30 January 2011

Pindah Rumah - Bukan Mudah, Bukan Murah!

Ini bukan keputusan yang mudah. Bukan juga keputusan yang murah! Aku buat keputusan ini pun atas pertolongan orang lain. Seorang kawan yang menawarkan bilik kosong. Dan aku terima atas desakan orang lain. Ditambah desakan situasi dan keadaan. Nak tunggu aku buat keputusan sendiri, memang takkan putus~

Kalau dikira-kira, hampir 10 tahun juga aku membesar di kawasan keramat ni. Termasuk 5 tahun aku menyewa secara tetap. Bersama penyewa yang bertukar ganti. Pahit manis hidup menyewa tak perlulah diceritakan. Boleh buat telenovela. Klise sangat. Huhu.

Ramai yang tanya kenapa aku mahu pindah? Selain daripada yang aku sebutkan di atas, jawapan lain adalah; aku nak berubah angin. Nak cuba tempat baru. Berhijrah itukan indah? Aku kira, 5 tahun sudah cukup untuk aku belajar selok-belok hidup di sini, Insya Allah. Kalau orang kata rumah baru ni lebih jauh daripada rumah sekarang. Tak mengapa, ada orang tinggal di Seremban dan berulang-alik ke KL. Harapnya rumah ni akan mendisiplinkan aku untuk bangun pagi lebih awal huhu.


Di atas ni rumah aku sekarang di Keramat. Di bawah ni pula bakal rumah baru aku nanti di Cheras. Akan aku hiaskan seindah biasa. Sofa empuk merah, tv LED 55 inci, langsir emas tebal, permaidani tenggelam kaki, pokok hijau di balkoni dan sebiji piano di sudut dinding! Hahaha berangan ni...

Biarlah orang kata aku suka memerap di rumah macam anak dara (eh, memang aku dara lagi haha). Bagi aku, rumah adalah segala-galanya. Maka penat lelah berpindah rumah itu bukanlah apa-apa. Bandingkan dengan nikmat damai yang akan kita perolehi selepas penat lelah bekerja di luar. Mengertikan kawan, itu syurga dunia namanya! Setuju?


Jom tolong aku kemas dan angkut barang minggu ni. Tolong derma duit pun lagi dialu-alukan hahaha!

27 January 2011

Cinta Minta



Meminta cinta
Entah sampai bila
Hati bercita-cita mahu setia
Tetap cinta tak kunjung tiba

Meminta cinta
Entah dari siapa
Hati berkata-kata tanda sedia
Tapi cinta tak datang juga

Meminta cinta
Cinta yang meminta-minta
Meminta-minta cinta minta
Serius, aku penat meminta-minta!

Apa kau tahu di ketika mana lelaki benar-benar meminta C.I.N.T.A.?






Ya, persoalannya..berani atau tidak? Titik.

24 January 2011

Dia Pemotong Rambut



di balik kaca pintu
duduk dia pemotong rambut
tangannya mengeluh lenguh
jenuh menunggu untung

pintu terkuak membuka rezeki
pemotong rambut berbasa basi
ya, senyumnya takkan berbalas
faham-fahamlah orang zaman malas
selalu hanyut dalam sms dan bbm
di depan skrin tersenyum-senyum
di depan kawan bermasam muka

dengan gunting dan pisau dia sudah terbiasa
dengan rambut sekarang yang macam-macam gaya
dengan jiwa manusia yang macam-macam cara
dengan cakap-cakap yang carca marba

dulu rambut sama hitam
tapi hati lain-lain
sekarang rambut belang-belang
apakah hati berbolak balik..?
tanyakan dia si pemotong rambut
kerana dia yang lebih tahu



Petang tadi aku pergi memendekkan rambut. Dan dia memanjangkan ilham :)

23 January 2011

Cinta Yang Belum Bersedia

Pernahkah dalam hidup, kau jatuh cinta pada pandangan pertama? Kalaupun belum bercinta, kurang tidak tercuit rasa suka atau sayang padanya. Berdosakah kalau sayang itu datang sebelum kau kenal isi hatinya?

Pernahkah tatkala kau sukakan dia, tapi dia belum bersedia untuk dicintai. Ada banyak rintangan hidup yang selalu menjadi alasan sama ada kerjaya, keluarga mahupun usia. Dia tak mahu memberi harapan dan kau tak mahu memusnahkan impian.

Maka akhirnya kau dan dia kekal sebagai kawan. Tak lebih dan tak kurang. Kalau lebih daripada kawan, bimbangnya hati belum bersedia. Kalau kurang daripada kawan, bimbang sahabat menjadi lawan.

Maka akhirnya kau dan dia kekal sebagai kawan. Berharap cinta akan menjadi hak milik. Jika tidak hari ini, esok barangkali....

Mari hiburkan hati. Lets "Singing Oah"...


Apapun, aku tetap gembira menjalani cinta sebegini.. benar-benar gembira.. terima kasih kawan.. oah! :)
.

22 January 2011

Muzikal Laskar Pelangi


Fenomena novel tetralogi Laskar Pelangi yang dulu pernah membuat aku menjadi gila, kini dipentaskan secara muzikal di panggung teater! Sudah dipentaskan awal Januari lepas di Jakarta, bakal diulangtayang bulan Julai 2011 nanti. Ah! Aku boleh mati kalau tak dapat menonton muzikal ni. Ayuh ke Jakarta yuk!

Sedutan Muzikal Laskar Pelangi. Lawat mereka di


Lagu "Jari-jari Cantik" nyanyian magis dari si cilik Christoffer Nelwan.. yang bisa membawa kalian terbang di kayangan bagai kupu-kupu.. ah bagai syurga dunia!


apakah ini gerangan yang sedang ku rasakan
dunia seperti berputar, badanku bergetar
seperti ada kupu-kupu menari dalam perutku

siapakah engkau gerangan putri dari kayangan
jemarimu begitu cantik, hatiku tergelitik
seperti ada kupu-kupu menari dalam dadaku

aku mendengar suara berdenting, aling aling oh aling
mengalun bergantian merdu, aling aling oh aling
melagukan indah namamu

sudikah kau genggam tangan putri dari kayangan
jemarimu begitu indah, membuat hati gundah
seperti ingin menggubah seribu lagu untukmu

dalam tidur kan ku panggil namamu


Tahun 2008: Aku dan Andrea Hirata - penulis karya agung Laskar Pelangi

20 January 2011

Jom Cuti ke Melaka

Ini adalah cerita penuh tentang perancangan untuk bercuti ke Melaka sempena cuti Tahun Baru Cina nanti. Sebenarnya dah banyak kali aku ke Melaka tapi tak pernah merancang perjalanan betul-betul. Rupa-rupanya banyak lagi tempat menarik di Melaka selain daripada Bandar Hilir. Kalau nak turut serta, sila tinggalkan komen. Lagi ramai lagi seronok :)

Rancangnya kita bergerak seawal jam 10 pagi dari Kuala Lumpur. Sampai di Melaka boleh terus cari hotel murah. Selepas solat Zuhur, terus ke Melaka Wonderland di Ayer Keroh. Taman tema air seluas 9.2 hektar ni baru dirasmikan 15 Mei tahun lepas dan dibuka dari jam 10 pagi hingga 7 petang pada hari biasa.

Macam-macam permainan air ada di sini seperti Tornado Chaser: kita duduk ramai-ramai dalam mangkuk besar dan berpusing-pusing menuruni landasan yang disediakan. Ada juga Kamikaze Racer: gelongsor air enam lorong yang semestinya akan membuatkan kecut perut tahap maksimum. Kalau nak tahu tarikan-tarikan lain, boleh ke laman web Melaka Wonderland di sini: www.melakawonderland.com.my

Harga tiket pun berpatutan. RM 26.00 untuk dewasa pada hari biasa dan Rm30.00 pada cuti umum.

Selepas Maghrib, terus ke Melaka River Cruise, dekat dengan Muzium Maritim. Ada bot untuk 20 dan 40 penumpang, mengelilingi Sungai Melaka menikmati limpahan lampu neon selama hampir 45 minit. Bot ni beroperasi dari jam 9.30 pagi hingga 12 tengah malam. Tiket semurah RM5 untuk dewasa dan RM2 untuk kanak-kanak. Malam ni, aku nak kita semua pakai baju putih ya. Kalau belang-belang pun tak apa yang penting ada warna putih hehe.


Dah puas naik bot, kita serang Jongker Street pula. Cari baju kebaya untuk raya tahun ni haha. Kalau sempat boleh ke karaoke pula hehehe. Dah puas, sila tidur awal ya. Esok kita nak mengembara lagi.


Jam 10 pagi selepas sarapan, kita akan menaiki Menara Taming Sari. Setinggi 80 meter dan harga tiket Rm20 untuk dewasa. Dah lama aku dengar tentang menara ni tapi tak pernah tergerak hati nak cuba. Mungkin kali ni menjadi? Huhu. Kalau perut dah berkeroncong, jom kita makan tengahari di Ikan Bakar Umbai.


