22 February 2011

"Dating"

22 hari bulan. Masa macam inilah aku bangga dengan Maybank. Gaji aku akan masuk lebih awal daripada bank CIMB, bank RHB malah Bangkok bank sekalipun.

Mahunya tak melompat kalau tiba-tiba ribu ringgit dicampak depan mata. Masa macam inilah - kemeja G2000 Isetan, kasut kulit Dr.Cardin, jam tangan Fossil, promosi tiket MAS dan Air Asia - berebut-rebut tempat dalam "wishlist".

Nak jumpa tak hari ni? - aku baca sms dari dia.

Akhirnya aku pilih makan malam di Chilli's. Ditemani hadiah comel dari Parkson. Duduk tepi tingkap yang basah air hujan. Dapat tengok air pancut KLCC sambil minum jus epal yang boleh ditambah sesuka hati. Penat aku "tuck in" perut dalam seluar supaya nampak kacak di depan dia. Oh tak lupa minyak wangi terbaru dari Bodyshop. Kami beli dua botol. Supaya boleh dapat diskaun 50% untuk sebotol ubat ketiak. Oh wangilah ketiak dia sebulan ni ya.

Aku senyum lebar. Sampai ke tengkuk. Sumpah! Sehingga aku terlajak stesen. Cis! Aku patutnya turun di Chan Sow Lin untuk tukar tren ke Ampang!

Eh! Tak adalah terlajak sampai macam ni :p


20 February 2011

Undang-undang Berkawan

Undang-undang berkawan ada lima:

1. Untuk mendapat kawan yang baik, kita mesti dahulu menjadi kawan yang baik. Kalau tak mahu kawan memungkiri janji, kitalah yang dulu mengkotakan janji. Kalau tak mahu kawan melupakan kita, selalu-selalulah mengingati mereka. Kalau tak mahu mereka datang lewat, kita mesti dulu tiba cepat.

2. Jika ada yang berkawan dengan semuaaaaaa orang, dia sebenarnya tidak berkawan dengan sesiapapun. Kalaupun ada 4000 kawan di facebook, ianya tak lebih daripada sekadar senarai. Kawan sebenar tidak berkawan dengan semua orang.

3. Kawan yang datang dari bisnes adalah lebih baik daripada bisnes yang datang dari kawan. Janganlah menggunakan kawan untuk tujuan memajukan bisnes kita sendiri. Jangan mengambil kesempatan atas kesukarannya mengatakan "tidak" pada setiap permintaan kita.

4. Kita suka kawan yang sentiasa mencari masa untuk bersama dengan kita. Tapi kita mesti LEBIH sukakan kawan yang boleh bersama dengan kita tanpa perlu dia mencari-cari masa untuk kita. Jam 4 pagi pun masih boleh balas "sms" kita.

5. Dengan kawan, kita tak perlu memberikan alasan atau justifikasi. Memegang jawatan seorang kawan sudah memadai untuk dia memahami kita. Kalau sampai kita terpaksa memberikan jawapan berjela-jela pada setiap buruk sangka dia, itu bukan kawan namanya. Hatta musuh pun tak akan percaya pada alasan yang berjela-jela.

Sekadar peringatan untuk diri sendiri dan untuk kawan-kawan yang kita suka :)



Bekerja = Mengerjakan. Berkawan = Mengawankan?
Hahaha. Undang-undang berkawan tak sama dengan undang-undang mengawan tau! :p



19 February 2011

Pengumuman Pertunangan


Adakah perlu untuk dihebahkan pertunangan? Mari kita menimba ilmu serba sedikit dari artikel-artikel yang aku jumpa di internet. Aku dah ringkaskan, sebab aku tahu ramai orang tak suka membaca ayat berjela-jela huhu.

Ada dua jawapan untuk soalan di atas yakni harus untuk dihebahkan dan sunat untuk menyembunyikannya. Emm dua hukum yang bertindih antara satu sama lain. Nak umum atau tidak ni?

