29 October 2004

Ramadhan di UIAM...

Telah sekian lama rupanya aku tidak berkarya. Baru semalam aku sedar yang sajak terakhir aku bertarikh 21 Mac 2004. Pastinya bergelumang dengan MRC dan kelelahan mengejar ilmu membuatkan aku sering saja semput mengejar waktu. Kesunyian di taman ilmu dan budi ketika ini seakan mengizinkan aku menyambung kembali minat aku ini. Harapnya ada idea baru yang akan muncul kali ini.

Lima hari telah berlalu semenjak cuti semester bermula. Dan aku masih di sini… di Mahallah Ali. Sebahagian hidup aku di sini untuk MRC dan sebahagian lagi untuk mencari duit poket sebagai persediaan sebelum semester dua bermula. Aku bekerja sambilan di Pejabat Kolej selama sebulan bersama Aznan, Ijud dan Hafizi. Aku dah maklumkan pada mak aku di kampung dan dia faham yang aku terpaksa mengorbankan masa daripada bersama keluarga di kampung di bulan Ramadhan ini. Kadang-kadang timbul juga rasa sedih di hati sebab tak dapat temankan mak dan apak berbuka puasa di rumah. Tapi, setiap hari aku cuba memujuk hati menerima segalanya. Yang pasti, aku akan pulang berhari raya 10 haribulan nanti.

Hari ini hari terakhir buat Dr. Wan menjejakkan kakinya di Pejabat Kolej atas nama seorang Principal. Insya Allah kami akan berbuka puasa bersamanya minggu depan sebagai tanda terima kasih kami kepadanya yang telah berbakti sekian lama (1999 – 2004). Entah bila lagi kami akan dapat ayahanda sehebat beliau. A deepest appreciation ever… goes to our beloved father.

Sekarang aku hendak berbicara soal filem-filem pula, yang aku telah tonton sepanjang tahun 2004 sehingga ke hari ini. Filem terbaik pastinya Taegukgi (Brotherhood/ Persaudaraan). Filem hasil tangan orang Korea ini menepati segala kriteria filem yang aku minati. Taegukgi berjaya membawa kelainan daripada kebiasaan (seperti filem-filem Razak Mohideen). Siapa sangka kisah tragis antara adik beradik (tanpa Cinderella dan Puteranya) bisa membuatkan air mata bergenangan. Ditambah pula dengan kecanggihan teknologi (yang menyebabkan Kabhi Kushi Kabhi Gham tewas), filem ini memaksa mata penontonnya tidak berkelip. Sesiapa sahaja boleh menontonnya (kecuali kanak-kanak mungkin) kerana temanya yang universal. Aku yang tak minat tonton filem perang dan sains fiksyen pun melekat di depan skrin. Yang pasti, filem ini menyatakan bahawa tiada apa yang indah di dalam peperangan dan tiada siapa yang lebih bermakna dalam hidup kita selain daripada keluarga dan darah daging kita. Cubalah lawat http://www.taegukgi2004.com/ atau dapatkan sahaja DVDnya.


No comments: