17 December 2007

Sang Pemimpi


Dipertemukan dengan karya realistik Andrea Hirata ibarat melepaskan terus sejuta rindu aku pada novel. Sejujurnya, telah lama aku tidak membaca novel, apatah lagi novel sastera sehebat Sang Pemimpi. Hebatnya sungguh! Terima kasih kepada seorang teman jauh yang mencadangkannya.

Sang Pemimpi adalah buku kedua dalam siri tetralogi Laskar Pelangi. Aku belum membaca buku pertamanya atas judul Laskar Pelangi. Terlalu lewat menyedari betapa karya ini sangat laris di pasaran. Justeru aku masih belum ketemu dengan edisi sulung tetralogi ini. Terima kasih kepada seorang teman jauh yang menyedarkan aku.

Membaca Sang Pemimpi seperti membaca diri sendiri. Betapa nasib, cita-cita dan pengorbanan adalah perkara yang selalu disalahertikan lantas disalahgunakan. Mengajar aku lebih menghargai perhubungan cinta kemanusiaan. Benar. Novel ini benar-benar sebuah karya yang membangkitkan semangat. Semangat datang setelah rasa sebak acapkali melinangkan air mata. Semangat datang setelah bibir mengukir senyum, kadang tergelak sendiri pada kelakar yang sinis. Mainan emosi yang mengkagumkan persembahan ayat-ayat segar dan mempesonakan Andrea Hidrata! Mungkin kerana ia adalah satu kisah benar petikan pengalaman hidup penulis maka ia sangat terkesan dalam hati aku. Apapun, terima kasih kepada seorang teman jauh yang mencadangkannya.

Jadi, saya cadangkan tetralogi Laskar Pelangi ini untuk anda pula. Dan jika ada lagi novel lain seperti ini beritahukan saya ya?




13 December 2007

12 Disember 2007





tiap bertambah umur usia
harap bertambah amalan mulia
nikmat hidup jangan dipersia
akhirat jua beroleh kurnia

...Sempena Ulang Tahun Jubli Perak an-nidxam. Alhamdulillah.





03 December 2007

RAHSIA... kerana aku telah tahu.

Hidup ini satu rahsia. Kerana tiada seorang pun yang tahu apa yang akan berlaku kelak. Hari ini, kita tak akan tahu apa yang akan berlaku esok. Tahun ini, kita tak akan tahu apa yang akan terjadi tahun depan. Sampai bila-bila pun kita akan sentiasa dalam ketidaktahuan.

Begitu juga dalam perhubungan. Sampai mati pun kita tak akan tahu segala tentang dia. Dia juga tak akan tahu segala-galanya tentang diri kita. Namakan apa pun. Cinta, ikatan, pernikahan apatah lagi perpisahan. Tiada satupun yang jadi penjamin untuk kita mengetahui sepenuhnya tentang dia.
Itulah menariknya ketidaktentuan ini. Lagi banyak perkara yang kita tidak tahu, lagi mencabar perjalanan hidup. Lebih menyeronokkan dan mendebarkan. Setiap hari kita akan cuba mencari tahu tentang apa sahaja. Semakin banyak yang kita tahu, akan tersedarlah sendiri betapa banyak lagi yang kita tidak tahu.

Jadi, manfaatkan setiap saat. Usah asyik berkalau-kalau. Kita tetap tidak akan menjadi yang Maha Mengetahui.

***


Rahsia... Kerana Aku Telah Tahu.

Tak perlu kau rasa bersalah
Atas dusta yang kau cipta
Jangan juga berasa malu
Pada mungkir janji dahulu
Biar lali merawat luka sendiri
Daripada menagih janji janji basi
Kerana aku telah faham
Kata hati bukan di bibir
Kerana aku telah tahu
Rahsia cinta sebenar
Kerana aku telah percaya
Cinta yang mana membawa ke syurga

Keramat
28 November 2007

:: sediasetiaselagimasihkasih ::


30 November 2007

Kita Perlukan Penanda Aras

Tahukah anda, bagi menjamin dan mengekalkan keaslian tarian-tarian tradisi di Malaysia, satu usaha untuk menentukan penanda aras tarian melayu sedang diusahakan oleh agensi-agensi bertanggungjawab.

Aku sokong sepenuhnya usaha ini walaupun aku bukanlah seorang penari pun. Sekadar suka-suka di zaman universiti sahaja. Aku sokong kerana kebelakangan ini meluat juga menonton tarian yang dikatakan tradisional tetapi kadang-kadang tak nampak di mana keasliannya. Melompat-lompat, terbaring-baring, bergesel-gesel lelaki dan perempuan. Itu belum cerita bab pakaian lagi. Hilang kelembutan dan kesopanan yang sepatutnya ditonjolkan oleh penari-penari Melayu.

Akan datang mungkin akan muncul penanda aras bahasa melayu, penanda aras pakaian melayu, penanda aras budi bahasa dan macam-macam lagi. Semuanya kerana kita selalu cenderung untuk melampaui batas.

Moga-moga seratus tahun lagi anak Melayu masih kenal zapin, joget atau inang dan bukan hanya ballroom dance, break-dance atau dirty dance!

19 November 2007

Video Festival Zapin MAKUM 2007 !

Video persembahan UIAM di Festival Zapin MAKUM 2007 kini boleh disaksikan di youtube.com. Hehe.. berterima kasihlah kepada "tintaberdarah" yang sudi memuatnaikkan video tersebut. Setakat hari ini, hanya ada video dari UPM dan UIAM sahaja. Mungkin yang lain akan menyusul.



Apa lagi.. pergilah layan. Komen jangan tak komen hehe. Lawat URL ini: www.youtube.com/tintaberdarah

Tapi setelah aku menelaah video ini entah berapa ratus kali, ada sesuatu yang aku nak kongsi cerita.

Pertama, kami memang terlalu teliti dengan koreografi dan spacing (penggunaan ruang) sepanjang tempoh latihan. Koreografi abg.Khalid memang susah kalau nak dibandingkan dengan universiti lain. Banyak berlari dan curi langkah. Jadi, kesilapan yang sedikit mungkin akan membawa kepada kemalangan haha! Usah ditanya berapa kali kami terjatuh semasa latihan. Perlanggaran dan pergeseran yang tak sepatutnya dilihat. Secara peribadi aku kira UPSI nampak lemah dalam aspek ini. Mungkin itu antara yang dikatakan hakim sebagai tertib menari.

Kedua, oleh kerana terlalu banyak masa dihabiskan untuk koreografi, kami tidak sempat memperincikan pergerakan tangan. Kami telah mencuba. Banyak kali. Tetapi masih terpengaruh dengan kebiasaan. Masing-masing ada gaya tersendiri dan susah untuk diubah dalam masa yang suntuk. Tapi, keseluruhannya masih memuaskan walaupun aku akui yang UPSI lebih hebat dari segi persamaan tangan ini.

Ketiga, aku sangat memuji koreografer kami yang aku anggap sangat kreatif dalam menghasilkan bentuk-bentuk yang abstrak dan lain dari yang lain. Dari menegak jadi melintang, dari bulat jadi anak panah, dari sebaris jadi berpasangan. Beliau tahu bagaimana untuk menghasilkan tarian yang tidak membosankan dan nampak bertenaga. Aku paling suka bahagian taksim dan buka langkah. Setelah setahun kami berzapin, baru kami sedar betapa lemahnya pergerakan tarian-tarian kami sebelum ini.

Keempat, anda mungkin nampak persembahan kami kurang bertenaga walhal kami sudah bermandi peluh. Memang itu hakikat kalau anda menonton melalui video rakaman dan bukan secara langsung. Pengalamannya berbeza. Apapun anda perlu menyaksikan kesemua kumpulan yang bertanding. Kemudian barulah anda boleh menyaksikan keunikan UIAM hehe.

Jadi, apa pula komen anda?

05 November 2007

Pilih Satu Saja..!

Baru dua minggu bekerja dikelilingi pakar-pakar seni budaya di sini, aku sudah sedih dengan diri sendiri. Kadang bingung kadang terkilan.

Aku bertemu dengan pelukis-pelukis mampan dari Balai Seni Lukis Negara. Aku berbual bicara dengan koreografer bertauliah dari Istana Budaya. Aku mendengar cerita daripada pakar kraftangan, grafik dan lukis melukis. Aku berkenalan dengan penulis-penulis baru yang sangat tekun dengan usaha mereka. Dan ramai lagi yang pastinya akan datang.

Mereka begitu teruja bercerita. Malangnya aku begitu sedih mendengar. Baru aku sedar yang aku langsung tidak berusaha untuk menjadi pakar sepertimana mereka kerana aku terlalu mengejar semua perkara dan akhirnya ketinggalan segala-galanya.

Zaman sekolah aku senang sekali memahirkan diri dalam bab pengucapan umum dan penulisan (terutamanya cerpen dan puisi). Buku dan novel jadi teman setia. Bahasa Melayu memang disanjung tinggi. Terselit harapan untuk bergelumang dalam bidang penulisan suatu hari nanti. Sekarang, aku hanya ada blog yang satu ini.

Begitu juga dengan warna-warna dari berus lukisan dan pen grafik yang sentiasa memenuhi ruang kosong kertas. Segala jenis teknik dicuba dan melahirkan kepuasan yang tak sudah-sudah. Malah pernah aku potretkan wajah pengantin kakak. Sekarang, berus lukisan pun aku dah kekok nak pegang.

Zaman kampus, aku belajar seni suara pula. Baru aku mengerti tentang harmoni, falsetto, suara 2, suara 3, dan macam-macam lagi. Lagu-lagu nasyid dan rnb jadi siulan. Hampir-hampir menerbitkan album. Sekarang aku hanya menyimpan dua lagu demo yang sempat dirakamkan dulu.

Kesusasteraan Melayu terutamanya pantun turut jadi kegilaan. Empat tahun aku mewakili universiti ke festival pantun serata tempat. Masih berangan-angan untuk menerbitkan buku koleksi pantun sendiri. Sekarang hanya punya koleksi puisi persendirian buat tatapan sendiri.

Sebelum kaki meninggalkan zaman universiti, masih sempat mempelajari seni tari zapin. Kalau dulu sekadar menghentakkan kaki, kini aku sudah tahu beberapa jenis zapin di Malaysia terutamanya zapin Johor. Tapi masih banyak jenis zapin lain yang belum sempat dipelajari tetapi terpaksa ditangguhkan untuk mengutamakan alam kerjaya yang baru bermula.

Ada beberapa lagi bidang seni yang aku pernah cuba tapi sekadar dicuba. Seni khat, teater, grafik, fotografi, setakat yang teringat. Tapi tiada satupun yang aku betul-betul mahir. Atau sekurang-kurangnya berusaha untuk menjadi mahir. Pernah aku duduk mentelaah ruang fikir mencari kata selesai. Tapi entahlah. Apakah kerana aku terlalu tamak-minat dengan segala cabang seni budaya? Atau aku takut dengan komitmen dan bermalas-malasan? Kekurangan material dan kewangan. Tidak tetap pendirian dan mudah bosan.

Aku sedang berusaha untuk memilih sekurang-kurangnya SATU cabang seni untuk aku dalami sedalam-dalamnya… tolonglah saya…!

02 November 2007

BMW Shorties Screening Appreciation Night - End of Chapter, Beginning of Another.

Zaman belajar di universiti semakin beransur-ansur hilang dari dalam diari harian aku. Sekarang asyik menghadap komputer, masuk mesyuarat, belek-belek fail. Kerja harian seorang pekerja baru dalam sektor kerajaan. Di mana? Nanti-nantilah aku beritahu ya hehe. Yang pasti, tetap tak dapat lari dari bidang kebudayaan dan kesenian. Satu kebetulan sebenarnya.


Malam Penghargaan untuk komiti BMW Shorties Screening dah selamat diadakan minggu lepas. Diadakan serentak dengan sambutan Aidilfitri dan meraikan kemenangan Mahallah Ali sebagai Naib Johan Pertandingan Kibarkan Jalur Gemilang UIAM bulan Ogos lepas. Untuk makluman, Mahallah Ali masih kekal sebagai satu-satunya Mahallah lelaki yang terus mengungguli hadiah-hadiah utama untuk pertandingan ini selama tiga tahun berturut-turut. Malah menjadi Juara pada kali pertama pertandingan ini diadakan dua tahun lepas. Fuh bangga aku hehe! Mahallah perempuan pun tak ada yang kekal tau walaupun merekalah yang pakar bab hias menghias dan menggantung bendera ini.

Tapi, aku sangat terkilan kerana Malam Penghargaan ini tidak sepertimana yang aku harapkan dan jangkakan. Terlalu jauh dari standard penganjuran program Mahallah Ali. Tanyalah Haeqal dan Faizal, presiden-presiden terdahulu. Aku masih ingat semasa kami mengadakan Jamuan Aidiladha, Jamuan Penghargaan “Cultural Week 2004/2005”, Iftar dan banyak lagi yang biarpun ringkas tapi tersusun, lancar dan meriah. Yang penting objektif tercapai. Malangnya, untuk malam Penghargaan kali ini langsung tidak setaraf dengan program BMW Shorties Screening itu sendiri. Nasib baik aku tak jemput wakil BMW atau Fleishman Hillard (walaupun Ustaz ada bertanyakan tentang mereka).

MRC baru pula malu tak bertempat. Aku tak sangka mereka orang yang paling awal meninggalkan majlis, malah ada yang beredar semasa majlis berlangsung. Hendak bersama dalam sesi fotografi pun tak mahu. Tiada nilai-nilai professional. Sepatutnya inilah masanya untuk mereka berkenal-kenalan di samping memohon bantuan daripada komiti BMW Shorties supaya terus menyokong program Mahallah Ali. Tidakkah mereka tahu bahawa komiti BMW Shorties Screening ini adalah antara yang terbaik dan dedikasi terhadap tugas?

Mungkin aku yang silap kerana lepas tangan dalam penganjuran majlis ini (maklumlah aku dan Zamri adalah orang luar sekarang). Mungkin juga aku terpaksa maafkan mereka yang mengendalikan program ini atas alasan “Final Exam”. Atau mungkinkah ada alasan lain yang tersembunyi?

MRC Ali 2007/2008 sangat memerlukan bimbingan yang rapi dari semua pihak terutamanya bekas exco dan fellow. Mereka sedang mengalami kejutan budaya, aku kira. Aku mahu datang lagi ke Mahallah Ali suatu hari nanti. Dan ada hasrat untuk melihat Mahallah Ali terus mengangkat martabat universiti.

03 October 2007

Jalan Kejayaan

Sekarang ni kerja harian aku adalah mentelaah video Festival Zapin yang baru disiapkan oleh Razz 2 minggu lepas. Kena tunggu sampai bosan baru aku boleh layan video lain pulak kot haha! Kumpulan kegemaran aku? UPM, UPSI dan semestinya UIA. Akhirnya sajak terbaru aku berjaya dihasilkan. Mungkin sempena demam zapin yang belum kebah ini kot.. untuk semua member-member zapin yang aku sayangi, terimalah..Jalan Kejayaan cewah!

Jalan Kejayaan

Dalam cantik gerak tari
ada cerita tentang langkah yang tempang
Dalam senyum di pentas aksi
ada kisah pernah ditangisi
Dalam kagum melihat kesamaan
ada banyak hati yang kadang tidak sekata

Keajaiban jarang-jarang terjadi
Hanya kadang-kadang ia datang
Banyak susah dari yang senang
Hakikat itulah memenangkan kita

Kirimkan rasa teruja malam itu
untuk siang yang mungkin kaku
Petakan jalan kejayaan semalam
untuk pedoman seabad lagi

Selamat menanti ketibaan Syawal.. ampun maaf didahulukan..

15 September 2007

FESZAM 2007 Yang Mengejutkan

CERITA SEMALAM
Tahun lepas kami cukup berbangga kerana diberikan peluang oleh pihak universiti untuk menubuhkan kumpulan zapin pertama di UIAM. Lebih manis, persembahan pertama kami adalah di UTM Skudai sebagai mewakili UIAM di Festival Zapin Johor MAKUM 2006. Tiada apa yang diharapkan kecuali sekadar mewakili universiti – kata abang Khalid, koreografer kami.
CERITA HARI INI
Tahun ini Festival Zapin datang lagi dan kami baru saja berusia setahun lima bulan. Namun, sebagai lambang terima kasih kepada semua yang menyokong perjuangan kami, kami tetap memasang tekad untuk membawa pulang sesuatu sempena Festival Zapin MAKUM 2007. Sekurang-kurangnya dikategorikan sebagai pemenang Anugerah Perdana (untuk kumpulan yang memungut markah keseluruhan 60%-79%). Setidak-tidakpun diikitiraf sebagai Kumpulan Harapan. Tapi tanpa sedar, rupa-rupanya telah berlaku sesuatu yang jauh lebih mengejutkan daripada itu. Semuanya berlaku bagaikan mimpi.

Berikut adalah keputusan penuh Festival Zapin MAKUM tahun ini:
Johan: Universiti Putra Malaysia (UPM)
Naib Johan: Universiti Tun Hussein Onn (UTHM)
Ketiga: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Anugerah Khas Juri: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Anugerah Penari Lelaki Terbaik: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Anugerah Penari Wanita Terbaik: Universiti Putra Malaysia (UPM)
Anugerah Penataan Terbaik: Universiti Putra Malaysia (UPM)
Anugerah Busana Terbaik: Universiti Putra Malaysia (UPM)
Anugerah Tatarias Terbaik: Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
Anugerah Kumpulan Berbakat: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)



ANUGERAH SERI PERDANA
Kejutan yang pertama, kami berjaya memenangi Anugerah Seri Perdana (markah 80% ke atas) sebaris dengan empat universiti lain iaitu UPM, UTHM, USM dan UPSI. Anugerah Perdana pula dimenangi oleh UTM dan USIM. Manakala Anugerah Utama pula membariskan UNIMAP, UMP, dan UMT. Memang penyertaan tahun ini tidak melibatkan beberapa nama besar lain seperti UNIMAS, UUM, UM dan UiTM, tetapi kejayaan kami memenangi Anugerah Seri Perdana sudah cukup membanggakan aku. Bukan mudah untuk berdiri sebaris dengan universiti-universiti lain yang jauh lebih senior daripada kami dalam bidang tarian ini. Hei, kami cuma menyasarkan anugerah perdana sahaja ok!


ANUGERAH PENARI LELAKI TERBAIK
Kejutan kedua, salah seorang penari kami, Norahman Suradi dinobatkan sebagai Penari Lelaki Terbaik,. Maman, anda satu antara seribu pada malam itu tau. Kejayaan Maman benar-benar membanggakan kami. Mana tidaknya, antara lebih 50 orang penari lelaki yang lain, Maman juga yang mencuri hati Juri. Terima kasih kerana menambahkan lagi anugerah kemenangan kita. Untuk makluman, pemilihan tiga tempat teratas adalah berdasarkan markah dan juga jumlah anugerah yang dimenangi. Maka semestinya semua peserta ingin merangkul sebanyak mungkin anugerah yang dipertandingkan.

ANUGERAH KHAS JURI
Kejutan ketiga, kami membawa pulang anugerah yang telah kami idam-idamkan pada tahun lepas iaitu Anugerah Khas Juri. Aku suka dengan anugerah ini kerana ia sangat misteri dan paling penting ia adalah pemberian khas daripada Juri. Pastinya kami akan terus tertanya-tanya kenapa Juri memberikan hadiah ini kepada kami kerana tiada kriteria khas tentang cara pemilihannya.

Kejutan keempat, kami beranggapan kami tidak layak untuk memenangi tiga tempat teratas kerana kami telah diberikan Anugerah Khas Juri. Ini berlaku kepada pemenang tahun lepas. Tapi, tanpa disangka-sangka kami berjaya juga mendapat tempat ketiga keseluruhan! Fuh, memang hilang suara menjerit meraikan kemenangan malam itu! UPM menepati ramalan dengan Zapin Ghalit yang sangat unik dan mengasyikkan. Muzik dan langkah gaya mereka sangat profesional dan menarik. Mereka memang layak menang setelah menggondol 4 anugerah utama yang lain.


SYUKUR ALHAMDULILLAH
Aku akui kejayaan ini terlalu besar untuk kami. Empat anugerah besar dalam satu masa dengan pengalaman kurang dari setahun, latihan yang tidak sampai sebulan dan mewakili sebuah Universiti yang tidak penah dikenali langsung dalam bidang seni tari di Malaysia. Tidak hairanlah kalau Lan tidur pun tersenyum, Razz pula asyik terbayang-bayangkan suasana malam itu, Maman pula masih merasakan semuanya bagaikan mimpi, dan semua orang masih asyik tersenyum lebar. Tak tahu bagaimana nak melahirkan rasa gembira dan syukur atas kejutan ini. Sekalung tahniah buat Koreografer kami, Abang Khalid atas koreografi yang mengagumkan, juga kepada semua ahli kumpulan zapin UIAM yang sentiasa berusaha melakukan yang terbaik. Bergaduh-gaduh kecil tu biasalah kan? Hehe.. Terima kasih Khalid, Syazwan, Che Mat, Shah, Maman, Razz, Lan, Amer, dan Adnan atas setiap peluh yang menitik demi menaikkan nama kelab kita.