***
1. Harus dihebahkan: Tidak ada halangan dalam mengumumkan pertunangan secara syarak kerana hukum asalnya adalah harus dan tak ada pun nas mahupun dalil yang melarang atau mengharamkan pengumuman pertunangan.

2. Sunat disembunyikan: Ada juga golongan yang tidak menggalakkan pengumuman pertunangan: "(Dan) sunat (memendekkannya) iaitu khutbah (nikah) dan (mengiklankannya) iaitu pernikahan, berlawanan dengan pertunangan, maka hendaklah disembunyikan" - Kitab Al-Syarhu Al Kabir oleh Sidi Ahmad Al-Dardir, Jilid 2 Mukasurat 216.

Ada hadis tentang larangan menghebahkan pertunangan. Tetapi ia adalah hadis yang dhaif/lemah: "Zahirkanlah pernikahan dan sembunyikanlah pertunangan" - Riwayat Ad-Dailami (Musnad al-Firdaus).

***

Kesimpulan dari pembacaan aku sendiri, adalah boleh dihebahkan pertunangan sekiranya ia tidak mengundang hasad dengki orang sekeliling dan boleh juga untuk tidak menghebahkannya kerana hukum asalnya adalah harus. Sebaliknya, jika yakin akan ada orang yang dengki dan mungkin melakukan hal-hal yang tidak baik terhadap mereka sehingga memutuskan pertunangan dan mengaibkan pasangan, adalah dinasihatkan untuk menyembunyikannya sebagai langkah berhati-hati demi keselamatan semua pihak. Maklumat lanjut boleh rujuk di muhammad1987.blogspot.com.

Aku tak rasa ada yang dengki atau busuk hati sekiranya aku bertunang kan? Ada tak? Jadi aku mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan pertunangan aku yang mungkin berlangsung pada hari Sabtu 29 Februari 2011 ni nanti. Maaf jika kalian kecewa. Haha ada ke tarikh 29 Februari tahun 2011 ni? Terima kasih kerana membaca tulisan blog yang panjang berjela-jela ni! :)



Gambar: Selamat pengantin baru buat Zusuff Kan dan isterinya yang telahpun selamat dinikahkan pada 5 Februari lepas. Moga berbahagia sampai ke syurga amiin :)




15 February 2011

HYPE Charity Bazaar 2011

Ini cerita tentang program Charity Bazaar yang dianjurkan oleh HRM Young Professional Executive Club (HYPE) pada 28 Januari lepas. Tahniah kepada pengarah projek yakni Roe aka sitirohanihashim.blogspot dan semua rakan-rakan HYPE yang bertungkus lumus merealisasikan program jualan amal ni. Walaupun banyak pancarobanya, tetap kalian yang terbaik!

Alhamdulillah, pasukan HYPE Charity Bazaar berjaya mengumpulkan hampir RM20 ribu untuk disalurkan ke pelbagai badan kebajikan termasuk bantuan mangsa banjir di Segamat, Johor. RM20 ribu adalah satu angka yang sangat membanggakan untuk jualan yang hanya satu hari. Terima kasih juga untuk syarikat-syarikat korporat, para usahawan dan kelab serta persatuan yang menyokong dengan membeli booth dan berkongsi keuntungan. Antaranya ASTRO yang sanggup memasang "kualinya" di atas bumbung, Dr. Backbone yang laris kesemua produknya, PETRONITA, Young Professional Clubs (YPC), Saujana Hotel, EON Bank, Islamic Kids, Aman Palestin dan banyak lagi. Tak lupa penaja cabutan bertuah iaitu PETRONAS Skybridge dan Aquaria yang memberikan hampir 50 keping tiket percuma untuk pengunjung bertuah.

HYPE Charity Bazaar ini adalah edisi kedua selepas berjaya mengumpul hampir RM4 ribu pada Mini Charity Bazaar sebelum ni. Harap-harap, usaha murni macam ni akan berterusan dan mendapat sokongan daripada lebih ramai pihak. Insya Allah. Jom kita tengok gambar-gambar sekitar program ni.