Petangnya pula, kalau berkesempatan boleh tengok matahari terbenam di Pantai Puteri di Tanjung Kling. Kalau nak jalan dengan aku mesti kena singgah pantai ya hehe. Lagipun letaknya tak jauh dari bandar Melaka dan tiket adalah percuma! Lepas maghrib boleh terus pulang ke Kuala Lumpur dengan tenang :p


Fuh! Penuh aktiviti dua hari di Melaka. Cukup tak? Tak tahulah perancangan ni menjadi atau tak. Kawan, macam mana? Berminat? Sila tinggalkan komen atau mesej di facebook. Aku macam travel agent dah hahaha.


Entri dan percutian ini untuk aku melupakan seketika tentang dia. Ah! Rindu memang kejam!

19 January 2011

Dibawa Pergi Tiada Kembali


Setiap hari mengekori dia
Yang digapai hanya bayang-bayang
Dan yang tertinggal tetap aku seorang

Mengharap dia mengembalikan jiwa
Kurang tidak berbalas rasa
Bukannya diambil percuma saja

Ah, semuanya salah diri sendiri
Melompat melatah mencipta mimpi
Walhal kontrak cinta kami belum pun ditandatangani

Ada apa dengan cinta ya?
Hingga hati mudah sekali dicuri orang
Dibawa pergi tiada kembali...

17 January 2011

Rasa ini adalah rasa yang sedang aku rasai...

Sudah lama aku biarkan hati ini dari memiliki rasa sayang
Dah lama aku abaikan dan tidak aku endahkan keinginan untuk menyayangi
Aku takut...

Saat ini, aku tahu, aku perlu untuk menyayangi
Aku perlu seseorang untuk menyayangi aku...

Sudah lama aku tak punya sahabat, yang boleh berkongsi segala...
Bukan tidak ada yang menghulur tawaran, tapi entah kenapa
Aku lebih suka biarkan ia sebagai tawaran tanpa berbalas...

Hakikatnya, aku bukan tak mahu menerima
Cuma aku takut untuk menyayangi
Atau mungkin aku takut untuk menghadapi kehilangan
Untuk kesekian kalinya

Maafkan aku buat mereka yang aku abaikan
Yang aku tidak ambil berat pada setiap jerih sakit dan kepayahan
Jauh di sudut hati aku, aku sayang kalian
Mahu kalian duduk hampir berkongsi rasa denganku

Andai waktu-waktu dahulu boleh kembali...



Dipetik daripada Pelan-Pelan Kayuh di



Ayatnya biasa-biasa tapi isinya luar biasa. Bisa mengabjadkan perasaan yang selama ini tak siapa dapat membaca. Ini adalah rasa yang sedang aku rasai. Barangkali ada juga yang sedang berkongsi rasa ...

16 January 2011

Follower ke 50 - Readikara aka Fiza


Tahniah! Aku dah pun ditemukan dengan pengikut / follower oranglipis.blogspot yang ke 50. Dengan bangganya diumumkan pemenang bertuah tersebut adalah..........

Azfiza pemilik blog Readikara.Blogspot. Klik untuk ke Readikara: http://readikara.blogspot.com/


Hadiah istimewa ini semestinya akan disediakan khas untuk Fiza. Jadi, kalau nak tahu apakah hadiah yang akan diberikan kepada Fiza, tunggu saja entri seterusnya. Fiza ni masih solo (promosi ni). Harap-harap Fiza tidaklah mengidam cincin pertunangan daripada aku hahahaha.

Kepada semua follower, terima kasih diucapkan. Aku bukanlah mahu berbangga dengan berapa ramai follower yang aku ada. Alah, 50 itu bukanlah kuantiti yang banyak pun dalam dunia blogger. Kalaupun tiada follower, aku akan tetap menulis di sini. Tapi aku bangga kerana kebanyakan mereka menjadi follower tanpa perlu disuruh-suruh. Tanpa perlu aku menjadi follower blog mereka pun. Terima kasih banyak-banyak! Terima kasih!

Barangkali ada hadiah lagi untuk follower ke 100? Yang pasti akan ada baaaaaanyak lagi hadiah menanti kalian di oranglipis.blogspot :)

14 January 2011

KHURAFAT: Lebih Baik Duduk Rapat-Rapat

Masuk, duduk dan khusyuk. Tumpukan perhatian ke layar putih. Jangan hiraukan telefon bimbit dan jangan berbual sangat. Aku yakin, Khurafat akan buat kalian nak duduk rafat-rafat (baca: rapat-rapat) .... isteri memeluk suami. Adik memeluk kakak. Kawan-kawan memeluk baju sejuk sendiri haha.

Permulaan filem agak membosankan. Klise drama Melayu. Kesan bunyi yang dibuat-buat dan aksi rasukan persis Exorcist. Tapi... bersyukurlah untuk 15 minit yang membosankan ini. Kerana 60 minit yang seterusnya akan membuatkan kalian sesak nafas!

