30 March 2009

Satu Jam Bersama Bumi

Teratai itu bunganya menawan. Dia ratu di air tenang.

Kelopaknya terbuka meruntun jiwa. Mengubat sakit seribu macam. Dari akar yang berselirat, kepada batang yang tegak dan daun yang lebar, kesemuanya memberi manfaat. Mana yang resdung akan bernafas lega berkat penawar dari batang yang dibakar. Mana yang keradangan kulit boleh tersenyum manis menunjuk-nunjuk kecantikan wajah kesan khasiat biji teratai.

Teratai itu bunganya menawan. Lemah lembut tapi lasak. Cepat membiak tapi bukan di sebarang tempat. Komposisi airnya perlu seimbang, cahaya mentari harus sentiasa terang, makanannya mesti tak boleh kurang. Dibudidayakan di perairan dan kolam, kadang ditemukan tumbuh liar di rawa-rawa. Jika nampak teratai berkembang maka tahulah orang bahawa airnya bersih. Dialah ratu di air tenang. Jadi perhiasan di lombong-lombong tinggal.

Sayangnya, teratai dianaktirikan di tanah kelahiran sendiri. Kalaulah warisan alam boleh membuat perhimpunan agung seperti UMNO, bersidang di bawah pokok seperti PAS, bermain politik wang, merusuh menggulingkan kerajaan, atau mengundi ketika pilihanraya, pasti cepat-cepat kita membuat reformasi demi memohon maaf atas segala dosa. Sedarlah, betapa alam telah dicuaiabaikan.

Menggigil tapak tangan menekup udara hingga menakung air mata darah.

Mujur sahaja alam tidak berdendam kerana tunduknya hanya pada Yang Satu. Pengabdiannya esa pada Pencipta. Bezanya kita manusia ingkar. Apabila sampai masanya nanti akan menyesali segala cemar yang telah kita campakkan. Menggigil tapak tangan menekup udara hingga menakung air mata darah. Kesakitan otak yang menggelegak bagai kuku yang dikupil seperti kulit yang dicungkil. Harapnya ketika itu nanti kita bisa sedar betapa alam sudah sangat berkecil hati. Rajuk yang sekian lama disimpan tak mahu lagi dipujuk-pujuk. Siapa pernah tahu Sabah diserang taufan? Siapa jangka tsunami menyimbah Kedah? Siapa meramal Pahang digegar gempa? Siapa sangka Bukit Antarabangsa membawa binasa?


Pengalaman mengajar kita untuk lebih mendampingi alam. Mencintainya sepenuh hati selagimana dia masih mahu berkawan dengan kita manusia ingkar. Teman, beritahukan aku bagaimanakah caranya untuk kita berkawan dengan bumi? Cukupkah sekadar aku menutup lampu? ♥


Aku nampak depan mata sendiri betapa buruknya Menara Berkembar Petronas apabila semua lampunya ditutup tepat jam 8.30 malam. Kadang-kadang kita perlu menjadi hodoh sebelum kenal erti cantik kan? Huhu~

25 March 2009

PPSMI: Pertimbangkanlah

Semalam aku tanyakan pada anak-anak saudara di rumah. Apa mereka rasa belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris? Nurul Azni pelajar tingkatan 1 kata, dia lebih selesa belajar dalam Bahasa Inggeris sebab sejak sekolah rendah dia dah diajar dengan bahasa tu. Berbeza dengan Mohd Nazreen, pelajar tingkatan 5 kerana sepanjang zaman persekolahan dia dikelirukan dengan dua bahasa yang bercampur-campur. BM dan BI.

Apapun keputusan kerajaan dalam isu ni, harap ada pertimbangan kepada situasi para pelajar yang telah menjadi tikus eksperimen. Sejak awal aku tidaklah terlalu bersetuju dengan usul PPSMI ni, tapi sekarang kita sudah tidak punya banyak pilihan. Memantapkan kesinambungannya adalah lebih baik daripada berpatah balik. Perkara utama adalah pelaksanaan bukannya polisi. Sedari bangku sekolah aku bangga berbahasa Melayu. Tapi kini aku tetap fasih berbahasa Inggeris. Maaf bukan mahu mendabik dada kerana apa yang aku ambil maklum, institusi persekolahan dan diri pelajar itu sendiri yang memungkinkan segalanya.

23 March 2009

Semalam di Restoran Cheng Ho

Kelmarin kami ke Restoran Cheng Ho di Wangsa Maju. Makanan laut ala cina muslim. Aku tak suka makanan laut. Aku tak suka masakan ala cina. Kenapa boss aku pilih Cheng Ho?!

Separuh dewan diperuntukkan hanya untuk kami. Meraikan 70 orang tetamu yang datang dari 15 buah negara seluruh dunia. Jam 7.30 malam aku sudah sampai bagi memastikan perancangan berjalan lancar. Tak susah nak cari restoran ni. Letaknya betul-betul di belakang Carrefour Wangsa Maju.

