan menghebahkan pertunangan. Tetapi ia adalah hadis yang dhaif/lemah: "Zahirkanlah pernikahan dan sembunyikanlah pertunangan" - Riwayat Ad-Dailami (Musnad al-Firdaus).

***

Kesimpulan dari pembacaan aku sendiri, adalah boleh dihebahkan pertunangan sekiranya ia tidak mengundang hasad dengki orang sekeliling dan boleh juga untuk tidak menghebahkannya kerana hukum asalnya adalah harus. Sebaliknya, jika yakin akan ada orang yang dengki dan mungkin melakukan hal-hal yang tidak baik terhadap mereka sehingga memutuskan pertunangan dan mengaibkan pasangan, adalah dinasihatkan untuk menyembunyikannya sebagai langkah berhati-hati demi keselamatan semua pihak. Maklumat lanjut boleh rujuk di muhammad1987.blogspot.com.

Aku tak rasa ada yang dengki atau busuk hati sekiranya aku bertunang kan? Ada tak? Jadi aku mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan pertunangan aku yang mungkin berlangsung pada hari Sabtu 29 Februari 2011 ni nanti. Maaf jika kalian kecewa. Haha ada ke tarikh 29 Februari tahun 2011 ni? Terima kasih kerana membaca tulisan blog yang panjang berjela-jela ni! :)



Gambar: Selamat pengantin baru buat Zusuff Kan dan isterinya yang telahpun selamat dinikahkan pada 5 Februari lepas. Moga berbahagia sampai ke syurga amiin :)




15 February 2011

HYPE Charity Bazaar 2011

Ini cerita tentang program Charity Bazaar yang dianjurkan oleh HRM Young Professional Executive Club (HYPE) pada 28 Januari lepas. Tahniah kepada pengarah projek yakni Roe aka sitirohanihashim.blogspot dan semua rakan-rakan HYPE yang bertungkus lumus merealisasikan program jualan amal ni. Walaupun banyak pancarobanya, tetap kalian yang terbaik!

Alhamdulillah, pasukan HYPE Charity Bazaar berjaya mengumpulkan hampir RM20 ribu untuk disalurkan ke pelbagai badan kebajikan termasuk bantuan mangsa banjir di Segamat, Johor. RM20 ribu adalah satu angka yang sangat membanggakan untuk jualan yang hanya satu hari. Terima kasih juga untuk syarikat-syarikat korporat, para usahawan dan kelab serta persatuan yang menyokong dengan membeli booth dan berkongsi keuntungan. Antaranya ASTRO yang sanggup memasang "kualinya" di atas bumbung, Dr. Backbone yang laris kesemua produknya, PETRONITA, Young Professional Clubs (YPC), Saujana Hotel, EON Bank, Islamic Kids, Aman Palestin dan banyak lagi. Tak lupa penaja cabutan bertuah iaitu PETRONAS Skybridge dan Aquaria yang memberikan hampir 50 keping tiket percuma untuk pengunjung bertuah.

HYPE Charity Bazaar ini adalah edisi kedua selepas berjaya mengumpul hampir RM4 ribu pada Mini Charity Bazaar sebelum ni. Harap-harap, usaha murni macam ni akan berterusan dan mendapat sokongan daripada lebih ramai pihak. Insya Allah. Jom kita tengok gambar-gambar sekitar program ni.


Dr. Backbone bangga apabila kesemua produknya habis dijual.. licin! Apakah maksudnya staf Petronas ramai yang sakit belakang dek kerap duduk depan komputer? Huhu

Meriah tak meriah lah kan..memang tak cukup kaki dan tangan :)

Ya, kami bangga dapat membeli sambil menderma (shopping for charity)
- kata Kak Anisah dan Kak Mun


Perkhidmatan urut oleh orang-orang buta yang dikendalikan oleh Pak Long. Kesemua hasil jualan mereka yang berjumlah ribuan ringgit adalah hak milik mereka sepenuhnya.

Sang juruhebah bersama pengurus kontinya banyak membantu memeriahkan program

Antara orang kuat di belakang HYPE Charity Bazaar. Bukan belakang saja, depan, kiri, kanan mesti ada muka-muka ni.