Adegan di dalam kereta ketika Aisyah (Liyana Jasmay) keluar dari hospital cukup mendebarkan jantung. Makhluk yang duduk diam di kerusi belakang adalah biasa. Tapi kalau "dia" berpindah ke kerusi di sebelah pemandu dan bergerak pantas ke muka Aisyah, itu sudah cukup membuatkan mata terpejam sendiri! Bergerak pantas, bukan sekadar menoleh ya.

Adegan Johan (Shamsul Yusof) terkurung di dalam bilik mayat memang buat aku sesak nafas. Sehinggakan terdetik rasa hati "cepat-cepatlah habis babak ni." Tak sanggup nak berperang minda memikirkan di manakah lagi makhluk ni nak menjelmakan diri. Aku rasa, makin ramai yang tak akan berani masuk bilik mayat lepas ni.

Aku menonton berempat orang.

Kata kawan yang pertama, filem ni tak mengejutkan dia pun kerana senang untuk menjangka kehadiran makhluk. Ya, kadang-kadang apabila kita tahu "dia" ada di sebelah tapi tak nampak jasadnya, bukankah itu lebih menyeramkan?

Kata seorang kawan yang lain, filem ini sudah cukup untuk membuatkan dia terjerit-jerit di dalam panggung sambil menutup mata dengan lima jari. Khurafat bukan seperti Ngangkung dan Hantu Kak Limah yang lebih lawak daripada seram. Khurafat memang filem seram.

Seorang lagi kawan hanya mendiamkan diri. Barangkali dia kematian idea dan cuba membanding-bandingkan filem ini dengan filem Melayu yang lain. Pergilah tonton Khurafat, mungkin kalian boleh membantu dia membuat perbandingan :)

Kata aku? Aku sukakan penutup filem ini. Cepat, tepat dan padat. Tak perlu nak tunggu lama-lama sekadar untuk tahu pengajaran cerita. Tak perlukan skrip yang berjela-jela untuk tahu punca angkara. Satu yang kalian perlu tahu, lari dari perjanjian syaitan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan! Benarlah, dosa syirik itu tak terampunkan manusia apatah lagi Allah Maha Pencipta.

Masuk, duduk dan khusyuk. Kemudian pakat duduk rafat-rafat haha. Selamat menonton :)


13 January 2011

Jom Cuti

Cuti panjang datang lagi. Bermula dari cuti Hari Wilayah pada 1 Februari, diikuti cuti tahunan yang dimohon sendiri pada 2 Februari hehe. Seterusnya cuti Tahun Baru Cina pada 3 dan 4 Februari disambung cuti hari Sabtu dan Ahad. Jumlah keseluruhan adalah 6 hari. Kalau rasa-rasa tak cukup, sila ambil cuti sakit pada 31 Januari haha. Ah, Februari sememangnya bulan yang paling dicintai ramai kerana jumlah hari bekerjanya adalah yang paling sedikit berbanding bulan-bulan lain.

Jadi apa perancangan cuti kali ni? Insya Allah nanti aku akan ceritakan tiga tempat menarik sebagai cadangan. Ketiga-tiganya adalah tarikan terbaru di Melaka. Coming soon :)



12 January 2011

Bersediakah Kalian Kalau Facebook Ditutup?

Ada apa dengan Facebook? Datangnya bagaikan marijuana.

Sehinggakan ramai yang bergantung hidup padanya. Kalau tak punya Facebook, maka sambutan hari lahir akan dilupakan, tiada lagi aktiviti percutian ke sana sini, tiada tempat untuk berbangga dengan kasut baru, wajah baru, bikini baru. Tiada tempat untuk memberitahu dunia bahawa "Kami anti Ana Rafali". Oh! Kasihan Ana Rafali. Tanpa Facebook, hidup adalah membosankan.

Lebih ironi, ada juga yang bergantung nyawa padanya. Kalau kecewa, maka caci maki berhamburan. Kalau putus cinta, maka dibuatnya kira-kira detik untuk membunuh diri. "45 minutes before heaven". Itupun kalau beroleh syurga. Lalu berduyun-duyunlah rakan bersuara prihatin bertanyakan itu ini.

Ada juga yang bergantung kerja dengan Facebook. Log masuk Facebook dapat RM100 sehari. Promosi ubat kuat dengan pautan di foto. Pagi-pagi ke pejabat, buka komputer, buka Facebook. Sehari tak menjenguk Facebook, seharian mengantuk di meja pejabat.


Di sini juga tempat mencari rakan, mencari jodoh, dan mencari fasal. Yang pendiam boleh jadi peramah di sini. Yang bujang boleh bertemu jodoh di kotak mesej. Yang dah berkahwin boleh bercerai-berai di dinding komen. Apakah tega cintamu juga diuji di sini..?

