05 January 2006

Selamat Tahun Baru!!!

Huh! Lama sungguh aku tak update blog aku ni. Dari tahun lepas sampai masuk tahun baru. Haha! Tiba-tiba aku asyik bertanya pada diri aku sendiri...

Apakah aku sudah mati rasa untuk menulis?

Entahlah. Aku rasa aku masih perlukan abjad dan bicara untuk menterjemahkan setiap rasa dalam diri aku. Cuma, mungkin sekarang bukan masa yang sesuai. Aku benar-benar berada dalam keserabutan. Seolah-olah segala apa yang aku rasa tak mampu difahami oleh abjad dan bicara. Tak mengapalah. Insya Allah, esok lusa sembuhlah semua ini. Aku akan kembali mengaktifkan diri dalam oranglipis.blogspot ini.

Berikan aku sedikit masa untuk keserabutan ini.

17 November 2005

Catatan Aidilfitri 1426H

Aidil fitri berlalu lagi. Sekarang aku dah pun selamat melaporkan diri di UIA ni. Maklumlah, nak tambah duit poket, aku kerja sambilan di pejabat kolej kesayangan aku ni, Mahallah Ali. Hari Raya? Tahun ini aku kira paling meriah selama aku bergelar pelajar UIA. Memberi satu pengertian yang berbeza daripada yang sebelumnya.
Sebab yang pertama, aku telah dipertemukan semula dengan kawan-kawan lama zaman sekolah dulu. Dua hari aku habiskan beraya ke rumah-rumah mereka. Tapi sayang, tak dapat ke rumah terbuka Mad (KP sekolah aku dulu), khabarnya ramai yang datang. Seperti biasa, masing-masing mula menceritakan kembali segala apa yang pernah berlaku dulu. Betapa indahnya zaman persekolahan. SMK Setia Wangsa dan SMK Clifford akan tetap aku ingat sebagai tempat jatuh bangun aku untuk aku belajar berlari segagah hari ini.
Sebab keduanya, raya kali ini semua pelajar UIA tak perlu nak peningkan kepala memikirkan persediaan untuk exam sepertimana yang dialami oleh budak-budak universiti lain. Kami telah selamat menduduki semua exam dalam sebulan Ramadhan yang lepas dan balik raya dengan segembira-gembiranya.. hehe. Dan kami diberi cuti selama sebulan Syawal. Raya sakan lah korang!
Sebab ketiga, aku telah dijemput menghadiri rumah terbuka seorang yang bernama kawan. Istimewanya, sesuatu telah berlaku semasa majlis tersebut dan semestinya akan menjadi sejarah yang tak mungkin aku lupakan. Entahlah, aku tak tahu apa aku patut rasa... suka, gembira, sedih ataupun marah. Tapi yang penting, ia adalah sejarah penting dalam hidup aku.
Sebab yang terakhir agak tipikal bunyinya, tapi bagi aku ia menarik untuk dirakamkan. Aidil Fitri mengingatkan aku siapa kawan aku selama ini, mengimbas kembali memori persahabatan selama setahun yang lepas, dan mengajar aku erti menghargai setiap orang yang berada di sekeliling kita. Terima kasih teman.
Tuhan, jika ini Syawal aku yang terakhir, Kau terimalah segala kehambaan aku selama 23 tahun ini. Salam Syawal 1426H.

28 October 2005

Kehilangan

... betapa nilai seseorang sangat terasa, justeru bila dia tiada.


Entah kenapa dan entah mengapa aku benar-benar terkesan dengan tulisan Jr. dalam entrinya yang terbaru. Selanjutnya


Sesungguhnya teman, aku tak mahu kehilangan kalian. Tidak sekali-kali. Tapi sifat aku yang selalu kehilangan diri sendiri membuatkan kalian terpaksa menghilangkan diri. Nyata sekali aku harus cepat-cepat belajar mengenal diri.

