02 February 2009

Mengertikan kawan, dalam persahabatan tidak ada aku-aku dan engkau-engkau. Yang ada hanya kita dan kita.

Kalau air matanya tumpah, pasti basah berjeruk lengan bajunya menyeka. Kalau sendunya teresak-esak, pasti bisu peti suaranya selama-lama. Matanya bergenang derita. Tapi Amri masih tabah. Membawa hati aku jauh ke lubuk rasa. Simpati.

“Aku tak perlukan simpati kau Zam.” Amri seperti dapat membaca perasaan.


“Aku hanya mahu kau tahu. Bukan senang hamba dadah boleh berubah. Kami takkan menyalahkan sesiapa atas kebodohan sendiri. Biarlah masyarakat yang menuding jari. Tak perlu pembicaraan, penghakiman atau soal siasat. Kami mengaku salah. Dan ketagihan ini adalah hukumannya. Jika dulu ada sebab kami tersalah masuk, pasti ada juga cara untuk kami mengengsot keluar.” Nada suaranya merendah.

“Berikan kami masa Zam. Kami tak mahu mati ditolak bumi”.

Amri menggunakan kata ganti diri “kami”. Tanda dia sedar bahawa dadah telah membuatkan dia berada dalam kelompok yang berbeza. Aku mahu Amri kembali menggunakan kata ganti diri “kita” dan bukannya “kami”. Mengertikan kawan, dalam persahabatan tidak ada aku-aku dan engkau-engkau. Yang ada hanya kita dan kita.

Berlari Untuk Hidup

“Hidup macam kau tentu seronok. Ada mak ada ayah yang mengambil berat. Ada adik beradik yang menggembirakan. Tapi aku. Balik rumah. Sunyi. Hidup sekadar hidup. Tanpa makna." Aku menelan sendu. Tak sanggup menyelami perit maung Amri yang berlari kencang untuk hidup.

"Aku sayangkan kau Zam. Aku sayangkan Laila. Aku bangga berdiri di sebelah kalian.” Amri menepuk-nepuk belakang badan aku. Tersenyum. Ah! Dialah manusia paling menyedihkan musim ini. Dia melaluinya kerana itulah jalan takdirnya.

“Zam, nanti kau khabarkan pada Laila ya. Aku masih sayangkan dia. Sangat sayang.” Amri memegang belakang tapak tangan aku. Meminta aku berjanji.

Ya Amri. Akan aku khabarkan pada alam bahawa engkaulah pemilik hati mulia meski dibendung jasad yang dihina. Engkaulah nelayan berperahu usang yang gagah berani bertempur dengan samudera meski kau tahu laut dalam itu akan menjadi kubur yang tidak dapat ditulis nama pada batu nisannya. Amri, mengapa lautan itu yang kau pilih? ♥


Amri, harapnya kau membaca.

Laila, sedekahkan kasih sayangmu.

Teman-teman, apa yang kalian mampu?


2 comments:

Er Lang said...

reading ur blog always making me feel, like there is a heavy rock in my chest....
not in a bad way, but in a good way...weird, but kindda like it!

Nizam Ahmad said...

huh! beban yg berat tu. ambillah apa yg elok. sisihkan mana yg buruk.