Ada apa dengan Facebook? Kerana kalian semua ada Facebook, kerana itulah Facebook ada. Facebook hanya akan ditutup apabila tiada siapa lagi yang mahukannya. Benarkah?


Facebook pernah merampas kekasih-kekasih blog aku dulu. Tak mengapa, bila nanti Facebook ditutup, aku masih punya blog dan kekasih-kekasih itu pasti akan datang kembali merayu...

Mungkin Ini Namanya Cinta

Mungkin ini namanya cinta
Bila pertemuan pertama
Rindukan kedua kalinya

- ah, aku benci duduk sendiri di depan balkoni..!

Foto oleh MonizaM
Tanah Lot, Bali

Melodi Hanyut nyanyian Faizal Tahir mengisi kesunyian di sudut balkoni. Menimbulkan satu rasa yang tak punya definisi. Satu rasa yang belum tentu boleh dimiliki. Kenapa perlu ada perasaan sekosong ini? Inikah cinta yang sering datang dalam mimpi? Kalau pun benar, aku lebih rela bermimpi di dalam jaga daripada tersiksa menikmati rasa yang bukan hak milik.



10 January 2011

Aku Tak Kacak, Aku Tak Cantik...!

Aku tak kacak. Aku tak cantik. Kau kacak. Kau cantik.
Enggang sama enggang. Pipit sama pipit. Manakan hendak terbang seiring.

Kenapa begitu lagak katamu? Tuhan itu Maha Sempurna. Telahpun Dia menyempurnakanmu.
Dua kaki tegak seimbang. Pancaindera cantik terpasang.

Ah aku tak kacak. Aku tak cantik. Kau yang kacak. Kau yang cantik.
Enggang sama enggang. Pipit sama pipit. Manakan hendak terbang seiring.
Aku cacat. Aku tak sempurna. Hati merahku hanya separuh.
Dan...
Separuh lagi ada padamu.
Terimalah diriku dan sempurnakanlah hatiku. :)

***

Kalau kalian gunakan ayat-ayat di atas untuk memikat hati si dia, pasti dia akan menjawab "Poyo!" Hahahaha padan muka. Siapa suruh baca blog jiwang ni :p




Tolong Ingatkan Aku - Versi Lelaki

AJL 25
Juara: Tolong Ingatkan Aku - Ana Raffali
Naib Juara: Drama King - Black / MUH
Ketiga: Noktah Cinta - Hafiz
Persembahan Terbaik: Faizal Tahir - Hanyut
Vokal Terbaik: Hafiz - Noktah Cinta

Aku setuju dengan semua keputusan kecuali Ana Raffali. Sebab persembahan dia tak masuk ke hati. Liriknya sangat bagus tapi sayang sebutannya menganggu persembahan. Kalau Yuna yang nyanyi barangkali lebih sempurna hehehe. Apapun, ini anugerah tentang lagu. Jadi aku tersilap kerana terlalu melihat pada nyanyian Ana Raffali.

Cuba dengar kalau orang lain yang nyanyi lagu ni. Kan sedap macam ni. Wajib layan ya!


Sudahlah! Aku mahu tidur dulu. Tolong ingatkan aku yang esok kita ada kerja perlu diselesaikan. Jangan jadi drama king mencanang gosip tak puas hati. Titik. Noktah cinta! Pelita sudah dipadamkan. Semoga kalian hanyut dibuai mimpi cinta sempurna bersama Sofea Jane. Selamat malam dan selamat mencari konklusi hidup yang lebih ekstravaganza. Jangan buat gosip yang jahat jahat kemudian berlari menyembunyikan diri. Takut nanti kita tersenyum kebahagiaan dalam perpisahan. Ku ada kamu bantal pelukku. Biarkan aku memeluk malam :)


Kalian tahu tak, Kak Pah menyanyi dengan monitor lirik khas untuk dia sahaja di depan pentas. Macam kita menyanyi di karaoke box tu hehehe..

09 January 2011

Raptai Penuh Anugerah Juara Lagu 2011

Selepas menonton raptai penuh semalam, ini adalah turutan pilihan aku untuk AJL malam ni. Tapi ingat, hanya 30% markah datang dari persembahan pentas, manakala baki 70% markah diberikan sebelum pertandingan berlangsung lagi. Jadi, saksikan persembahan penuh malam ini dan bandingkan keputusan aku yang tak seberapa ni hehehe.

5 lagu teratas mempunyai potensi besar untuk menduduki tempat-tempat utama malam ni. Tapi tak mustahil untuk lagu 6-10 memberikan cabaran kerana raptai bukanlah kayu ukur persembahan. Lagu 11-14 mungkin perlu membaiki lagi kualiti persembahan.