Untuk nama-nama yang baru sahaja hadir dalam diari persahabatan aku, aku bermohon sangat kalian bersabar dengan makhluk bernama Nizam ini. Bermohon sangat. Agh! Kita kerap sangat memohon orang lain memahami kita, sedang kita terlalu payah mahu memahami orang lain...
Salam 1 Syawal 1426H. Moga ada sinar buat kita kali ini.

14 October 2005

08 October 2005

Maaf

Semalam kutitipkan sajak bertajuk "Maaf" untuk insan-insan tertentu yang kukira banyak mengingatkan aku tentang dosa dan pahala. Lalu, hari ini salah seorang daripada mereka bertanya:
"Maaf? Maaf untuk apa ni?"
Sejujurnya aku sendiri tak tahu untuk apa kata maaf itu kuucapkan. Namun yang pasti, aku mesti memohon maaf atas segala ketidaksengajaan yang telah berlaku. Atas apa sahaja. Maafkan aku ya teman, kerana aku mengikut kata hati. Sesungguhnya awal Ramadhan selalu sangat membuat aku menangis.

::Maaf::
semalam tingkahmu tidak selagak biasa
langsung aku terusik terasa
bicaramu tidak seperti selalu
ah! banyaknya salah silapku padamu.
aku takut akan maut
yang tanpa amaran datang menjemput
pada saat belum sempat aku menyebut:
"Maafkan aku kawan
kerana kesedihan engkau semalam
atas ketidaksengajaan aku.
Kawan, maafkan aku
kerana semalam engkau kesedihan
...aku tidak sengaja."
biarkanlah aku merayu hari ini di sini
daripada aku merayu hari esok di sana.
~1 Ramadhan 1426H~

02 October 2005

Deklamasi Angkasapuri 2005

1 Oktober 2005, hampir dua puluh orang pencinta puisi UIAM berangkat ke Auditorium Perdana Angkasapuri untuk rancangan tahunan RTM iaitu Deklamasi Angkasapuri 2005. Kesejukan dewan tak terasa apabila satu demi satu penyair yang bernama besar di Malaysia mengdeklamasikan luahan rasa penulis ternama seperti T. Alias Taib, Dato' A. Samad Said, Ebiet G. Ade, Lim Swee Tin, Rahimidin Zahari, M. Nasir, Ku Seman Ku Hussein, Khalid Salleh dan ramai lagi. Karya-karya mereka dalam genre sajak, lagu puisi, dan dekon berjaya disampaikan dengan berkesan oleh barisan penyair seperti Ogy Ahmad Daud, Syukri Abdullah, Pak Samad, Ramli Sarip, Kopratasa, T. Khalidah T. Bidin, Fauziah Nawi, Sabri Yunus, Roslan Madun dan ramai lagi. (Tapi lagu Islam Hadhari tu macam ada yang tak kena je - baik penyanyi mahupun iramanya - agak tersasar mesejnya).
Diiring alunan muzik moden dan tradisional, suasana malam itu hidup dan segar. Terasa betapa puisi Melayu masih dipandang tinggi martabatnya di atas pentas yang dihias indah itu. Dalam hati, aku berangan untuk menjadi salah seorang penyair yang bakal berentap di pentas sebegitu suatu hari nanti. Atau sekurang-kurangnya menjadi tenaga penggerak menjayakannya. Tak salah aku berangan-angan kan?
Lagi gambar sekitar program: klik di sini.
Tenkiu Amir, coz at last ko sorang jerk yg sudi temankan aku ke Angkasapuri. Razz "dah ke Korea", kak Nurul hilang dalam gurindamnya, Za pulak tak nak layan aku dah, Nas pun tak sudi, kak Hajar sibuk dengan Sue & Sofi... jangan marah sume. Sebagai hadiah, ambiklah sume gamba2 yang aku dah edit utk ko tu. Lawa siot! Nanti letak banyak2 kat FS. Nape la aku tak ambik gambar byk2 kat tangga firaun ari tu..

26 September 2005

Kepadamu Sahabat

Meskipun kadang-kadang
Bicara kita sering bertentangan
Namun aku tahu
Kita mencari
Satu kebenaran dan keberanian
Untuk mengenal dirinya sendiri
Di antara bangun dan jatuhnya
Mereka di sisi kita.

