26 September 2005

Kepadamu Sahabat

Meskipun kadang-kadang
Bicara kita sering bertentangan
Namun aku tahu
Kita mencari
Satu kebenaran dan keberanian
Untuk mengenal dirinya sendiri
Di antara bangun dan jatuhnya
Mereka di sisi kita.

Kepadamu sahabat
Janganlah kaurasa kehilangan
Kiranya aku akan berundur
Menarik diri dari satu pertemuan
Kerana mungkin satu perpisahan
Akan menjadikan kita
Saling mengenal
Erti kerinduan dan kejujuran.


Munirah Sidek
Tugu Cinta – Dharmawijaya 1988


...maafkan aku teman, jika aku tidak layak bergelar sahabat.

25 September 2005

Karnival Sukan Universiti 2005

Aku baru sahaja pulang dari menghadiri Malam Penutup Karnival Sukan Universiti 2005 (University Sports Carnival). As-Siddiq kembali merampas piala pusingan Juara Keseluruhan daripada kami. Piala yang mereka pernah julang tiga tahun yang lepas. Aku tak mahu bercerita soal menang dan kalah kerana itu adat bertanding, tetapi aku ingin bercerita dari sudut persiapan dan pengurusan MRC Ali dalam menghadapi cabaran sebesar ini. Apakah mereka sudah benar-benar siap siaga untuk menghadapi ujian yang lebih hebat akan datang?


Karnival Sukan kali ini dah bermula semenjak hari Isnin lepas, dan dari hari pertama lagi kami mengalami kekalahan dalam kesemua acara yang dipertandingkan. Kata Che Rus, kalau hari pertama sudah kalah, selalunya semangat akan luntur dengan mudah dan kekalahan akan terus datang bertimpa-timpa. Namun apa yang aku lihat, semangat atlet tetap berkobar-kobar (walaupun mereka tidak menang), tetapi malangnya semangat MRC Ali pula yang semakin turun. Semakin ke penghujung karnival, penglibatan exco-exco MRC Ali semakin berkurangan. Kalau sampai aku sendiri terpaksa tidur di pejabat kolej demi menyempurnakan persiapan, itu bermakna bantuan aku amat diperlukan. Kalau tidak, aku tak sanggup menghadap Che Rus lagi selepas ini. Che Rus dan Ustaz Fauzi terlalu bersungguh-sungguh hendak membantu persiapan kontinjen Ali, tetapi sesetengah MRC Ali pula ada yang cuba berlagak bodoh sombong. Tidak tahu tapi tak mahu bertanya. Tidak ingat, dan tiada siapa yang memperingatkan. Tidak berpengalaman, tetapi tak mahu mencari pengalaman. Idea orang lain tak mahu diterima, sedangkan diri sendiri pula tak mahu memberikan idea.

Aku dan rakan MRC sesi lepas telah menjangkakan bahawa usaha kami untuk mengekalkan kejuaraan Ali tahun ini amat sukar kerana ramai atlet berpengalaman telah menamatkan pengajian mereka di Taman Ilmu dan Budi ini. Tanyalah sesiapa sahaja; Aron, Matpot, Zool, Mior, Nan atau kapten-kapten sukan terdahulu. Itu jugalah ramalan mereka. Justeru, kami menukar strategi. Caranya adalah dengan membakar semangat warga Ali dan MRC Ali 2005/2006 kali ini agar berusaha habis-habisan demi mengekalkan kejuaraan yang telah dua tahun kami genggam. Kami war-warkan hasrat untuk menjadi juara dalam setiap mesyuarat, perhimpunan, atau semasa pendaftaran pelajar-pelajar baru. Moga-moga, mereka akan menanam tekad untuk menjadikannya satu realiti. Tidak hanya berserah kepada takdir. Sekurang-kurangnya, Mahallah Ali bukanlah yang tercorot kedudukannya, dan kalau kalah pun dengan maruah. Dan aku tak kisah kami menang atau tidak, kerana kalau kami menang itu adalah satu keajaiban, tetapi kalau kalah itu bukanlah satu kejutan.