1. Hanyut - Faizal Tahir
- Tak sabar nak tengok Faizal hanyut dalam kolam air.

2. Cinta Sempurna - Yuna
- Boleh tak menyanyi secara berdiri?

- Yuna -

3. Berlari - Tomok
- Permulaan lagu yang saaaangat menarik! Macam video klip Korea.

4. Sofea Jane - Black
- Vokal Black buat meremang bulu roma.

5. Drama King - Meet Uncle Hussein
- Tolong buat sound-check ya! Dan gunakan pelakon dengan lebih efektif.

6. Noktah Cinta - Hafiz
- Gimik Hafiz sangat menjadi. Sangat kreatif!

7. Ku Ada Kamu - Adira
- Buaian-buaian tu menganggu vokal dan persembahan Adira lah. Kenapa perlukan buaian kalau Adira sendiri sudah mampu membawa penonton ke awang-awangan?

-Adira -

8. Selamat Malam - Faizal Tahir
- Persembahan yang comel :)

9. Kebahagiaan Dalam Perpisahan - Shahir
- Oh aku suka Nasha Aziz dalam persembahan ni! Nasha sangat membantu penonton untuk memahami lagu ni dengan lebih berkesan.

10. Tolong Ingatkan Aku - Ana Raffali
- Tolong baiki sebutan. Sangkar-sangkar tu memberatkan lagi isi lagu. Serius aku tak faham! Huhu. Bukankah lakonan sepatutnya membantu pendengar untuk lebih memahami isi lagu?

- Ana Raffali -

11. Jahat - Stacy
- Tetap bertenaga tapi kurang menyengat. Persembahan seperti dijangka, tiada apa yang lain daripada lain.

12. Pelita - A.P.I
- Alat muzik terlalu banyak sehingga menganggu vokal dan kedengarannya bising dan hingar bingar.

13. Ekstravaganza - Bunkface
- Persembahan syok sendiri hehehe.

14. Mencari Konklusi - Hujan
- Lagu dan persembahannya terlalu ringkas dan kosong.

Bakal pemenang persembahan terbaik:
Aku nilai berdasarkan sejauh mana persembahan membantu lirik lagu sampai ke hati penonton dan vokal yang mantap membantu penyampaian keseluruhan lagu.

Berlari - Tomok
Noktah Cinta - Hafiz
Hanyut - Faizal Tahir
Sofea Jane - Black

Bakal pemenang vokal terbaik:

Black - Sofea Jane
Dan aku tak ada calon yang lain kerana vokal Black sememangnya memukau !

Persembahan selingan:
Segmen Siti Nurhaliza pastinya meriah! Lagu nyanyian Kak Pah sedap didengar. Vokal Ziana Zain dan Francisca Peter masih sehebat anak dara. Dan tetaplah Bob penyanyi terhebat kerana selamba menyanyikan lagu duet Ghazal Untuk Rabiah secara solo.

Itu sahaja komentar suka-suka daripada aku. AJL menyedarkan aku betapa aku cintakan persembahan seni pentas. Rasanya tak meriah hidup kalau tiada lagi muzik-muzik yang berkualiti di Malaysia huhu. Menyaksikan raptai persembahan tv memang menyeronokkan. Berdebar-debar bila tengok props yang berbagai-bagai entah sempat dipasang atau tidak di atas pentas. Tercuit hati tatkala artis terlupa lirik dan terpaksa mengulang lagu 2,3 kali kerana masalah teknikal. Tergelak besar melihat gelagat sang pengacara yang terpaksa menokok tambah skrip kerana persembahan belum bersedia. FF, FBI dan Ally memang gandingan yang serasi.

Jom saksikan persembahan penuh malam ini. Agak-agak siapa yang akan menang? Mungkinkah artis-artis tempelan di bawah ni? Hahaha ;)

07 January 2011

Anugerah Juara lagu ke 25 - 2011

Selalunya mudah untuk aku membuat pilihan juara. Tapi kali ini, hampir semua lagu punya kekuatan sendiri. Jadi aku senaraikan saja lagu pilihan mengikut turutan potensinya untuk menang. Esok aku nak menonton raptai penuh AJL 25 di Bukit Jalil (terima kasih Haina!). Jadi carta ini mungkin akan berubah selepas tengah malam esok. Apapun, kita tengok carta setakat hari ini ya :)

1. Drama King – Taja/Teja/Meet Uncle Hussain
Bait-bait lirik lagunya sangat tepat dengan setiap melodi. Ayat perli, melodi pun berbunyi sinikal. Ayat marah, melodi pun berbunyi marah. "Kau bertakhta bagai maharaja di atas lembah..." Fuh sangat sinis!

