15 November 2009

Terbaru

Alhamdulillah sekarang aku dah memiliki sebiji laptop baru. Barangkali selepas ni lebih banyak masa akan dihabiskan menghadap laptop sambil menonton televisyen. Huhu. Di bawah ni gambar rakan serumah aku yang terbaru, bergaya bersama laptop aku yang terbaru. Emm.. sesiapa yang nak berkenalan dengan Encik Aiman ni, dipersilakan. Masih bujang dan belum berpunya. Sesiapa pun boleh isi borang penyertaan. Kata dia, "Aiman tak kesah." Haha.

18hb November depan adalah tarikh untuk aku disahkan jawatan di Petronas. Alhamdulillah, sehingga ke hari ni boss dah pun menyalakan lampu hijau untuk memberikan pengesahan. Insya Allah. Apapun, pengesahan bukanlah memberi erti yang besar kerana yang lebih penting adalah untuk terus hidup di dalam syarikat yang sangat dinamik ni. Di bawah ni gambar aku bersama rakan-rakan sepejabat yang gila-gila sikit semasa jamuan hari raya yang lepas. Beginilah kami. Akan jadi gila selepas seharian bekerja dengan penat lelah. Haha.


Ini pula kegiatan terbaru aku ketika masa lapang. Kalau dulu aku ligat berzapin, tapi sekarang aku ligat di kamar karaoke pula. Suara tidaklah sehebat mana, tapi kepuasan menjerit tu tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Di bawah ni adalah rakaman suara aku untuk sesiapa yang sanggup memecahkan gegendang telinga mereka. Haha.


Aidilfitri yang lepas adik aku dah pun selamat melangsungkan majlis pertunangannya. Bermakna, menjelang penghujung tahun depan aku akan dapat adik ipar yang pertama. Menambahkan seorang lagi ahli baru dalam keluarga kami, Insya Allah. Jadi sebagai lambang sokongan daripada seorang abang, aku dengan senang hati menghadiahkan sirih junjung hasil kreativiti keras-tangan aku ni. Hehe.

Dulu aku pernah katakan betapa sesuatu yang baru selalu membuatkan kita keliru. Sekarang, aku mula sedar bahawa untuk terus hidup kita mesti selalu menikmati perkara-perkara baru. Justeru itulah sebenarnya yang sentiasa aku mahukan!

Teman, perbaharukan hidupmu selalu :)

16 October 2009

Di Bawah Langit Yang Menangis (Mengenang Padang Yang Hampir Hilang)

di bawah langit yang menangis
beralas bumi yang meratap
cuba hentikan masamu yang manis
dan kenangkan barang sekejap

bernafaskah kau tanpa hijau daunan
tenangkah kau tanpa semilir bayu
segarkah kau tanpa air gunungan
hidupkah kau tanpa nikmat Yang Satu?

kita robek jiwa nyawanya
kita carik sutera putihnya
kita patahkan tiang serinya
kita bisukan lagu alamnya

kita selalu terlupa
dunia semakin tua
hanya tunggu masa
semua akan tiada

sejarah alam yang indah
tidakkah mengingatkan kau
agar kembalikanlah
ketenangan yang lampau

hentikan kezaliman
jangan lagi menyakiti
dunia yang kesakitan
menanggung azab penghuni

.....





di bawah langit yang terus menangis
beralas bumi yang terus meratap
cuba ukirkan senyummu yang manis
dapatkah kau lakukannya barang sekejap?

05 October 2009

Pertembungan Empat K

Ada ketika dalam hidup, kita perlu mendepani pilihan. Sejujurnya, aku sedang bingung. Ternyata membuat pilihan bukanlah kepakaran diri kerana selama ni aku hanya mengikut kata hati. Sengaja aku ulang semula frasa tersebut. Frasa yang pernah aku tulis dalam entri sebelum ni. Semuanya kerana aku sedang berdepan dengan pertembungan baru. Pertembungan Empat K.

K yang manakah akan jadi kayu kandar untuk mengukur perkembangan karier aku di Petronas? Ya Kareem, berikanlah aku kekuatan. Kawan-kawan, berikanlah aku sokongan. Sesungguhnya semua ini adalah apa yang aku inginkan.