Strategi ini agak berkesan. Kami berjaya juga membawa pulang satu emas (bola keranjang) dan satu perak (tarik tali) daripada tujuh acara yang dipertandingkan. Namun isu semangat setiakawan dan kerjasama sesama ahli MRC Ali tetap menjadi permasalahan. Apakah MALiC '05 tidak berjaya memberikan impak positif kepada mereka? Apakah mereka tidak ditunjuk ajar? Apakah mereka terlalu sibuk dengan dunia pelajaran hingga memaksa segelintir MRC Ali membuat kerja berseorangan sehari semalam? Aku rasa, Faizal lebih faham tentang ini. Dan aku rasa dia lebih layak untuk menyelesaikan masalah ini.
Kemenangan hanyalah pembakar semangat untuk kita sentiasa lebih bersungguh-sungguh. Tapi janganlah kekalahan menjadi peluntur semangat kita pula.
Satu perkara menarik yang berlaku malam ini. Nama Mahallah Ali agak tenggelam (kerana kami tak banyak menang pingat). Ini membuatkan kolej-kolej lain "menolong" sorak-soraikan nama kolej kami. Kononnya kasihankan kami yang hanya membisu di tengah padang setiap kali keputusan pertandingan diumumkan. Malah, kerap kali mereka bertanyakan: "Ali menang apa?" Ternyata mereka terasa kehilangan nama Ali yang sebelum ini gah dijulang di acara-acara lain tetapi tidak pula malam ini. Aku tak terhina dengan perlian mereka itu, tapi aku bangga kerana nama Ali tergolong sebagai pesaing paling hebat buat mereka. Sekali kami menyepi, mereka sudah terasa kehilangannya. Sebenarnya, di mana nama Mahallah Ali malam ini ya? ...Mungkin kami sudah berada di dalam kelasnya yang tersendiri...
Apa-apapun, TAHNIAH kepada seluruh warga Ali dan MRC Ali yang tidak jemu-jemu menjaga nama baik Mahallah Ali!!! Moga-moga kerja keras kita diberkati Allah dan memberikan kesan positif pada masa akan datang.
Zasfirul (kapten tarik tali), Mohsein (maskot rajawALI), acap (ketua kontinjen Ali) dan aku (presiden pencen).

12 September 2005

MALiC 2005


Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar. Namun, aku tak nafikan banyak cacat celanya juga sepanjang aku mengendalikan program "group binding" ni terutamanya dari sudut keberkesanan modul-modul yang digunakan. Semua modul aku ambil dari internet (terima kasih kepada Jai ex-MRC 04/05). Dan pening kepala juga nak pilih modul yang sesuai. Tak tahulah sama ada modul yang aku pilih sesuai dan efektif ataupun tidak. Tapi, nasib baik sangat-sangat bebudak MRC Ali ni semuanya sporting. Sekurang-kurangnya, mereka tak tidur semasa program. Lagi satu, mereka memberikan kerjasama yang cukup baik untuk meringankan sikit kerja yang aku perlu buat.
Semasa zaman perkhidmatan aku dulu, aku ralat sangat-sangat sebab tak sempat mengadakan sebarang aktiviti group binding. Jadi, aku tekad tahun ni aku akan usahakan sungguh-sungguh agar MRC kali ini tak menerima nasib yang sama. Tak mahu lagi usaha yang bertangguh-tangguh terbengkalai begitu saja. Bak kata Mohsein, kalau tak dapat semua, jangan buang semua. Walaupun sedikit, hasilnya tetap mampu memberikan manafaat.
MALiC 05 pada aku antara group binding yang paling menyeronokkan yang pernah aku sertai sebab:
- semuanya lelaki, tetapi mereka semua tetap memberikan kerjasama yang agak diluar jangkaan aku.
- ada campurisation of feeling: marah, sedih, gembira, terkilan, terharu, simpati, semua lah.
- baju program selesa dan cantik dengan harga cuma RM 15
- bbq sedap giler walaupun kosnya cuma RM 10 seorang!
- jungle trekking buat aku mengantuk, yang tak pernah aku alami dalam jungle trekking di tempat-tempat lain.
- semasa jungle trekking juga, kitorang berehat lama di kawasan yang digelar Jajahan Ali kerana banyak pokok tongkat ali kat situ (tak jumpa pulak Jajahan Sidik ke, Uthman ke, Bilal ke... hehehe)
- aku belajar perkataan baru: community menggantikan perkataan committee.
- aku nak terjun mandi dalam kolam, tapi tak dapat sebab takut badan penat lantas tak dapat kendalikan program sehabis baik selepas mandi manda tu(seronok ke nih?)
- dapat dengar ustaz Fauzi menyanyi
- dapat tengok ustaz Burhan berjiwang dengan Yad (hahahaha! kebetulan je tu, jangan marah ya Yad)
dan banyak lagi kot.. nanti aku fikir-fikirkan lagi.
Lagi Gambar:

05 September 2005

Cerita Amir

Cuti mid-semester dah tiga hari berlalu. Sedikit sebanyak memberikan aku masa untuk menarik nafas dengan lebih sempurna. Jam 3.30 petang tadi Amir ajak aku keluar (berfoya-foya kata dia). Tiba-tiba aku teringat yang dah lama aku tak keluar dari kepompong UIA ni untuk meninggalkan sekejap hal-hal rutin harian aku sebagai pelajar. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, aku setuju. Kebetulan segala kerja aku hari ini dah pun aku selesaikan pagi tadi, jadi aku ajak Amir keluar makan tengahari kat Sri Gombak. Lagipun masa cuti macam ni, kafe-kafe dalam UIA kebanyakannya tutup. Kalau buka pun, tak akan dapat memenuhi selera aku. Tapi, entah macamana kitorang melencong ke MidValley pula, makan kat sana dan terus pergi tengok wayang cerita “She’s On Duty”. Kelakar tapi “touching”. Filem dari negara yang sememangnya tak pernah menghampakan aku jika mereka menghasilkan filem – Korea (Utara ke Selatan aku tak tahu – ada beza ke?).

Hari ini aku nak bercerita tentang cerita Amir. Mendengar cerita Amir sepanjang kami keluar berdua hari ini membuatkan aku semakin susah hendak mengenali isi hati manusia. Mungkin kerana itu aku suka mendengar cerita Amir, sekurang-kurangnya membantu aku untuk cuba mengenali hati budi manusia. Agungnya Tuhan yang menciptakan manusia berbeza-beza untuk saling kenal mengenali.

Amir kata – bila ada orang yang dia berkenan, tapi mereka tak dapat menerima dia.

Amir kata – bila ada yang berkenan kat dia, tapi dia pula tak dapat terima mereka.

Amir kata – “dia” layan Amir seperti lebih daripada seorang kawan, tapi Amir dan "dia" tak mungkin dapat jadi lebih daripada kawan.

Amir kata – “dia” inginkan seorang yang matang dan berkarisma, tapi “dia” tak mampu memiliki seorang yang sebegitu setakat ini.

Amir kata – terlalu banyak kenangan yang “dia” ciptakan bersama Amir yang tak pernah “dia” lakukan bersama orang lain, tapi “dia” tetap mahu Amir menjadi sekadar seorang kawan baik dalam hidup dia.

Amir kata – “dia” ego kerana tak mahu mengaku yang “dia” dan Amir bukan sekadar kawan, tapi “dia” pula kata Amir yang degil kerana tak mahu berhenti daripada memenangi hati “dia”.

Apa kesudahannya ya? Cerita Amir membuatkan aku teringat kisah Shahran (aku ternampak Shahran di Mid Valley tadi bersama “seseorang” yang baru). Cerita Amir membuatkan aku sedar rupa paras yang sempurna bukan penentu kejayaan dalam ujian cinta. Cerita Amir membuatkan aku terfikir susah juga jadi lelaki kacak ni ya - terlalu mudah dicap playboy, dikecam hasad dengki. Cerita Amir membuatkan aku tambah bersyukur dengan apa yang aku miliki sekarang ini. Cerita Amir membuatkan aku menulis blog ini hari ini. Apa-apapun pastikan kau tahu apa yang kau lakukan. Ingat, jalan mesti ke depan, bukan ke belakang. Sampai bila cerita kau ni nak habis Amir?

31 August 2005

Ambang Merdeka… Ambang Kegemilangan MRC 2005/2006.















Buat pertama kalinya aku tak menghiraukan pandangan orang sekeliling. Di tengah-tengah lautan manusia di tangga besar UIA, aku melompat dan menjerit meraikan kemenangan Mahallah Ali. Kami berjaya menggondol tempat pertama dalam Pertandingan Kibarkan Jalur Gemilang Antara Mahallah sempena bulan Kemerdekaan UIAM menumpaskan Safiyah dan Ameenah yang berada di tangga kedua dan ketiga. Saat diumumkan keputusan, masa tu memang aku dah tak tengok orang sekeliling. Terus melompat bersama hampir dua puluh orang ahli MRC Ali yang lain yang datang secara berkumpulan malam itu. Gembira! Puas! Menjerit tak ingat dunia.
















Bila tengok balik video yang merakamkan gelagat kami itu, terasa malulah jugak. Mana taknya, ratusan orang yang lain duduk dan diam menantikan keputusan; tetapi kami dengan selamba berdiri dan melompat betul-betul di depan pentas dengan jumlah ahli yang tak sampaipun dua puluh orang. Minoriti sangat, tetapi perasaan gembira memang dah tak tertahan masa tu. Pastinya semua mata sedang memerhatikan gelagat kami ketika itu. Laungan ALI bergema di tangga besar tempat berlangsungnya program Ambang Merdeka. Dan semua yang tadinya diam akhirnya turut sama menyahut laungan Ali menghingarkan lagi suasana apabila mendengarkan sorakan kami.
















Yang penting, malam itu aku puas! Puas kerana kami berjaya membuktikan bahawa mahallah lelaki pun hebat dalam bab menghias-hias ni. Puas kerana pengorbanan tak tidur malam hampir seminggu terbalas. Dan yang paling utama, puas kerana nama Ali sekali lagi bergegar di depan umum. Harapnya, jenama Mahallah Ali sebagai Mahallah Terbaik di UIA (The Leading Mahallah in IIUM) akan terus diiktiraf ramai terutamanya oleh residen Mahallah Ali. Supaya semua residen berasa bangga untuk mengaku mereka adalah residen Mahallah Ali. Supaya mereka tanpa ragu-ragu berusaha mengekalkan dan menjaga nama baik Mahallah yang digeruni ramai ini. Dan akhirnya tanpa berdolak dalih akan menawarkan diri untuk menyertai MRC Ali demi memperkasakan organisasi yang mula menajamkan lagi taringnya! Keranamu Ali, Keranamu Malaysia, Keranamu Agama Kami.

Lagi tentang MRC dan Merdeka:

[zamri] [amir] [mahallahali]

27 August 2005

Lebih Seminggu Berhabis Masa Untuk Ini
















Banner hasil sentuhan kreatif alang tengah-biru kundang (yang baju merah tu). Lima Perdana Menteri Malaysia bersama Lima Jawatankuasa MRC 05/06 yang diketuai oleh Br. Faizal selaku Presiden. Terima kasih bebanyak ye aTBK!











17 August 2005

Kegembiraan Bersama MRC Ali

Aku putuskan untuk hentikan dulu sambungan Pengkisahan MRC Ali. Sebabnya, aku nak buka laman baru untuk itu. Sekarang ini aku masih dalam proses untuk bangunkan website khusus untuk MRC Ali, moga-moga berhasil. Dalam tu nanti akan ada maklumat pasal semua MRC yang terdahulu dan akan datang, dan juga pastinya episod pengkisahan MRC dari awal sampai akhir. Aku harap sangat website ni akan berjaya sebab inilah juga antara hasil kerja aku yang pertama dalam bab bina membina website ni. Website pertama, jadi semestinya banyak kelemahannya nanti. Tapi tak apa, sekurang-kurangnya aku mencuba.

Aku bersemangat nak buat website ni bukannya apa. Hari itu aku terbaca dalam blog seorang budak ICT. Dia kata, budak ICT ni bukannya semua pandai bab-bab ICT ni dari sudut praktikalnya. Sebaliknya, mereka asyik disogokkan dengan segala macam teori yang akhirnya akan dilupakan apabila berakhirnya exam. Jadi, aku membuat kesimpulan, untuk menjadi celik IT, kita tak semestinya menjadi pelajar Kuliyyah ICT. Bermakna aku pun boleh nak buat website sendiri atau nak belajar segala macam seni grafik berkomputer yang aku teringin sangat nak belajar (yang ni kena banyak belajar daripada Razuwan rasanya ni nanti).



Ni gambar terbaru bebudak MRC 2005/2006 masa diorang pergi McLEAD hari tu. Ni gambar yang paling aku suka tengok sebab kemeriahan dan semangat diorang macam terpancar jelas dari riak wajah diorang semua. So, tetiba aku terfikir, macam manalah hidup aku tanpa MRC nanti (maksudnya lepas grad nantilah). For sure aku akan rindu giler kat MRC. Macam awek la plak nak rindu-rindu....

12 August 2005

Pengkisahan MRC Ali (edisi 2)


Aku ingat lagi, pertama kali aku menyerahkan diri untuk diperhambakan kepada MRC Ali, kami hanya bertatih-tatih ketika itu. Berbekalkan hanya sebuah bilik operasi MRC yang berjaya dimiliki ketika zaman abang Afi (MRC 2001/2002), kami mula menyusun langkah. Lebih malang, bilik tersebut hanyalah sekadar bilik. Tiada apa di dalamnya melainkan sebuah meja mesyuarat yang baru sahaja ditempah dan beberapa buah kerusi. Terlalu kerdil jika hendak dibandingkan dengan MRC al-Faruq yang baru sahaja mengadakan majlis perasmian bilik operasinya yang serba lengkap pada tahun tersebut.

Antara MRC 2001/2002 di Annual Appreciation Night and Idulfitri Gathering 2003



Program pertama kami Annual Appreciation Night and Idulfitri Gathering 2003 diadakan dalam keadaan kekurangan jawatankuasa. Iyalah, siapalah yang kenal dengan nama MRC ketika itu. Tiada sebab yang jelas untuk residen Mahallah Ali menaruh minat menjadi ahli MRC Ali ketika itu. Lantas, kami tekad bahawa misi MRC tahun ini adalah untuk menaikkan nama MRC, membuatkan orang sedar apa itu MRC, memberikan kesedaran kepada semua residen akan peri pentingnya menjadi ahli MRC, dan cuba membuatkan mereka bangga bergelar residen Mahallah Ali.
Pemilihan kami sebagai tuan rumah beberapa program Inter-Mahallah oleh Council of Principals memberikan kelebihan kepada kami untuk mencapai misi tersebut. Walaupun penat (malah kami pernah bermesyuarat untuk menolak tawaran menjadi tuan rumah 4th Inter-Mahallah Sports Carnival 2004) namun kami tetap cuba membalas kepercayaan Council of Principals. Bukanlah kami hendak membolot semua program-program mega, tapi kami cuma tak mahu menjadi askar yang tewas sebelum berperang.
Malangnya, hasrat kami untuk menaikkan nama MRC Ali ini adakalanya dipandang serong oleh sesetengah orang terutamanya beberapa MRC kolej-kolej lain. Mereka beranggapan kami cuba mendabik dada , menanam rasa riak dan membangga diri. Pembetulan, kami mahu residen Ali yang berbangga punya MRC yang menjaga kebajikan mereka. Itu sahaja. Tapi kalau ada residen Mahallah lain yang menyatakan MRC mahallah mereka tidak setanding Mahallah Ali atau tidak menjaga kebajikan mereka, malah mereka lebih kenal nama MRC Ali berbanding MRC kolej mereka, adakah kami yang perlu dipersalahkan? Tepuk dada tanya selera.
Akan datang: Penatnya nak cari komiti...


11 August 2005

Pengkisahan MRC Ali (edisi 1)



Ini MRC Ali zaman 2003/2004 di bawah pemerintahan Abang Apai. Banyak kejayaan dan pembaharuan yg dia bawa. Contohnya uniform MRC yang dalam gambar tu, dan masa tu MRC Ali memang ke arah profesionalism. Kesannya dapat dilihat dengan jelas apabila Council of Principals memberikan kepercayaan kepada kami untuk menjadi tuan rumah kepada Inter-Mahallah Sports Carnival dan Inter-Mahallah Cultural Week berturut-turut dalam sesi 2003/2004. Alhamdulillah kami juga berjaya mencelikkan mata kolej-kolej lain apabila dinobatkan sebagai Champion of 4th Inter-Mahallah Sports Carnival 2003 buat pertama kalinya dan terus mengekalkannya pada tahun 2004. Imej underdog berjaya dihapuskan sama sekali. Tahun 2005 ini pula, kami berusaha untuk membuat hatrik.
Lagi satu kami berjaya membawa pulang piala pusingan Best Male Mahallah for Inter-Mahallah Cultural Week 2004 dan pada tahun 2005 kami tewas di tangga kedua dengan perbezaan hanya sekadar satu mata sahaja dengan juara. Maka, tahun 2006 kami tekad untuk merampas kembali piala tersebut. Nak tahu kenapa? Kerana motto MRC kali ini berbunyi Towards the Leading Mahallah in IIUM. Terbaik dalam segala perkara yang positif. Untuk edisi pertama ini, eloklah kalau aku tulis yang elok-elok je dulu. Nanti aku akan dedahkan segala liku-liku yang pernah kami lalui untuk menjadi seperti sekarang. Bukan mudah menangkis "cakap-cakap orang", hasutan dan PHD di kalangan orang Melayu yang tak pernah nak berubah. Walaupun hari ini kami belum di tahap sempurna namun kami mampu menarik nafas lega kerana sedikit sebanyak jalan yang gelap sebelum ni dah mula terang.
Bukan untuk sesiapa, bukan untuk apa, tetapi untuk manafaat seluruh warga Aliman... Insya Allah.
Proud to be Aliman!