2. Cinta Sempurna – Yuna
Sekali dengar dah cukup buat aku melayang-layang dilamun cinta. Yuna punya karisma yang mampu mengangkat lagu ini ke tingkat paling sempurna. " Tak mampu untuk menanggung sebuah cinta sempurna.. aku hilang dalam kewujudan..." Kadang-kadang yang serba ringkas seperti lagu ini kelihatannya lebih sempurna.

3. Hanyut – Audi Mok/Faizal Tahir/Faizal Tahir
Gemersik suara Faizal agak lain daripada biasa. Ada nyawa dalam nyanyiannya. Faizal benar-benar meroyan hanyut bersama lirik dan melodinya. Sehebat lagu Cuba dan Sampai Syurga.

4. Pelita – Loque/Loque/A.P.I
Lirik lagu yang sangat mencerahkan hati. Kalaulah ada anugerah lirik terbaik, Pelita adalah pemenangnya. "Kan kupancarkan cahaya seperti pelita. Ke serata dunia yang gelap gelita.."

5. Sofea Jane – Iswandy/Sham/Black Mentor
Terkenang lagu rock 80an dulu-dulu. Gimik lagu ni ada pada tajuknya. "Kau selalu membuat hatiku merasa berat". Memang berat mengenangkan rindu yang terbuku dalam hati.. ahh !

6. Ku Ada Kamu – Edry Abdul Halim/Edry Abdul Halim/Adira AF8
Kekuatan lagu ini terletak pada vokal penyanyinya. Harapnya Adira boleh mengulang semula kehebatannya semasa konsert akhir AF dulu.

7. Berlari – Shazzy Ishak/Tomok
Melodi lagu ni sangat mudah ditangkap akal. Sangat catchy kata orang, Aku dah terbayang Tomok berlari-lari di atas pentas mengikut rentak lagu.

8. Selamat Malam – Audi Mok/Faizal Tahir
Liriknya agak unik dan sangat romantis bunyinya. Itu yang buat aku mahu dengar lagu ni. Tapi aku cepat juga hilang tumpuan bila dengar lagu ni. Awal-awalnya menenangkan, makin lama makin serabut. Bagaimana agaknya kalau orang ucap selamat malam dalam keadaan terjerit-jerit? Hehe.

9. Jahat – Edry Abdul Halim/Edry Abdul Halim/Stacy
Tipulah kalau kalian tak menghentak-hentak kaki bila dengar lagu ni. Semestinya Stacy akan menari bersungguh-sungguh nanti. Tapi bila dengar lama-lama, muziknya agak serabut.

10. Noktah Cinta – Ajai/Sheikh Qalam/Hafiz AF7
Melodinya persis lagu cinta biasa-biasa. Belum mampu menandingi lagu-lagu cinta Aizat. Mungkin sekadar memenuhi kuota 14 finalis.

11. Kebahagiaan Dalam Perpisahan – Edry Abdul Halim/Edry Abdul Halim/Shahir AF8
Sama seperti lagu Noktah Cinta. Entahlah, aku rasa lirik lagu ni kurang sesuai dengan melodinya. Aku pernah dengar lagu ni dinyanyikan dalam versi melayu asli dan nasyid. Dan hasilnya lebih menusuk kalbu huhu!

12. Tolong Ingatkan Aku – Ana Raffali
Kalau dalam kategori novel, lirik lagu ini boleh dikira sebagai bacaan sastera berat. Ditambah dengan sebutan Ana yang kurang jelas, mesej lagu ini mungkin payah untuk dihadam pendengar. Tolong ingatkan aku lirik ini tentang apa ya?

13. Ekstravaganza – Sam/Bunkface
Lagu ni kurang menyengat berbanding lagu-lagu Bunkface sebelum-sebelum ni.

14. Mencari Konklusi – Noh/Noh/Hujan
Melodinya agak lemah dan tak mesra di telinga pendengar. Lagu ini sepertinya satu bahan eksperimen oleh Hujan.


Apapun semua lagu tetap hebat. 30% penentunya terletak pada persembahan di atas pentas nanti. Jumpa di Bukit Jalil nanti ya hehehe.

04 January 2011

Tahun Baru di Teluk Cempedak

Sudahkah aku katakan betapa aku cintakan pantai? Bau bayu dan hentak ombak. Saling berkait dan mengindahkan khayalan. Berdiri di depan pantai bagaikan terbang ke alam tanpa masalah. Melegakan.

Tahun baru kelmarin aku bersama tiga rakan bertandang ke Teluk Cempedak di Kuantan. Hampir 4 jam perjalanan dari Kuala Lumpur. Sepanjang petang kami menghabiskan masa menikmati keindahan landskap pantai Teluk Cempedak dan Telok Tongkang. Aku memang dah lama jatuh cinta dengan susunan batu-batu dan jambatan kayu di pesisir pantai Teluk Cempedak ni. Romantis dan mendamaikan. Ilham datang tak henti-henti.