Dr. Backbone bangga apabila kesemua produknya habis dijual.. licin! Apakah maksudnya staf Petronas ramai yang sakit belakang dek kerap duduk depan komputer? Huhu

Meriah tak meriah lah kan..memang tak cukup kaki dan tangan :)

Ya, kami bangga dapat membeli sambil menderma (shopping for charity)
- kata Kak Anisah dan Kak Mun


Perkhidmatan urut oleh orang-orang buta yang dikendalikan oleh Pak Long. Kesemua hasil jualan mereka yang berjumlah ribuan ringgit adalah hak milik mereka sepenuhnya.

Sang juruhebah bersama pengurus kontinya banyak membantu memeriahkan program

Antara orang kuat di belakang HYPE Charity Bazaar. Bukan belakang saja, depan, kiri, kanan mesti ada muka-muka ni.

Dan inilah pengarah projeknya Roe. Punyalah sibuk, belakang tiang gol pun boleh tukar baju.
Eh kau tukar baju kat situ ke Roe? Hahaha..


Paling penting semestinya kalian yang menyokong program ini dengan menyumbangkan derma wang ringgit. Jazakallahu Khairan dan salam Maulidur Rasul. Renung-renungkan dan selamat beramal :)





14 February 2011

Maulidur Rasul


Ini sepersalinan untuk esok. Kiriman oleh majikan tersayang. Sayang seribu kali sayang, butangnya ada lima tapi lubangnya cuma tiga. Bagaimana mahu dikancingkan ya..? Huhu. Baju melayu tak sempurna kalau tidak berkancing. Ibarat hidup tanpa agama...

Esok buat pertama kalinya aku akan menyertai perarakan di Putrajaya. Mengagungkan Rasulullah dan memanjangkan selawat. Sempena maulid nabi ini, ada nukilan yang ingin aku kongsikan bersama. Hayati dan dalami maknanya. Salam Maulidur Rasul buat semua :)

Hari ini kata-kata Tuhan diperdagangkan

Hari ini sabda Nabi disendaguraukan

Hari ini ulama’ mulia diperlekehkan

Hari ini manusia malu bernama Muslim…


Hari ini bibir basah dek umpat keji

Hari ini mata bercelak debu duniawi

Hari ini dua kaki kudung di gedung solah

Hari ini dua tangan mengarang fitnah…


Hari ini perginya Nabi diriangraikan dan

Hari ini perginya manusia hina

Menggila diesaktangiskan …disesakrindukan…

Gelas fikirannya pecah terhantuk nafsu!


Hari esok mungkin Tuhan dijualbelikan

Hari esok mungkin Nabi diklonkan

Hari esok mungkin ulama’ diacuankan

Hari esok mungkin manusia diperbinatangkan…

Kerana itulah yang telah dipertontonkan syaitan

Demi hiburan yang lelah ditontoni manusia beruk


Hari ini agamaku menjilat air ludahan

Menahan malu sendiri…

Ahh..!! Sejarah agungnya tergadai murah

Hari lusa apakan jadi, ya?



UIAM, Gombak.

24 Julai 2002



13 February 2011

Warna Cinta Warni Hati

Lokasi: i-City Shah Alam


Cinta itu warnanya hitam. Ya hitam. Perlukan dua hati untuk meneranginya.

Satu hati warna merah, satu hati warna biru. Satu panas, satu sejuk. Satu marah, satu diam. Satu di langit, satu di tanah. Jika digabungkan?

Ungu itu adalah kombinasi merah dan biru, maka akan ditemukan hal-hal yang baik dari keduanya sama ada hangat mahupun dingin. Bukankah dua hati itu tercipta untuk saling melengkapi?