04 August 2005

Erti Sebenar Persahabatan

Kukira namanya terlalu istimewa dalam diari persahabatan. Kehadirannya tidak pernah diundang, namun ketiadaannya tiba-tiba mencetus rasa sayang dan rindu. Meski tiada apa yang istimewa terjadi antara kami dalam jangka waktu sesingkat ini, namun ketulusannya dalam menjalin ikatan yang diberi nama persahabatan, telah membuka dimensi baru buat aku dalam mengenal erti sebenar persahabatan.

Sebelum ini aku asyik mencurigai keikhlasan teman-teman yang berada di sampingku. Terlalu sukar untuk aku mempercayai pengorbanan mereka yang aku ragui sejauh mana kejujurannya. Pengalaman telah mengajar aku untuk lebih berhati-hati memahami telatah manusia dunia hari ini yang mudah dipengaruhi nafsu dan kepura-puraan. Maka, aku lebih rela bersusah sendiri daripada membebankan kawan-kawan aku waima aku acap kali dipaksa oleh mereka yang cuba untuk membantu aku. Aku keliru sama ada ini adalah satu tabiat yang baik atau sebaliknya. Aku dapat rasakan perasaan syak wasangka aku ini kadang-kala membuatkan orang lain terkilan dan rasa terhina walaupun tak pernah terlintas di hati aku untuk bermaksud sebegitu. Dan aku kerap kali berada dalam dilema sebegini yang tak pernah berkesudahan.

Secara tidak langsung, dia juga pernah menerima nasib yang sama daripada aku yang masih buta dalam menilai keikhlasan seorang sahabat. Dalam diam aku pernah menuduhnya pendusta, dan tidak jujur dalam bersahabat. Inilah tanggapan yang pernah aku buat terhadap teman-teman aku yang lain sebelum ini, sama ada secara diam prasangka mahupun lisan bicara. Betapa aku telah berdosa selama ini. Berdosa terhadap teman-teman aku, dan berdosa terhadap dia yang sebenarnya terlalu sayangkan persahabatan ini. Tindakan aku hampir-hampir meranapkan impian kami untuk menjadi sahabat yang kekal ke akhir hayat. Dalam kekalutan emosi dia berjaya juga menyedarkan diriku. Cuba membuka hatiku untuk menerima dia sebagai seorang sahabat yang benar-benar jujur dan ikhlas demi kebaikan bersama. Dan kini aku dapat merasakannya. Benarlah kata orang, kita jarang menghargai apa yang berada di dalam genggaman, namun akan menyesalinya saat ia telah hilang.

Kini aku perlu belajar untuk menghargai setiap pengorbanan teman-teman di sekeliling. Usah pertikaikan sejauh mana keikhlasan mereka kerana aku telah tahu, hanya kejujuran yang memampukan sesebuah persahabatan itu untuk terus kekal. Justeru, selagi mereka berada di sisiku ketika susah dan senang, selagi itulah mereka akan aku junjung sebagai seorang sahabat yang paling tinggi kemuliaannya dalam kamus silaturrahim. Apa lagi yang selayaknya aku hadiahkan buat mereka selain martabat kemuliaan setinggi ini? Terima kasih sahabat!
Tanpa sedar, seorang rakan bernama kawan, telah berjaya menyelamatkan aku dari terus hanyut dalam dunia yang penuh dengan ketidaktentuan ini, demi akhirat yang abadi dan pasti.
…Tuhan, ampunkan aku!