Empat K yakni KLCC, Kerteh, Kuching dan Kota Kinabalu. Salah satu daripadanya akan menjadi lokasi baru untuk aku mencari rezeki. Yang pasti Kahwin belum berada dalam senarai lagi hehehehe..

...aku dan menara

14 September 2009

Dialah Cinta Hatiku...

Maaf. Sebenarnya bukanlah ada apa-apa yang istimewa pun dengan 16 September 2009 ni. Melainkan satu rasa hairan yang bersarang dalam hati aku. Aku sendiri pelik, bagaimana aku boleh membaca blog yang sama sejak lima tahun yang lepas. Blog yang dikatakan orang sebagai melankolik, syok sendiri dan sukar difahami. Senang cakap, membosankan. Tapi aku tetap setia membacanya. Setiap masa setiap hari setiap saat. Mungkin inilah namanya cinta.

Tak ada apa yang memberi aku semangat untuk terus membaca tulisan di blog tersebut melainkan demi kepuasan diri sendiri. Tak ada iklan yang memberi duit dengan setiap klik, tak ada imej hebat yang ingin ditonjolkan daripada setiap gambar. Jika sesekali ada yang memberi komentar, aku cepat-cepat membacanya. Jika ada yang terkesan dengan ayat-ayat yang dilontarkan, aku turut tersenyum bangga. Mujur ada yang mampu menghargai abjad-abjad yang selalunya aku lihat berterabur di dalam blog yang membosankan ni..

16 September 2009 usianya genap lima tahun. Justeru, adalah wajib untuk aku berterima kasih kepada semua yang memberikan sokongan selama ini.


Teman, blog tersebut tidak lain dan tidak bukan adalah oranglipis.blogspot. 16 September 2009 usianya genap lima tahun. Justeru, adalah wajib untuk aku berterima kasih kepada semua yang memberikan sokongan selama ini. Terima kasih kepada semua yang meletakkan pautan di laman blog mereka. Terima kasih kepada semua yang pernah memberi komen dan kritikan. Terima kasih kepada pembaca setia walaupun ada yang bersembunyi di balik nama anonymous. Sesungguhnya blog inilah cinta hatiku. Dan kalian adalah sebahagian daripadanya. Selamat Ulangtahun Ke5 Oranglipis.Blogspot :)



Tahu tak, 16 September 1963 juga adalah tarikh lahir Malaysia.

05 September 2009

Cinta September

Bukan selalu bulan September menjadi istimewa sepertimana tahun ini.

Seingat aku, kali terakhir aku menyukai bulan September adalah pada tahun 1999. Masa aku masih di Tingkatan Lima bercengkerama dengan SPM. Cinta pertama aku diikat pada tarikh keramat 09.09.1999. Zaman budak hingusan, semua perkara nak jiwang, romantik dan simbolika. Sebab tu gatal pilih tarikh yang paling cantik untuk mengikat cinta. Haha! Nama gadis bertuah tu adalah Aina Nadira, gadis dari Maran (hehe bertuahkah?). Sayangnya ikatan kami tak tersimpul mati. Maklumlah cinta monyet. Kami terpisah dek jarak dan masa. Huhu. Tapi... pada tarikh yang sama, memang ramai juga bujang dan dara yang melangsungkan perkahwinan kan?
Tahun ni, sekali lagi tarikh yang cantik tu berulang. 09.09.2009. Tapi aku tak punya apa-apa perancangan istimewa pun. September tahun ini lebih menarik kerana kita akan menghabiskan sebulan puasa dan seterusnya menyambut raya. Selain itu, 2 September juga adalah hari lahir ATBK . Rakan seperjuangan dalam bidang seni budaya selama di UIA. Beliau adalah antara rakan yang banyak tahu tentang sejarah aku dalam Cultural Club di UIA (barangkali juga lebih daripada itu huhu). Bro, Selamat Hari Lahir ke 17 !

Sebenarnya, ada perkara lain yang lebih istimewa pada bulan September ni. Datangnya hanya sekali iaitu pada tahun ni. Emm nantilah. Tanggal 16 September 2009 aku akan bagitahu. Tarikh yang menyembunyikan seribu satu perasaan.




Ada sesiapa suka main teka teki? Hehehe..

30 August 2009

Kenapa Saya Suka Rumah Saya?