Pembuka selera adalah makanan yang aku tak pernah sentuh sebelum ni. Sotong pedas dan yee sang. Malah sotong bukanlah makanan kegemaran aku. Justeru sedikit takut-takut membuka mulut. Tapi keajaiban berlaku. Aku berjaya menghabiskan semuanya dengan lahap sekali. Sedikit pedas. Barangkali beginilah masakan Cina ala Melayu. Ah! Nikmatnya apa yang dinamakan sedap!

Pembuka selera tadi benar-benar membuatkan aku lapar. Hidangan kedua sampai. Setiap meja diberikan dua mangkuk besar sup sirip ikan yu (shark fin). Memang melecurkan air liur. Paling bertuah tentunya abang jurufoto kami ni yang cuma duduk berdua sahaja di meja paling belakang. Seorang satu mangkuk!

Hidangan utama semestinya nasi putih. Telur goreng dan sayur pun nampak sedap. Aku masih terasa lapar lepas tengok semula gambar di bawah ni. Ada juga daging dan ikan siakap. Tapi maaf, tak ada gambar sebab aku terlalu sibuk mengunyah :)

Bawah ni ketam masak telur masin. Jarang-jarang telur masin digunakan dalam masakan. Percubaan yang bagus, tapi aku tak berapa suka masin-masin ni.

Pencuci mulut adalah buah-buahan ala cocktail. Aku tak sempat jamah. Sebagai pengacara majlis aku perlu menjemput Pengurus Restoran Cheng Ho untuk menyampaikan kata-kata penghargaan. Feeewiiittt! Dipersilakan Amy Search! Ternyata Amy bangga menerima kunjungan delegasi antarabangsa. Tak sia-sia dia import tukang masak dari China.

Semua tetamu gembira kekenyangan. Lihat saja senyum lebar tetamu dari Morocco dan Nigeria di bawah ni. Aku pun senyum. Tapi sambil cover perut buncit haha. Yang penting aku dapat tebus kempunan tak dapat makan masakan Cina di Hangzhou tahun lepas.

Sekarang aku tahu kenapa boss aku pilih restoran ni. Sebab nak jumpa Amy Search hehe. Apapun, aku harap tulisan kali ni tak membuatkan kalian meleleh air liur ;)

17 March 2009

K.A.L.A.H

aku tahu kata hati bukan abjad untuk dikata-katakan
kerana yang akan keluar kelak hanya butir titis air mata
ketahuilah luahan cerita ini bukan untuk meminta-minta
tapi itulah satu-satu teman pada hati luka parah

maaf kerana malam ini aku kalah
menulis menaip entah apa-apa
dua tangan dari tadi menggeletar
kaki sakit tak tertahan-tahan

betapa tajam cinta itu menyesak dada
tusuk rindu itu menyekat nafas
betapa aku mati pada sepi
tewas pada mimpi


3/3/09
2303 Keramat AU


Blog ini seharusnya memberi inspirasi dan motivasi. Tapi kadang-kadang, aku perlu tahu erti kalah sebelum mengenali makna menang.

15 March 2009

Antara Hati dan Pualam

Jika perasan, di sebelah kanan blog ni ada kotak kaji selidik tentang "Apa yang anda suka di blog ni." Sengaja diletakkan sebab aku baru sedar rupanya macam-macam aplikasi sudah sedia ada dalam blogspot ni termasuklah kotak kaji selidik. Ya aku memang terlalu tradisional huhu. Undian tertinggi diberikan untuk "Dari Hati". Barangkali mereka mahukan sesuatu yang betul, benar dan tulus ikhlas. Maaf kawan. Kadang-kadang aku tidak terlalu jujur menyusun abjad-abjad rasa. Sebab kita tak tahu dengan siapa kita berbicara. Tapi yang pasti, tulisan di sini semuanya benar cuma tidak terlalu berterus-terang. Seperti gambar di atas. Merupakan salah satu bidang kraf yakni ukiran batu. Tapi nampak macam betul kan? Haha iklan sekejap. Sempena sambutan Hari Kraf Kebangsaan yang akan bermula Khamis ni. Jom serbu Kompleks Kraf KL.

Ironinya, undian kedua tertinggi adalah "Sukakan Saya". Setiap kali undian bertambah, aku tergelak sebab memikirkan siapalah orang yang mengundi pilihan tu. Mungkin datang dari Myspace ataupun Friendster. Sejujurnya, tujuan asal blog ni adalah untuk hiburan diri aku sendiri. Sebab memang tabiat aku suka membaca tulisan sendiri berulang-ulang kali. Ringkasnya, aku adalah peminat paling fanatik kepada blog ni huhu. Tapi tak sangka ada juga yang ke sini sebab sukakan aku. Sebagai lelaki, aku tetap malu-malu. Merah legam muka ni. Hiks. Tapi jangan terlalu mengagungkan aku sehingga membina ukiran batu seperti di atas tu. Aku tak mahu jadi tugu hehe. Apapun, moga-moga kalian mendapat manfaat dari abjad-abjad di sini. Kalau tak dapat semua, yang sedikit janganlah dibuang.

