Teratai itu bunganya menawan. Dia ratu di air tenang.
Kelopaknya terbuka meruntun jiwa. Mengubat sakit seribu macam. Dari akar yang berselirat, kepada batang yang tegak dan daun yang lebar, kesemuanya memberi manfaat. Mana yang resdung akan bernafas lega berkat penawar dari batang yang dibakar. Mana yang keradangan kulit boleh tersenyum manis menunjuk-nunjuk kecantikan wajah kesan khasiat biji teratai.
Teratai itu bunganya menawan. Lemah lembut tapi lasak. Cepat membiak tapi bukan di sebarang tempat. Komposisi airnya perlu seimbang, cahaya mentari harus sentiasa terang, makanannya mesti tak boleh kurang. Dibudidayakan di perairan dan kolam, kadang ditemukan tumbuh liar di rawa-rawa. Jika nampak teratai berkembang maka tahulah orang bahawa airnya bersih. Dialah ratu di air tenang. Jadi perhiasan di lombong-lombong tinggal.
Sayangnya, teratai dianaktirikan di tanah kelahiran sendiri. Kalaulah warisan alam boleh membuat perhimpunan agung seperti UMNO, bersidang di bawah pokok seperti PAS, bermain politik wang, merusuh menggulingkan kerajaan, atau mengundi ketika pilihanraya, pasti cepat-cepat kita membuat reformasi demi memohon maaf atas segala dosa. Sedarlah, betapa alam telah dicuaiabaikan.
Menggigil tapak tangan menekup udara hingga menakung air mata darah.
Mujur sahaja alam tidak berdendam kerana tunduknya hanya pada Yang Satu. Pengabdiannya esa pada Pencipta. Bezanya kita manusia ingkar. Apabila sampai masanya nanti akan menyesali segala cemar yang telah kita campakkan. Menggigil tapak tangan menekup udara hingga menakung air mata darah. Kesakitan otak yang menggelegak bagai kuku yang dikupil seperti kulit yang dicungkil. Harapnya ketika itu nanti kita bisa sedar betapa alam sudah sangat berkecil hati. Rajuk yang sekian lama disimpan tak mahu lagi dipujuk-pujuk. Siapa pernah tahu Sabah diserang taufan? Siapa jangka tsunami menyimbah Kedah? Siapa meramal Pahang digegar gempa? Siapa sangka Bukit Antarabangsa membawa binasa?
Pengalaman mengajar kita untuk lebih mendampingi alam. Mencintainya sepenuh hati selagimana dia masih mahu berkawan dengan kita manusia ingkar. Teman, beritahukan aku bagaimanakah caranya untuk kita berkawan dengan bumi? Cukupkah sekadar aku menutup lampu? ♥
Aku nampak depan mata sendiri betapa buruknya Menara Berkembar Petronas apabila semua lampunya ditutup tepat jam 8.30 malam. Kadang-kadang kita perlu menjadi hodoh sebelum kenal erti cantik kan? Huhu~
No comments:
Post a Comment