Dan inilah pengarah projeknya Roe. Punyalah sibuk, belakang tiang gol pun boleh tukar baju.
Eh kau tukar baju kat situ ke Roe? Hahaha..


Paling penting semestinya kalian yang menyokong program ini dengan menyumbangkan derma wang ringgit. Jazakallahu Khairan dan salam Maulidur Rasul. Renung-renungkan dan selamat beramal :)





14 February 2011

Maulidur Rasul


Ini sepersalinan untuk esok. Kiriman oleh majikan tersayang. Sayang seribu kali sayang, butangnya ada lima tapi lubangnya cuma tiga. Bagaimana mahu dikancingkan ya..? Huhu. Baju melayu tak sempurna kalau tidak berkancing. Ibarat hidup tanpa agama...

Esok buat pertama kalinya aku akan menyertai perarakan di Putrajaya. Mengagungkan Rasulullah dan memanjangkan selawat. Sempena maulid nabi ini, ada nukilan yang ingin aku kongsikan bersama. Hayati dan dalami maknanya. Salam Maulidur Rasul buat semua :)

Hari ini kata-kata Tuhan diperdagangkan

Hari ini sabda Nabi disendaguraukan

Hari ini ulama’ mulia diperlekehkan

Hari ini manusia malu bernama Muslim…


Hari ini bibir basah dek umpat keji

Hari ini mata bercelak debu duniawi

Hari ini dua kaki kudung di gedung solah

Hari ini dua tangan mengarang fitnah…


Hari ini perginya Nabi diriangraikan dan

Hari ini perginya manusia hina

Menggila diesaktangiskan …disesakrindukan…

Gelas fikirannya pecah terhantuk nafsu!


Hari esok mungkin Tuhan dijualbelikan

Hari esok mungkin Nabi diklonkan

Hari esok mungkin ulama’ diacuankan

Hari esok mungkin manusia diperbinatangkan…

Kerana itulah yang telah dipertontonkan syaitan

Demi hiburan yang lelah ditontoni manusia beruk


Hari ini agamaku menjilat air ludahan

Menahan malu sendiri…

Ahh..!! Sejarah agungnya tergadai murah

Hari lusa apakan jadi, ya?



UIAM, Gombak.

24 Julai 2002



13 February 2011

Warna Cinta Warni Hati

Lokasi: i-City Shah Alam


Cinta itu warnanya hitam. Ya hitam. Perlukan dua hati untuk meneranginya.

Satu hati warna merah, satu hati warna biru. Satu panas, satu sejuk. Satu marah, satu diam. Satu di langit, satu di tanah. Jika digabungkan?

Ungu itu adalah kombinasi merah dan biru, maka akan ditemukan hal-hal yang baik dari keduanya sama ada hangat mahupun dingin. Bukankah dua hati itu tercipta untuk saling melengkapi?

Aku adalah biru. Apakah yang pantas menjadi merahku? :)

09 February 2011

Ulu Chepor, Ipoh

Kelmarin kami ke Ulu Chepor di Ipoh, Perak. Ingatkan tak ramai orang sebab kenduri kahwin yang berderet-deret. Ternyata sangkaan kami meleset. Pelawat berpusu-pusu di sepanjang anak sungai. Sehinggakan kami terpaksa berjalan sehingga ke ulu sungai. Baru betul-betul ULU kan? Sengaja kami tak mahu bersesak-sesak dengan orang ramai. Yalah, malu kalau-kalau orang nampak badan kami yang sasa ni :p

Suasananya tak ubah macam Ulu Yam di Selayang. Kedinginan dan bunyi deru air memang menyegarkan badan. Secara tak langsung menerbitkan ilham. Dan inilah hasilnya. Sekadar mencuba-cuba teknik asas shutter speed dari bengkel fotografi tempoh hari. Ada banyak lagi gambar lain. Tapi terpaksa ditapis. Takut ada yang ingat oranglipis ni blog porno pula. Hahaha..layannn :)

Owh, gambar yang terakhir ni, kawan aku bernama Anas yang klik. Agak-agak, modelnya yang mencantikkan gambar, atau gambarnya yang mencantikkan model? Hahaha..