Kepadamu sahabat
Janganlah kaurasa kehilangan
Kiranya aku akan berundur
Menarik diri dari satu pertemuan
Kerana mungkin satu perpisahan
Akan menjadikan kita
Saling mengenal
Erti kerinduan dan kejujuran.


Munirah Sidek
Tugu Cinta – Dharmawijaya 1988


...maafkan aku teman, jika aku tidak layak bergelar sahabat.

25 September 2005

Karnival Sukan Universiti 2005

Aku baru sahaja pulang dari menghadiri Malam Penutup Karnival Sukan Universiti 2005 (University Sports Carnival). As-Siddiq kembali merampas piala pusingan Juara Keseluruhan daripada kami. Piala yang mereka pernah julang tiga tahun yang lepas. Aku tak mahu bercerita soal menang dan kalah kerana itu adat bertanding, tetapi aku ingin bercerita dari sudut persiapan dan pengurusan MRC Ali dalam menghadapi cabaran sebesar ini. Apakah mereka sudah benar-benar siap siaga untuk menghadapi ujian yang lebih hebat akan datang?


Karnival Sukan kali ini dah bermula semenjak hari Isnin lepas, dan dari hari pertama lagi kami mengalami kekalahan dalam kesemua acara yang dipertandingkan. Kata Che Rus, kalau hari pertama sudah kalah, selalunya semangat akan luntur dengan mudah dan kekalahan akan terus datang bertimpa-timpa. Namun apa yang aku lihat, semangat atlet tetap berkobar-kobar (walaupun mereka tidak menang), tetapi malangnya semangat MRC Ali pula yang semakin turun. Semakin ke penghujung karnival, penglibatan exco-exco MRC Ali semakin berkurangan. Kalau sampai aku sendiri terpaksa tidur di pejabat kolej demi menyempurnakan persiapan, itu bermakna bantuan aku amat diperlukan. Kalau tidak, aku tak sanggup menghadap Che Rus lagi selepas ini. Che Rus dan Ustaz Fauzi terlalu bersungguh-sungguh hendak membantu persiapan kontinjen Ali, tetapi sesetengah MRC Ali pula ada yang cuba berlagak bodoh sombong. Tidak tahu tapi tak mahu bertanya. Tidak ingat, dan tiada siapa yang memperingatkan. Tidak berpengalaman, tetapi tak mahu mencari pengalaman. Idea orang lain tak mahu diterima, sedangkan diri sendiri pula tak mahu memberikan idea.

Aku dan rakan MRC sesi lepas telah menjangkakan bahawa usaha kami untuk mengekalkan kejuaraan Ali tahun ini amat sukar kerana ramai atlet berpengalaman telah menamatkan pengajian mereka di Taman Ilmu dan Budi ini. Tanyalah sesiapa sahaja; Aron, Matpot, Zool, Mior, Nan atau kapten-kapten sukan terdahulu. Itu jugalah ramalan mereka. Justeru, kami menukar strategi. Caranya adalah dengan membakar semangat warga Ali dan MRC Ali 2005/2006 kali ini agar berusaha habis-habisan demi mengekalkan kejuaraan yang telah dua tahun kami genggam. Kami war-warkan hasrat untuk menjadi juara dalam setiap mesyuarat, perhimpunan, atau semasa pendaftaran pelajar-pelajar baru. Moga-moga, mereka akan menanam tekad untuk menjadikannya satu realiti. Tidak hanya berserah kepada takdir. Sekurang-kurangnya, Mahallah Ali bukanlah yang tercorot kedudukannya, dan kalau kalah pun dengan maruah. Dan aku tak kisah kami menang atau tidak, kerana kalau kami menang itu adalah satu keajaiban, tetapi kalau kalah itu bukanlah satu kejutan.