Lewat maghrib kami ke pasar malam Jalan Gambut di bandar Kuantan. Ada wajik, burger oblong dan burger goreng yang tak pernah aku jumpa sebelum ni. Kemudian menginap di Shahzan Inn dengan RM150 semalam. Dibahagi empat orang, memadailah. Tidur gaya orang bujang :)

Hujan lebat mendinginkan pagi seluruh Kuantan. Tapi cuaca tetap berlembut hati dan mengizinkan kami mandi pagi di kolam renang. Usai berdandan diri kami menuju ke Tanjung Lumpur. Perkampungan nelayan di muara Sungai Kuantan yang berlumpur tebal. Di sinilah kami mencari keropok lekor, menikmati sotong goreng tepung dan sata panas buat menghangatkan pagi yang kehujanan. Khabarnya, akan ada projek besar bakal dibina di sini. Barangkali bau ikan di Tanjung Lumpur bakal menjadi kenangan sahaja suatu hari nanti.

Lewat tengahari kami berangkat pulang ke Kuala Lumpur. Sempat singgah di Temerloh mengidam gulai tempoyak ikan patin. Niat di hati nak ke Gerai Pak Usop yang terkenal dengan ikan patinnya. Tapi gerai Pak Usop tutup membuatkan kami berpindah ke gerai sekitarnya. Apapun, kemanisan rasa ikan patin tetap menyengat!

Pemandangan pesisir pantai Teluk Cempedak

Tapi kalau mahu mandi, lebih elok kalau kita merentasi jambatan menuju ke Telok Tongkang

Inilah pantai Telok Tongkang yang selalu menjadi tumpuan pengunjung berkelah

Sebelum pulang, jangan lupa singgah di Tanjung Lumpur bertemu nelayan dan hasil tangkapannya di tepi-tepi jalan yakni keropok lekor!


Tarikh 1111 terasa sangat bererti apabila berpeluang merapati alam. Sekian lama kita menjelajah tinggi di awan, tiba masa untuk jejak kaki ke bumi. Teluk Cempedak dan Tanjung Lumpur memberikan aku permulaan tahun baru yang menyegarkan. Ada 365 hari lagi untuk ditempuhi. Hidup seluas lautan bermula dengan satu langkah pertama. Lakukan sekarang! :)

03 January 2011

Biar Hidup Ibarat Cengkerang


Foto oleh MonizaM
Lokasi: Teluk Cempedak Kuantan


Tahun dua ribu sebelas ini aku mahu jadi seperti cengkerang. Sahabat dan keluarga akan menjadi mutiaranya. Meski nanti akan terpisah dan merapuh, tetaplah aku bangga menjadi penyeri pantai. Lambang pengorbanan tanpa pelabuhan. Lambang cinta sekuat ombak. Biar hidup ibarat cengkerang, melindungi... walau akhirnya dipijak orang.

Dari pasir menjadi mutiara. Dibelai, dimanja dan dijaga oleh sang kerang. Tidakkah kalian mahu menjadi mutiara hidupku? :)


Baca cerita cengkerang dan mutiaranya di sini: Kisah Kerang dan Mutiara

01 January 2011

Tahun Baru di Bukit Ampang Lookout Point

Ini cerita baru. Ini cerita tahun baru. Cerita 2010 yang berlalu bagaikan sesaat. Kalau sudah bekerja di syarikat yang tak pernah diam ni, masa yang panjang dirasakan sangat pendek. Tahun 2010 adalah tahun aku berjinak-jinak di tempat kerja baru. Tahun 2011 adalah tahun untuk aku mula belajar berlari dan terus berlari. 2011 menjanjikan segala yang baru. Jawatan baru, struktur organisasi baru, boss baru dan aku akan berpindah ke rumah sewa yang baru. Ah! Semuanya mencipta rama-rama di dalam isi perut huhu.

Aku tak pernah mensinonimkan tahun baru dengan apa-apa perayaan. Tak pernah teruja nak ke Dataran Merdeka atau KLCC demi bunga api ataupun konsert artis terkini. Yang aku suka tentang tahun baru adalah cuti. Dan tahun ini kami dapat cuti tahun baru berganda-ganda. Dari Jumaat sampai ke Isnin. Oh! Terima kasih Petronas! Terima kasih Harimau Malaya!

Cuti panjang tak patut dibazirkan. Maka inilah serba sedikit cerita aku dan malam tahun baru. Kami mendaki bukit Ampang Lookout Point. Best!




Azam tahun baru aku nak ambil lesen kereta. Sangat mudah tapi susah nak direalisasikan huhu.