Owh! Adakah aku terlalu membanggakan diri? Adakah aku terlalu menunjuk-nunjuk? Maaf itu bukan niat aku. Semuanya adalah demi sebuah kenangan yang aku tak mahu lupakan. Hmmm..bukankah laman ini aku dedikasikan buat diri sendiri? Hehe.. Teruskan perjuangan teman! Ingat, mengekalkan kemenangan adalah lebih sukar daripada mencipta kemenangan.

31 August 2007

Selamat Merdeka.... an-nidxam!




Selamat Merdeka Malaysia! Dah 50 tahun rupanya. Dan selamat merdeka juga untuk aku haha! Alhamdulillah, akhirnya aku berpeluang juga menghadiri majlis konvokesyen sebagai meraikan tamatnya 6 tahun aku bermastautin di Taman Ilmu dan Budi ni. 2 tahun di Pusat Matrikulasi dan 4 tahun lagi di Kampus Utama Gombak. Fuh! Lama gila kan? Sebenarnya aku dah hampir-hampir terlupa tentang majlis ni sebab agak serabut dengan zapin dan resume. Aku terlambat nak ambil jubah konvokesyen. Mujur saiz aku masih ada. Tapi segalanya tetap berjalan lancar. Aku tetap seronok dan bangga.

Kata seorang kawan, menghadiri majlis konvokesyen hanya sekadar simbol. Simbol kepada berakhirnya tempoh pembelajaran kita di UIA ni. Jadi pada dia, hadir atau tidak ke majlis ni bukanlah perkara penting kerana yang lebih penting adalah memiliki segulung ijazah. Namun pada pandangan aku, majlis ni sangat penting. Ia ibarat hadiah kepada ahli keluarga aku kerana ini adalah kali pertama mereka merasai suasana majlis konvokesyen. Sekurang-kurangnya apabila orang bercerita tentang konvokesyen, mereka dapat membayangkan dengan tepat akan bagaimana rupa bentuknya.

Apapun, tahniah kepada semua graduan UIAM yang ke 23. Banyak yang perlu kita lakukan selepas ini untuk menjadikan majlis graduasi bukan sekadar simbol, tapi sebagai pembakar semangat untuk menjadi yang lebih terbaik! Insya Allah…

Terima kasih kepada Adnan sebagai penaja persalinan aku (aku tak perlu beli baju baru pun untuk majlis ni hehe) dan juga Pijan sebagai pengapit aku (haha! teman setia -lah lebih kurang). Pijanlah yang banyak tolong peringatkan aku tentang banyak benda termasuk tentang persediaan untuk majlis ni. Macam nak kahwin je kan? Hmmm.. aku tahu apa yang korang fikir…hehe. Selamat datang ke dunia baru! Selamat Merdeka Malaysia!

08 August 2007

Senyum Tangis Pening :: BMW Shorties Screening





Semalam propaganda BMW Shorties Screening keluar Kosmo.. satu muka surat besar.. kecoh kejap satu kampung haha! Apa-apa pun, aku tak sabar nak jemput semua komiti program untuk Malam Jasamu Dikenang .. Insya Allah..

02 August 2007

Isu Lelaki Bermekap Kumpulan Zapin UIAM

Hmm... isu budak-budak Zapin memakai mekap ini sebenarnya sudah membosankan bagi kami. Kadang-kadang kami dikelirukan oleh macam-macam cakap-cakap orang. Mereka bising, kemudian senyap. Tanpa dalil, tanpa alasan. Sekadar mencetuskan kontroversi barangkali. Untuk itu saya hadiahkan entri ini untuk mereka. Ini adalah pendirian kami, IIUM Zapin Group.
Satu peringatan, kami amat jarang memakai mekap ketika membuat persembahan. Jika kami memakai mekap sekalipun, ia bukanlah kerana kami mahu menyerupai perempuan. Kami sudah cukup berbangga memiliki wajah tampan untuk digilai wanita-wanita normal! Walau apapun, komen dan pandangan anda amat kami alu-alukan.

HUKUM LELAKI MEMAKAI MEKAP
Hukum asal sesuatu perkara termasuklah perhiasan adalah HARUS, melainkan ada dalil yang mengharamkannya. Jadi, pakai bedak umpamanya, untuk mengelakkan muka berminyak tidak dilarang oleh mana-mana nas syarak.

Malahan syarak menggalakkan seseorang muslim berketrampilan bersih dan kemas. Dalam hadis sahih Muslim dan lain-lain:
"Tidak masuk syurga orang yg ada dalam hatinya takabur walau seberat zarah"
lalu sahabat bertanya: Apa pendapatmu tentang seorang lelaki yang suka pakaiannya cantik, dan sepatunya cantik.
kata Nabi: "Sesungguhnya Allah cantik, dan sukakan kecantikan. Takabur ialah: tidak menerima kebenaran, dan memperlekehkan manusia".