Strategi ini agak berkesan. Kami berjaya juga membawa pulang satu emas (bola keranjang) dan satu perak (tarik tali) daripada tujuh acara yang dipertandingkan. Namun isu semangat setiakawan dan kerjasama sesama ahli MRC Ali tetap menjadi permasalahan. Apakah MALiC '05 tidak berjaya memberikan impak positif kepada mereka? Apakah mereka tidak ditunjuk ajar? Apakah mereka terlalu sibuk dengan dunia pelajaran hingga memaksa segelintir MRC Ali membuat kerja berseorangan sehari semalam? Aku rasa, Faizal lebih faham tentang ini. Dan aku rasa dia lebih layak untuk menyelesaikan masalah ini.
Kemenangan hanyalah pembakar semangat untuk kita sentiasa lebih bersungguh-sungguh. Tapi janganlah kekalahan menjadi peluntur semangat kita pula.
Satu perkara menarik yang berlaku malam ini. Nama Mahallah Ali agak tenggelam (kerana kami tak banyak menang pingat). Ini membuatkan kolej-kolej lain "menolong" sorak-soraikan nama kolej kami. Kononnya kasihankan kami yang hanya membisu di tengah padang setiap kali keputusan pertandingan diumumkan. Malah, kerap kali mereka bertanyakan: "Ali menang apa?" Ternyata mereka terasa kehilangan nama Ali yang sebelum ini gah dijulang di acara-acara lain tetapi tidak pula malam ini. Aku tak terhina dengan perlian mereka itu, tapi aku bangga kerana nama Ali tergolong sebagai pesaing paling hebat buat mereka. Sekali kami menyepi, mereka sudah terasa kehilangannya. Sebenarnya, di mana nama Mahallah Ali malam ini ya? ...Mungkin kami sudah berada di dalam kelasnya yang tersendiri...
Apa-apapun, TAHNIAH kepada seluruh warga Ali dan MRC Ali yang tidak jemu-jemu menjaga nama baik Mahallah Ali!!! Moga-moga kerja keras kita diberkati Allah dan memberikan kesan positif pada masa akan datang.
Zasfirul (kapten tarik tali), Mohsein (maskot rajawALI), acap (ketua kontinjen Ali) dan aku (presiden pencen).

12 September 2005

MALiC 2005


Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar. Namun, aku tak nafikan banyak cacat celanya juga sepanjang aku mengendalikan program "group binding" ni terutamanya dari sudut keberkesanan modul-modul yang digunakan. Semua modul aku ambil dari internet (terima kasih kepada Jai ex-MRC 04/05). Dan pening kepala juga nak pilih modul yang sesuai. Tak tahulah sama ada modul yang aku pilih sesuai dan efektif ataupun tidak. Tapi, nasib baik sangat-sangat bebudak MRC Ali ni semuanya sporting. Sekurang-kurangnya, mereka tak tidur semasa program. Lagi satu, mereka memberikan kerjasama yang cukup baik untuk meringankan sikit kerja yang aku perlu buat.
Semasa zaman perkhidmatan aku dulu, aku ralat sangat-sangat sebab tak sempat mengadakan sebarang aktiviti group binding. Jadi, aku tekad tahun ni aku akan usahakan sungguh-sungguh agar MRC kali ini tak menerima nasib yang sama. Tak mahu lagi usaha yang bertangguh-tangguh terbengkalai begitu saja. Bak kata Mohsein, kalau tak dapat semua, jangan buang semua. Walaupun sedikit, hasilnya tetap mampu memberikan manafaat.
MALiC 05 pada aku antara group binding yang paling menyeronokkan yang pernah aku sertai sebab:
- semuanya lelaki, tetapi mereka semua tetap memberikan kerjasama yang agak diluar jangkaan aku.
- ada campurisation of feeling: marah, sedih, gembira, terkilan, terharu, simpati, semua lah.
- baju program selesa dan cantik dengan harga cuma RM 15
- bbq sedap giler walaupun kosnya cuma RM 10 seorang!
- jungle trekking buat aku mengantuk, yang tak pernah aku alami dalam jungle trekking di tempat-tempat lain.
- semasa jungle trekking juga, kitorang berehat lama di kawasan yang digelar Jajahan Ali kerana banyak pokok tongkat ali kat situ (tak jumpa pulak Jajahan Sidik ke, Uthman ke, Bilal ke... hehehe)
- aku belajar perkataan baru: community menggantikan perkataan committee.
- aku nak terjun mandi dalam kolam, tapi tak dapat sebab takut badan penat lantas tak dapat kendalikan program sehabis baik selepas mandi manda tu(seronok ke nih?)
- dapat dengar ustaz Fauzi menyanyi
- dapat tengok ustaz Burhan berjiwang dengan Yad (hahahaha! kebetulan je tu, jangan marah ya Yad)
dan banyak lagi kot.. nanti aku fikir-fikirkan lagi.
Lagi Gambar:

05 September 2005

Cerita Amir

Cuti mid-semester dah tiga hari berlalu. Sedikit sebanyak memberikan aku masa untuk menarik nafas dengan lebih sempurna. Jam 3.30 petang tadi Amir ajak aku keluar (berfoya-foya kata dia). Tiba-tiba aku teringat yang dah lama aku tak keluar dari kepompong UIA ni untuk meninggalkan sekejap hal-hal rutin harian aku sebagai pelajar. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, aku setuju. Kebetulan segala kerja aku hari ini dah pun aku selesaikan pagi tadi, jadi aku ajak Amir keluar makan tengahari kat Sri Gombak. Lagipun masa cuti macam ni, kafe-kafe dalam UIA kebanyakannya tutup. Kalau buka pun, tak akan dapat memenuhi selera aku. Tapi, entah macamana kitorang melencong ke MidValley pula, makan kat sana dan terus pergi tengok wayang cerita “She’s On Duty”. Kelakar tapi “touching”. Filem dari negara yang sememangnya tak pernah menghampakan aku jika mereka menghasilkan filem – Korea (Utara ke Selatan aku tak tahu – ada beza ke?).

Hari ini aku nak bercerita tentang cerita Amir. Mendengar cerita Amir sepanjang kami keluar berdua hari ini membuatkan aku semakin susah hendak mengenali isi hati manusia. Mungkin kerana itu aku suka mendengar cerita Amir, sekurang-kurangnya membantu aku untuk cuba mengenali hati budi manusia. Agungnya Tuhan yang menciptakan manusia berbeza-beza untuk saling kenal mengenali.

Amir kata – bila ada orang yang dia berkenan, tapi mereka tak dapat menerima dia.

Amir kata – bila ada yang berkenan kat dia, tapi dia pula tak dapat terima mereka.

Amir kata – “dia” layan Amir seperti lebih daripada seorang kawan, tapi Amir dan "dia" tak mungkin dapat jadi lebih daripada kawan.

Amir kata – “dia” inginkan seorang yang matang dan berkarisma, tapi “dia” tak mampu memiliki seorang yang sebegitu setakat ini.

Amir kata – terlalu banyak kenangan yang “dia” ciptakan bersama Amir yang tak pernah “dia” lakukan bersama orang lain, tapi “dia” tetap mahu Amir menjadi sekadar seorang kawan baik dalam hidup dia.

Amir kata – “dia” ego kerana tak mahu mengaku yang “dia” dan Amir bukan sekadar kawan, tapi “dia” pula kata Amir yang degil kerana tak mahu berhenti daripada memenangi hati “dia”.

Apa kesudahannya ya? Cerita Amir membuatkan aku teringat kisah Shahran (aku ternampak Shahran di Mid Valley tadi bersama “seseorang” yang baru). Cerita Amir membuatkan aku sedar rupa paras yang sempurna bukan penentu kejayaan dalam ujian cinta. Cerita Amir membuatkan aku terfikir susah juga jadi lelaki kacak ni ya - terlalu mudah dicap playboy, dikecam hasad dengki. Cerita Amir membuatkan aku tambah bersyukur dengan apa yang aku miliki sekarang ini. Cerita Amir membuatkan aku menulis blog ini hari ini. Apa-apapun pastikan kau tahu apa yang kau lakukan. Ingat, jalan mesti ke depan, bukan ke belakang. Sampai bila cerita kau ni nak habis Amir?