Semalam sehari suntuk mengemas rumah. Dibantu oleh rakan serumah, kami ubah dan tambah apa yang patut. Penat memang penat tapi tak mengapa. Sekurang-kurangnya menghilangkan rasa lapar berpuasa hehe.


Aku nak letakkan gambar ruang tamu yang sempat dikemaskan. Aku tahu rumah aku tak cantik. Almaklumlah rumah sewa. Kebanyakkan perabot pula ihsan abang dan kakak-kakak aku. Contohnya sofa, televisyen,langsir dan meja makan tu. Tapi aku nak letak juga gambarnya. Sebab, tahun depan aku nak tengok semula blog ni. Kemudian aku nak bandingkan rumah sekarang dan rumah masa depan. Moga-moga masa tu aku akan lebih bersyukur dengan apa yang ada. Baiti Jannati :)


Selamat Menyambut Hari Merdeka untuk Rumah Kesayangan Kita yang Ke 52. Hargailah apa yang masih kita ada.

29 August 2009

Festival Pantun Merdeka (FPM) 2009

Aku rasa bangga menganjurkan Festival Pantun Merdeka ni. Semuanya kerana seronok melihat warga Petronas yang selama ini serius bekerja tiba-tiba boleh bergelak ketawa menyaksikan pertandingan berbalas pantun. Tak sangka, rupa-rupanya ramai juga warga Petronas yang berjiwa sastera dan pandai berpantun. Lebih menyeronokkan lagi apabila melihat eksekutif muda yang sebelum ini tidak pernah berpantun tetapi sangat sporting memberanikan diri menjadi peserta. Biarlah mereka acapkali tersasul, terketar-ketar dan malu-malu. Yang penting mereka semua telah menjayakan penganjuran program yang julung-julung kalinya diadakan ini.

Tamat acara, aku menerima banyak ucapan tahniah daripada warga HRMD. Ternyata mereka sangat terhibur dengan program yang jarang-jarang diadakan ini. Pertandingan diadakan dalam bulan Ramadhan pada jam 12.30 tengahari, waktu kemuncak untuk perut berkeroncong. Justeru, pertandingan ini sedikit sebanyak membuatkan masa berlalu pantas. Lantas rasa lapar pun terlupakan. Barangkali itu membuatkan mereka gembira. Heh.

Insya Allah jika berkelapangan, program ini akan diadakan lagi. Dengan lebih meriah dan lebih ramai peserta. Bak kata salah seorang juri pertandingan ini, Hazwani Rebecca Ilham: "Azam saya adalah untuk mengsasterakan Petronas". Huhu besar cita-cita beliau ni.

Siapa kata orang Petronas hanya pandai jual minyak tapi tak pandai berpantun? Haha!

14 August 2009

Ustaz Asri Dalam Kenangan

Ustaz Asri dan Rabbani adalah antara artis pertama yang pernah aku jumpa secara berdepan. Teringat kenangan menganjurkan Rabbani in Concert bersama Matriculation Student Economics Society (MSES) di dewan Al Malik Faisal (AMF) sekitar tahun 2000/2001 dulu. Masa tu kalau buat konsert nasyid di Matrik UIA memang akan mendapat sambutan hangat terutamanya kalau melibatkan kumpulan Rabbani, Hijjaz dan Raihan. Jualan tiket mesti tak akan menghampakan. Walaupun bayaran yang kami tawarkan kepada Rabbani tidaklah seberapa, tapi mereka tetap memberikan kerjasama yang sangat bagus dalam menjayakan konsert ini.

Semasa konsert Rabbani ni, aku bertindak sebagai Koordinator Program. Antara kerja aku adalah menjaga kebajikan artis dari saat mereka sampai di Matrik UIA sehinggalah ke akhir konsert. Masa tu terasa bangga jugalah sebab dapat tengok kumpulan Rabbani depan-depan mata. Dapat dengar Ustaz Asri melawak. Dapat tengok mereka berlatih pecah suara. Dapat temankan mereka makan selepas konsert berakhir.

Pada aku, kumpulan Rabbani adalah antara kumpulan nasyid yang sangat kreatif dan berbakat. Tengok sahaja pada gaya pakaian mereka, lagu-lagu yang didendangkan, pengisian konsert dan cara mereka berkomunikasi dengan penonton. Menghiburkan dan mendidik jiwa. Justeru aku kira pemergian Ustaz Asri ke rahmatullah adalah satu kehilangan besar untuk industri nasyid Malaysia.
Apakah Rabbani akan mencari pengganti Ustaz Asri atau Rabbani akan bergabung semula dengan Hijjaz sepertimana zaman kegemilangan mereka bersama Nada Murni dulu?

Rasanya tidak keterlaluan kalau aku katakan kekuatan kumpulan Rabbani letaknya pada Ustaz Asri. Rabbani dikenali kerana keunikan suara Ustaz Asri. Apakah Rabbani akan mencari pengganti Ustaz Asri atau Rabbani akan bergabung semula dengan Hijjaz sepertimana zaman kegemilangan mereka bersama Nada Murni dulu?


Michael Jackson, Yasmin Ahmad dan kini Ustaz Asri. Apakah kalian nampak persamaan antara mereka?

04 August 2009

Terbangkan Aku Kembali ke Langit

tak tahukah kau bahawa aku sedang menunggumu malam ini..
aku selak helaian awan yang berarak...aku belek bulan yang terang tegak
aku melilau seluruh cakerawala...engkau tidak ada dan aku hampa

aku kembali ke bumi..malam masih menyelimuti dan aku makin sepi...
aku pejam mata menjenguk batin.. harap mungkin engkau di situ..pun aku hampa....

dan aku tulis sebuah sajak untukmu di atas kertas putih bersih
layangkan di angin agar sampai kepadamu..pun engkau tidak tahu..

akukah pengembara yang gagal dan gagal..yang kalah dan kalah..?
hilang dari pandangan.. lenyap dari ingatan..itukah yang kau mahu aku lakukan?



Semalam telah mati, esok belum tentu..hargailah masa ini..

Penghargaan: Sembang Tepi Jalan

01 August 2009

Kisah Seram di Kala Malam

Hari ini adalah hari pertama aku terpaksa pulang lewat dek timbunan kerja yang tak sempat disiapkan siang hari tadi. Jarum jam sudah melewati 7.45 malam. Hanya aku seorang yang masih setia duduk di dalam pejabat. Justeru hanya lampu kecemasan dan lampu di atas kepala aku sahaja yang masih menyala.

Usai solat Maghrib tadi, aku masih melekat di depan komputer. Dalam sunyi suasana, kedengaran bunyi papan kekunci komputer diketik-ketik dari meja belakang. Bunyinya datang dari satu meja ke satu meja yang lain. Kesemua meja tersebut kosong tapi seolah-olah ada orang yang sedang menaip. Aku bangun berdiri dan menjenguk-jenguk sekeliling. Bunyi tersebut hilang.
Cepat-cepat aku selesaikan kerja, tutup komputer dan terus menuju lif untuk pulang ke rumah. Aku tak mahu menganggu "mereka" bermain.

Aku kembali kepada kerja yang hampir selesai. Tapi konsentrasi aku terganggu lagi. Terdengar bunyi kertas direnyuk dari arah meja belakang. Bukan sekali tapi dua tiga kali. Cepat-cepat aku selesaikan kerja, tutup komputer dan terus menuju lif untuk pulang ke rumah. Aku tak mahu menganggu "mereka" bermain.

***

Lebih kurang jam 8.30 malam, mesyuarat baru sahaja bermula di Tingkat 62. Entah bagaimana, terlihat kelibat putih di luar tingkap. Menyerupai susuk tubuh seorang manusia. Seolah-olah terjatuh dari tingkat atas dan terus melayang ke bawah. Hanya dua orang ahli mesyuarat yang duduknya menghadap tingkap dapat menyaksikannya. Kedua-duanya hanya mendiamkan diri sambil memandang antara satu sama lain. Pengerusi mesyuarat pula seperti dapat merasakan gementar hati mereka berdua. Lantas serta merta mesyuarat ditangguhkan. Mesyuarat dihentikan bersama keheningan malam. Tanpa sebab dan tanpa banyak soal daripada semua ahli mesyuarat yang lain. Tiada siapa yang berani untuk bersuara. Hanya bulu roma yang meremang.


Sayang, sebulan lebih lagi untuk kita mengukir sejarah. Hanya Dia yang Maha Mengetahui.