TETAPI
Sesuatu perkara yang HARUS pada asalnya, boleh bertukar kepada haram dengan sebab perkara luaran. Contohnya dalam permasalahan kita, seorang yang bermekap dengan tujuan untuk membuat persembahan yang haram, atau untuk berlakon dalam perkara yang dilarang syarak, atau memakai mekap kerana mahu menyerupai wanita, atau memakai mekap yang diperbuat daripada perkara haram. Walaupun hukum asal ialah HARUS, tetapi bertukar kepada HARAM dengan sebab luaran.

Untuk mudah memahami, ulama Usul membahagikan HARAM kepada jenis.
1) Haram pada zatnya: seperti zina, mencuri
2) Haram kerana sifatnya: seperti arak haram kerana memabukkan.
3) Haram kerana perkara luaran: seperti membeli pisau tujuan untuk bunuh orang. (Beli pisau: HARUS, tetapi bunuh orang :HARAM, jadi beli pisau pun jadi HARAM.

Masalah lelaki mekap ini, boleh masuk bahagian ketiga, sekiranya tujuannya haram. Kalau tiada bercampur dengan perkara haram maka hukum ASALNYA HARUS.

Wallahu a'lam.

Sumber: http://www.al-ahkam.net/

BMW Shorties Screening

Meski ramai yang mahu menang dan menjadi sebahagian daripada sejarah, namun tidak semua mahu kecewa dan menjadi sebahagian daripada yang kalah.

MISTERI YANG MAHAL
BMW Shorties Screening, sebuah program yang penuh misteri pada asalnya (ibarat misterinya filem Westbound) akhirnya membuatkan aku tersenyum lega juga. Ternyata bukan mudah untuk menganjurkan sebuah program bersama-sama dengan sebuah syarikat korporat besar seperti BMW. Segalanya hanya bermula dari satu emel, kini semuanya sudah jadi sejarah. Sejarah yang sangat mahal untuk Mahallah Ali yang baru berusia sepuluh tahun. Mahal-lah tu kan? Tahu bagaimana kami mendapatkannya? Program ini diadakan selama dua malam berturut-turut. Sepuluh filem pendek yang merupakan finalis pertandingan BMW Shorties ditayangkan secara percuma sambil diselitkan dengan sesi soal jawab bersama pengarah-pengarah filem terbabit. Pop corn dan air coke percuma sumbangan BMW juga dihidangkan untuk semua yang datang sebagai cenderahati.

MULA MENCARI PENYAKIT
Mulanya, idea ini hanya datang dari empat orang MRC pencen (yang sengaja mencari penyakit haha!) iaitu Zamri, Syarafuddin, Haeqal (bakal pencen) dan aku. Selepas seronok menonton filem-filem BMW Shorties di “bilik gerakan rasmi” kami, satu idea tiba-tiba tercetus. Lantas satu perjumpaan diatur dengan syarikat perhubungan awam BMW iaitu Fleishman Hillard di Mid Valley pada awal April 2007. Gerak kerja dimulakan dengan bantuan rakan-rakan seperti Engku (terima kasih untuk poster yang cun walau terpaksa diperbetulkan berpuluh-puluh kali haha!) dan juga Alif (pakar linguistik kami hehe). Mujur gerak kerja kami bermula awal, maka tidak banyak perkara yang menimbulkan kekalutan. Segalanya berjalan lancar. Kami menerima hampir 70 orang ahli jawatankuasa ikhlasrela - ibarat satu keajaiban buat aku. Sayangnya kami terlepas pandang akan aspek teknikal yang amat-amat penting untuk sebuah program berkonsepkan “pawagam” seperti BMW Shorties ini. Tayangan hari pertama, sangat mengecewakan kerana terlalu banyak kesilapan audio visual berlaku. Siapa yang suka tengok wayang yang filemnya tersekat-sekat kan? Hari kedua kami kuatkan azam. Terima kasih kepada Fleishman Hillard yang banyak membantu kami. Semua yang datang seperti para pelajar, wartawan, pengarah-pengarah filem, syarikat-syarikat produksi dan juga tetamu khas kesemuanya berpuas hati. Alhamdulillah.
PROTOKOL DAN PENGHALANG
Suatu perkara yang aku sangat suka apabila bekerja dengan BMW adalah dari aspek protokol. Mereka bukanlah orang-orang yang terlalu berprotokol seperti yang kita bayangkan. Tiada sofa empuk untuk mereka, tiada pop corn atau air coke yang berbeza untuk mereka. Apa sahaja yang dinikmati oleh penonton, itulah juga yang mereka mahukan. Tiada diskriminasi. Semua orang adalah VIP. Suatu idea yang murni. Program juga menjadi sangat santai tetapi menghiburkan – pujian untuk celoteh mesra pengacara majlis, Faiz. Ramai yang bertanyakan kenapa BMW memilih UIAM untuk menjadi tuan rumah program ini? Jawapannya, mungkin kerana kami sangat teruja dengan filem-filemnya yang pendek tetapi “panjang” mesej dan kualitinya. Kami terlalu komited untuk berkongsi rasa teruja kami dengan semua peminat filem. Memetik kata-kata Pengurus Hal Ehwal Korporat BMW, ramai yang berminat untuk membuat program seperti ini dengan BMW. Namun Mahallah Ali sahaja yang berjaya memecahkan tembok penghalang. Malah kami menjadi inspirasi untuk mereka mengadakan road tour seluruh Malaysia pula. Dan BMW turut menantikan sekurang-kurangnya satu penyertaan untuk mewakili UIA dalam pertandingan BMW Shorties pada tahun depan. Berminat? TANGISAN DAN SENYUMAN
Program ini sememangnya ringkas (sependek namanya), tetapi mengambil masa hampir empat bulan untuk direalisasikan. Kami sedar bahawa kami membawa nama UIA kepada komuniti luar kampus. Jadi, kami sedaya upaya melakukan yang terbaik. Sejuta penghargaan kepada semua yang menyokong kami. Namun kami sedar tidak semuanya sempurna, maka ampun maaf kami mohonkan. Kami menangis pada hari pertama program ini. Syukur, rupa-rupanya itulah hikmah yang membawa kepada senyuman pada hari keduanya. Bak kata Syarafudin, ramai yang mahu menang dan menjadi sebahagian daripada sejarah, namun tidak semua mahu kecewa dan menjadi sebahagian daripada yang kalah.