14 Mac 2009. Selamat Pengantin Baru untuk Mohd Hafizan @ Pijan. Rakan sebilik selama dua tahun di UIA dulu. Setiap kali cuti sekolah, mesti aku akan dapat kad walimatulurus. Berbeza dengan empunya diri. Masih berjenaka hal-hal kahwin di dalam blog. Maaf tak berniat untuk menipu. Lepas ni tak buat lagi. Kata Wuqing - takut kelak jadi macam cerita penggembala dan kambingnya. Tapi...aku hanya mahu membuatkan kalian tersenyum manis seperti ukiran batu di atas. Kan comel tu?

Semua gambar diambil semasa lawatan ke Hangzhou, China.

09 March 2009

Menjelang Hari Besar - Semua Dijemput Hadir

Hati berdebar-debar kerana aku bakal mencipta sejarah. Selama sebulan ni, aku bertungkus lumus membantu melangsungkan hari besar yang bakal diadakan kurang dua minggu lagi. Nak siapkan kad jemputan, bunga telur, urusan makan minum malah seisi rumah mesti dihias indah untuk tatapan jemputan. Ini bukan perkara main-main. Ini tanda aras. Pengukur masa depan.

Justeru maaf kalau dalam sebulan ni aku menyepikan diri. Tapi itu bukanlah alasan kan? Kesibukan bukanlah menyempitkan ruang waktu untuk kita bersenang-senang hingga menjadi tidak waras. Tapi kesibukan memberi kita ruang waktu untuk memikirkan betapa selama ini kita sudah terlalu bersenang-senang tanpa perancangan yang sewarasnya. Aku sudah merancang. Dan tiba masa untuk merayakannya.

Kalian semua dijemput hadir. Kalau boleh berbaju batik sebab itu lambang budaya kita juga. Sepadan dengan konsep ala-melayu. Klik sini untuk melihat kad jemputan yang tidak seberapa. 21 Mac 2009. Masukkan ke dalam diari anda sekarang!

01 March 2009

Makan Besar di Hangzhou, China

Dah hampir 4 bulan berlalu sejak aku ke Hangzhou pada November tahun lepas. Sejak dari tu juga, tak banyak yang sempat aku ceritakan tentang Hangzhou. Sebabnya, macam-macam masalah datang sejurus aku mendarat di Malaysia. Membantutkan semangat nak bercerita. Tapi semalam masa menonton TV3, banyak pula iklan Mari Melawat Hangzhou oleh Air Asia. Aku dikejar kenangan. Haha~

Kaum Cina memang terkenal dengan tradisi makan besar. Menghidangkan makanan yang sihat dan lazat adalah satu penghormatan kepada tetamu. Justeru hampir tiap-tiap hari akan ada makan besar. Tiap-tiap hari juga kami memohon maaf kerana tak mampu menikmati kesemuanya. Sekadar hadir menghormati majlis. Kami sentiasa duduk di meja khas untuk vegetarian atau Muslim. Tapi yang terhidang tetap mencurigakan. Teguk air oren segelas dua. Kunyah timun dan buah-buahan. Buat mengalas perut. Huhu. Banyak nama makanan yang aku tak tahu. Susah nak terjemahkan bahasa Mandarin kepada bahasa Melayu. Sekadar hiburan mata, tengoklah sendiri :)

Kami seronok dihidangkan kuih ni. Bolehlah juga mengalas perut tanpa was-was.

Bukan udang. Tapi tepung yang dibentuk-bentuk seperti udang.

Sup Yin dan Yang. Tak tahulah apa ramuannya. Beras kalau tak silap.

Rumpai laut dimakan begitu sahaja. Cubalah.

Terkejut aku tengok ada petai di China. Kunyah-kunyah, rupanya kekacang.

Meja makan delegasi Malaysia memang akan sentiasa penuh dari awal hingga akhir. Tak terusik huhu~
Katanya macam mee wantan di Malaysia. Tapi rupanya tak menyelerakan. Tetap juga tak berusik.

Pai epal.

Daging cincang. Garing dan sangat menyelerakan. Rupa-rupanya daging ba alif ba ya. Mujur belum masuk ke mulut!
Mee udang. Apa-apa yang berkuah memang kami takut nak jamah.

Ayam goreng katanya. Tapi nampak pucat dan lembik.

Burung puyuh. Semua mempersoalkan kenapa tengkuknya berlubang. Ditebuk atau disuntik?

Ada yang menjamah kerana disangkakan sotong. Rasa pun macam sotong. Tapi bila ditanya, rupa-rupanya lidah itik. Erk! Mujur aku tak jamah huhu~
Ayam yang diperam dalam daun bercampur herba. Kuat sungguh baunya. Buat kami hampir nak muntah. Terus mati selera dan angkat kaki pergi tandas. Adoi!

Lazimnya, setiap kali tamat majlis makan malam, kami akan terus ke bilik hotel dan masak Maggi yang dibawa khas dari Malaysia. Kadang-kadang, kakak-kakak pegawai yang baik hati akan sedekahkan nasi putih dan sambal ikan bilis dan sardin dan kicap untuk kami yang bujang ni. Alhamdulillah. Hiks~