10 February 2009

Aku dapat menyaksi ada udara cinta yang terbang di sekeliling kami

Laila bukanlah pelukis profesional. Laila berkarya mengisi lompong masa. Kebosanan dan minatnya menyatu. Menghasilkan kisah-kisah indah di balik contengan warna. Banyaknya dipamer di rumah. Selebihnya jadi hadiah. Lazimnya Laila memilih tema abstrak. Cocok dengan gaya fikirnya yang sukar ditafsir. Lukisan boleh menghilangkan Laila dalam dunianya sendiri. Lukisan boleh membuatkan Laila tersenyum senang sendiri. Lukisan membawa dia kepada Amri.


Amri juga melukis. Antara cara untuk dia melupakan dadah yang lewat ini dideritakan. Lagak Amri kasar. Tapi hatinya halus pada seni. Kegalauan hati Amri ditumpahkan kepada cat berwarna warni. Seperti memohon mencantikkan lagi kehidupannya.

Dan. Hanya ketika melihat Amri dan Laila melukis bersama-sama, aku dapat menyaksi ada udara cinta yang terbang di sekeliling kami. Bahagia. Tuhan, biarlah semua insan di dunia ini sentiasa berkasih sayang. Sentiasa.

"Eh Zam. Nanti kau ambillah satu lukisan aku ya. Buat tutup dinding rumah kau yang dah bertompok kusam tu." Laila memotong angan-angan aku tadi.

"Kusam sangatkah Laila?" Aku mengerut dahi. "Mungkin aku perlu cat dinding tu."

"Kenapa kau perlukan lukisan yang cantik kalau dinding sekelilingnya sudah berwarna menarik?" Laila tersenyum manis.
Keluar Dari Kuasa Gelap

"Kau tahu Zam." Laila bersuara lagi. "Tak tahu." Aku mencelah. "Hahaha bongok! Aku belum cerita memanglah kau tak tahu." Laila tergelak kecil. Lesung pipitnya menawan tiap mata yang memandang.

"Kau tahu Zam, kelmarin pertama kali aku melukis potret." Laila menyambung bicara. Bezanya, kali ini Laila sudah terlupa bagaimana cara untuk tersenyum. Wahai Laila, ke mana pula hilang lesung pipit kau tadi?

"Kelmarin aku potretkan wajah Amri." Laila mengeluh. Ah! Aku tak suka Laila yang semacam ni.

Cepat-cepat aku menjawab. "Simpankan potret tu. Nanti kita bingkaikan. Jadikan hadiah untuk Amri. Hujung bulan ni. Moga-moga selepas melihat potret tu, jiwa Amri kembali kepada berus-berus lukisan yang dah lama dia tinggalkan. Moga-moga jiwa halusnya dapat membantu dia keluar dari kuasa gelap dadah."

Laila mengangguk. Keyakinannya untuk melihat Amri berubah masih berbaki. Pagi itu kami bersarapan dengan tenang. Damai menikmati suam-suam kopi diselimut kedinginan hari yang masih baru terjaga. Kawan, kalau kau susah hati, cubalah minum kopi dan ubi rebus ketika gerimis di waktu pagi. ♥

Amri, harapnya kau membaca.
Laila, sedekahkan kasih sayangmu.
Teman-teman, apa yang kalian mampu?

Karya Berkait: Klik Sini

5 comments:

alifmimyanun said...

arr.. ni cerite olok-olok ke cerite betul-betul bukan ujian ?

azuwa said...

hmm... laila in love with amri??
jika ini cerita betul, doaku supaya mereka selalu bahagia ^^

doa hari jumaat mustajab, hehe...

Nizam Ahmad said...

kisah benar yang diolah menjadi prosa :)

amri dan laila bukan nama sebenar. gambar hanya hiasan

haha~

K.H said...

Kalau susah hati, cuba minum kopi dan ubi rebus ketika gerimis di waktu pagi?

Akal yang menarik, tetapi sukar amat mencari kombinasi yang tepat bagi keempat-empatnya.

Mungkin boleh tambah satu lagi syarat supaya jadi lebih berat; sebelum gosok gigi.

Nizam Ahmad said...

indra: fuh! berat sungguh tu. berat tahi gigi hehehe~