Jumpa lagi pada tahun depan.. mungkin?

21 July 2007

Jom Tengok Wayang PERCUMA..!

Program yang julung-julung kalinya menggabungkan persatuan pelajar di UIAM (MRC Ali) dan agensi korporat BMW, bersatu tenaga dan idea menghasilkan satu program yang lain daripada yang lain:

BMW SHORTIES SCREENING
26 & 27 JULY 2007 (Thursday & Friday)
8 PM - 11 PM
MAIN AUDITORIUM UIAM GOMBAK

10 finalis pertandingan filem pendek BMW bakal ditayangkan secara esklusif di UIAM. Saksikan sendiri keunikan dan kualiti yang ditampilkan oleh pengarah-pengarah muda berbakat dari seluruh Malaysia. Satu program yang tidak harus dilepaskan oleh peminat-peminat seni fotografi dan sinematografi.

Free pop corn, free drinks, free movies, so lets just free yourself..!

Details: www.aliman.wordpress.com
Email: mahallah.ali@gmail.com
Contact: 014 - 625 8985 (Syarafuddin)

21 June 2007

Selamat Ulang Tahun ke-10 untuk Mahallah Ali.

Mahallah Ali di Utusan Malaysia: click here

Acara tahunan Mahallah Ali yang disusun penuh gilang gemilang telah berakhir 4 Jun yang lepas. Annual Vision Award edisi kedua ini dianjurkan secara bersama dengan Mahallah Asiah pula. Sebenarnya, konsep malam anugerah ini telah dimulakan sejak tahun 2005 dengan nama Annual Appreciation Night dan Mahallah Safiyyah menjadi penganjur bersama. Kemudian namanya ditukar kepada Annual Vision Award pada tahun 2006 sempena persaraan Rektor Prof. Dr. Kamal Hassan dan dianjurkan bersama dengan Mahallah Ameenah. Kegemilangannya diteruskan pula pada tahun 2007 ini bersempena dengan ulang tahun ke 10 Mahallah Ali dan ulang tahun kedua untuk Mahallah Asiah.



Pada hari inilah kami menghargai setiap residen Mahallah Ali atas sumbangan mereka merealisasikan objektif program iaitu “IIICE is a Way of Students’ Life” (Kecemerlangan Menyeluruh). Pada hari ini jugalah kesemua bekas ahli MRC, bekas staf dan juga bekas residen Mahallah Ali dikumpulkan. Alhamdulillah tahun ini kami berjaya mengumpulkan hampir kesemua Presiden MRC Ali dari tahun 2001 hingga 2007. Malangnya kami tidak berjaya menghubungi Presiden yang pertama atas masalah dokumentasi. Ada sesiapa yang kenal beliau?





Konsep tradisional menjadi pilihan tahun ini. Jadi aku terus teringatkan Kumpulan Dewangga Sakti dan Kumpulan Zapin UIAM yang mana kedua-duanya memperjuangkan irama tradisional. Ternyata persembahan mereka tidak menghampakan.



Aku juga sangat berpuas hati dengan hiasan pentas (walaupun menggunakan barang-barang terpakai tetapi kreatif) serta persembahan multimedia yang semestinya sentiasa membuatkan aku kagum sepertimana tahun lepas. Pilihan muzik dan animasi yang sangat menarik. Tahniah juga kepada CET atau lebih dikenali sebagai ROVAS yang berjaya membantu menyempurnakan majlis. Mereka datang awal ke dewan dan memberi kerjasama yang sangat baik. Tahniah dan terima kasih!

Apa pun, sekalung tahniah kepada jawatankuasa program. Semestinya kepada MRC Ali dan MRC Asiah yang bertungkus lumus menjayakan acara tradisi yang sentiasa ditunggu-tunggu ini, walaupun masa yang diberikan agak singkat (lain kali jangan buat kerja saat-saat akhir ok). Tahniah juga kerana bilangan residen yang datang berjaya memenuhi setiap ruang kosong. Cuma sikap segelintir mereka yang meninggalkan majlis sejurus selepas acara makan malam amat dikesali. Kenapa ya?




Tahniah kepada semua barisan pemenang tahun ini. Teruskan kecemerlangan anda selepas graduasi nanti ya. Mahallah Ali kini sudah 10 tahun.. terus unggul sebagai “The Leading Mahallah in IIUM”.