Aku adalah biru. Apakah yang pantas menjadi merahku? :)

09 February 2011

Ulu Chepor, Ipoh

Kelmarin kami ke Ulu Chepor di Ipoh, Perak. Ingatkan tak ramai orang sebab kenduri kahwin yang berderet-deret. Ternyata sangkaan kami meleset. Pelawat berpusu-pusu di sepanjang anak sungai. Sehinggakan kami terpaksa berjalan sehingga ke ulu sungai. Baru betul-betul ULU kan? Sengaja kami tak mahu bersesak-sesak dengan orang ramai. Yalah, malu kalau-kalau orang nampak badan kami yang sasa ni :p

Suasananya tak ubah macam Ulu Yam di Selayang. Kedinginan dan bunyi deru air memang menyegarkan badan. Secara tak langsung menerbitkan ilham. Dan inilah hasilnya. Sekadar mencuba-cuba teknik asas shutter speed dari bengkel fotografi tempoh hari. Ada banyak lagi gambar lain. Tapi terpaksa ditapis. Takut ada yang ingat oranglipis ni blog porno pula. Hahaha..layannn :)

Owh, gambar yang terakhir ni, kawan aku bernama Anas yang klik. Agak-agak, modelnya yang mencantikkan gambar, atau gambarnya yang mencantikkan model? Hahaha..




08 February 2011

Satu-satu ya...


Sangat comel bila aku tengok statistik pembaca blog aku hari ni. Satu orang pembaca dalam satu jam. Dari pukul 8 pagi hingga 6 petang, hanya satu pembaca yang singgah untuk setiap satu jam. Dan kemudian tiba-tiba pada jam 7 malam (1900hrs) ada lima pembaca sekaligus. Oooo..rupa-rupanya ramai yang bersenang-senang di depan internet sebelum masuk Maghrib ya? Huhu.

Tapi begitulah hidup. Buat satu-satu dalam satu masa. Jangan tamak nak buat semua sekaligus. Kata orang tua (bukan kata aku, sebab aku muda lagi ya), sikit-sikit lama jadi bukit. Bukankah begitu? :)

Insya Allah bermula tahun 2011 ini, aku akan cuba satu-satu perkara-perkara baru. Sebenarnya bukanlah baru, tapi aku yang terlambat sebenarnya. Sengaja melambat-lambatkan perkara sebab aku perasan diri ni masih muda huhu. Mulai sekarang, aku nak cuba main duit, nak cuba bawa kereta, nak cuba merempit motor, nak cuba benda-benda yang berisiko dan nak cuba jadi anak yang soleh tak tinggal sembahyang hehehe. Sokonglah aku ya. Amiiiin :)



06 February 2011

Balkoni



Ada sebab kenapa aku pentingkan rumah yang ada balkoni.

Kerana di situ adalah tempat untuk aku melayangkan rasa gembira, geram, marah dan sedih. Cuba berkongsi rasa dengan alam yang mungkin lebih memahami. Kalau saja kau kecewa dengan diri sendiri. Saat kau marah pada teman dan rakan. Dan tika mana kau rasa kesal dengan hal-hal di sekeliling. Balkoni inilah pendengar yang setia. Balkoni inilah penyimpan rahsia yang sejati. Balkoni inilah batu bersurat pada cerita hati.

Kawan, kalau kau membaca, ketahuilah bahawa putus kawan itu bukanlah apa-apa kerana yang lebih menyakitkan adalah putus hati. Saat kau tahu betapa hatimu telah mati untuk menerima teman baru lagi. Gagal hanyalah sekali, selebihnya adalah pengajaran.


Kenapa buang saya daripada senarai rakan kamu di Facebook? :(



02 February 2011

Malam Terakhir di Keramat

02.02.2011: Malam terakhir di Au3 Keramat. Esok 3 haribulan, bermula jam 3 petang, aktiviti angkut-mengangkut keluar segala isi rumah akan bermula. Selamat datang ke Shamelin, Cheras. Orang kata, susah nak tidur malam pada hari pertama di tempat baru. Kita tengok apa akan jadi esok. Orang kata, tak elok kalau terlalu kerap tukar-tukar susunan perabot di dalam rumah. Tapi mungkin elok kalau berhijrah dan pindahkan terus perabot ke rumah baru?

Oh ya orang kata juga, Shamelin maksudnya SHArikat MELayu LINgkup. Hahaha. Ya memang kawasan tu kebanyakkannya dimajukan oleh bukan Melayu. Tak apalah, aku cuma mahu tidur di Shamelin, bukannya berniaga. Moga-moga ada sinar lebih terang di sana nanti. Seterang pemandangan dari beranda rumah...


Selamat Tahun Baru Cina untuk semua kawan-kawan yang berbangsa Cina. Aku pun mahu mulakan hidup baru. Yang lebih tenang semestinya :)



Apa Itu Awan Nano?


begitulah awan nano
setia melindungi diri
tika panas mencuba menggores pipi
dan bibirmu

begitulah awan nano
sering saja tak terduga hadir
dan tak akan tercapai jejarimu


Awan apabila memutih di langit, tak ramai yang menghargai akan kewujudannya. Hadirnya sekecil zarah nano yang halus. Kalau ada, adalah. Kalau tiada, tak mengapa. Hanya apabila terik mentari membakar pipi, ketika itulah kita tercari-cari lindungan redupnya. Hanya apabila mendung menyelubungi hari, ketika itulah kita ternanti-nanti kemunculan lingkaran peraknya.

Sayangilah mereka selama masih mereka di depan mata. Jangan tunggu sehingga awan nano merajuk membawa pergi hujan jauh dari bumi lantas membiarkan mentari membakar kulit.

Dengarkan lagu ketiga Hafez bertajuk Awan Nano ciptaan M Nasir dan lirik sulung nukilan Buddhi Hekayat (gambar). Tuan Buddhi, sebetulnya maksud awan nano itu apa ya? Kata seorang teman kepada Buddhi di tansrikudu.blogspot, Awan Nano bukan sekadar lagu, ia adalah sejarah. Buddhi Hekayat pula kata awan nano kalau diceritakan, takutnya akan berkolah air mata. Wah!

Diambil dari Facebook Buddhi Hekayat . Jom ramai-ramai "Like" fanpage beliau. Single lagi tu hahaha tahu aja aku :p

Video klip Awan Nano yang akan membuatkan kalian tersentak ..tidakkk!


01 February 2011

Shaolin

Entah mimpikan apa, aku turutkan sahaja pelawaan seorang kawan untuk menonton tayangan larut malam. Asalnya nak menonton Green Hornet tapi dah kehabisan tiket. Pilihan kedua adalah Shaolin lakonan Andy Lau, Nicholas Tse dan Jackie Chan.

Tema shaolin dah banyak kali dibawa ke dalam filem. Tapi jalan ceritanya tak pernah menjemukan. Sentiasa berjaya menerbitkan rasa kagum pada kelincahan, kekuatan dan keseragaman gerak langkahnya. Cuma sedikit berbeza, filem Shaolin yang aku tonton tadi telah menerbitkan rasa sebak yang sangat mendalam. Rasa kesal yang sangat membuntukan. Semacam ada bom yang nak meletup setiap kali melihat perbuatan jahat Nicholas Tse. Seperti ada kulit yang terhiris setiap kali melihat air mata anak bangsa yang menangisi kematian bangsa sendiri.

Dalam kepala aku hanya memikirkan betapa bodohnya kita berbunuhan sesama sendiri. Dan dalam masa yang sama orang asing sedang menghapuskan seluruh warisan bangsa kita termasuklah keturunan dan zuriat. Terbayang-bayang betapa sengsaranya saudara-saudara kita di Mesir yang sedang bergelut sesama Islam dan dalam masa yang sama ditertawakan Amerika dan Israel. Dalam filem Shaolin, aku dapat rasakan penderitaan mangsa perang di seluruh dunia. Membengapkan kepala!

Kalau kalian membaca tulisan ini, aku mohon kalian berkasih sayanglah sesama manusia. Dalam persengketaan dua manusia, tiada apa yang menguntungkan melainkan dua hati yang semakin terjarak jauh dan menjauh. Apatah lagi pada Tuhannya.



Esok, biarkan aku pergi dalam damai...