15 June 2007

Video-video Zapin di Youtube

Bosan? Inginkan hiburan secara maya? Mari saya cadangkan ini...

http://www.youtube.com/annidxam

Video-video zapin. Hehehe...

Selamat Ulangtahun pertama untuk Kumpulan Zapin UIAM..!

26 March 2007

ROVAS: Untuk yang Memahami Sahaja.

Tentang masalah ROVAS ini, bukanlah hanya datang dari aku seorang. Tapi aku tak kisah kalau hanya aku seorang yang akan di gam oleh UIA haha. Kami juga bukanlah seperti kata bidalan: “kalau tak tahu menari, jangan disalahkan lantainya” kerana aku percaya, sesuatu persembahan kesenian dilihat secara keseluruhan termasuklah sistem audionya. Sudahlah sistem pencahayaan terlalu daif dan banyak lampu yang rosak tergantung sekadar hiasan, sistem audio menambahterukkan lagi keadaan. Cuba anda kira berapa banyak lampu-lampu di dewan yang gah dan baru sahaja dibina itu benar-benar berfungsi? Mungkin syarikat pencahayaan Mubari boleh menjawabnya.

Kalau kita bukan seorang yang celik seni, datanglah awal-awal ke pentas supaya boleh dibuat raptai bersama-sama. Semasa persembahan untuk MASUM yang lepas, kami telah membuat perubahan drastik di mana raptai penuh diadakan bermula jam 3 hingga 5.30 petang. Kami dah jemu dengan alasan menangguhkan raptai semata-mata hendak menunggu sistem audio yang seperti biasa hanya datang pada jam 6.30 petang. Kami terpaksa membuat raptai lebih awal sebagai pengajaran kepada ROVAS. Jam 6.30 petang kami hanya datang ke dewan untuk makan malam dan terus bersiap untuk persembahan. Membiarkan mereka tertanya-tanya.

Ternyata di akhir acara, persembahan kami berjalan lancar, tetapi sistem audio kelam kabut. Pasti mereka akan ingat bilamana kesemua tetamu memandang ke arah mereka secara serentak semasa muzik zapin tidak kedengaran. Kalau alasan ROVAS adalah kekurangan tenaga kerja, rasanya itu bukan masalah kami. Cubalah rujuk kepada majikan anda. Malah, konsep persembahan kesenian di UIA bukanlah terlalu kompleks sepertimana di Istana Budaya. Semuanya statik sahaja. Aku pasti staf ROVAS dah jemu membuat perkara yang sama dalam setiap kali persembahan tetapi malangnya kesilapan yang sama tetap juga berulang. “Testing 1-2-3” yang diulang-ulang selama setengah jam kadang-kadang menimbulkan rasa meluat. Muzik tak keluar, suara bertindih, muzik tersekat-sekat, mikrofon tak berfungsi dan staf yang datang lewat ke pentas sehinggakan acap kali raptai diadakan melewati waktu mahgrib. Entah di mana nilai-nilai Islam yang ingin ditonjolkan.

Atas segala ketidaksempurnaan yang berulang-ulang ini, aku terlalu musykil bagaimana mereka boleh dilantik untuk menjadi penyelia persembahan kebudayaan untuk Hari Kualiti yang lepas. Lantas aku tidak hairan apabila kami dilayan seperti penyanyi di kaki lima jalan meminta sedekah dan simpati. Lima hari berturut-turut kami diberi layanan yang serupa seolah-olah mereka lupa bahawa kami bukanlah artis budaya profesional tetapi hanya pelajar universiti yang memperjuangkan seni dan budaya secara percuma. Dan pada hari kemuncaknya, kami membuat persembahan tanpa sistem audio. Malah staf yang dikatakan penyelia kami itu langsung tidak muncul-muncul. Iyalah, kami cuma nak ucap berbanyak-banyak terima kasih kepadanya.

Aku bukan mahu menghentam. Tapi kalau itu yang selayaknya untuk mereka, aku rasa berbaloi kalau blog aku dibaca oleh staf UIA dan dipanggil menghadap sekalipun. Aku sudah empat tahun bergelumang dalam aktiviti kebudayaan di UIA. Daripada zaman nasyid hingga ke zaman kugiran seperti sekarang. Kelab kebudayaan makin bercambah dan meriah. Tetapi cara bekerja ROVAS tetap di takuk yang sama. Apa mereka tidak pernah membuat sesi muhasabah ke?

Akhir kata ampun maaf kepada yang terlibat. Aku cuma mengikut kata hati dan inspirasi dari rakan-rakan yang lain. Kami memerlukan medium untuk menyampaikan. Itu sahaja.

Diari Zapin lagi..

Sebagai rekod tidak rasmi untuk aku, di bawah ini adalah ringkasan jadual persembahan yang telah kami jayakan sepanjang semester 2 ini. Dari segi kuantiti memang nampak banyak, tapi dari segi kualiti kita tak nampak. Kami masih terlalu muda dan mentah. Itulah yang kami cuba usahakan. Harap-harap UIA akan cepat-cepat sediakan studio tarian bercermin untuk kami. Thank you in advance hehe.

IIUM Syawal Gathering
Kami berlatih sepanjang cuti semester untuk lagu raya Sharifah Aini, Nostalgia di Aidilfitri hasil koreografi abg Khalid. Lagu ini kami persembahkan khas untuk program jamuan raya UIA ini.

Rumah Terbuka Dato’ Mustapha Mohamed
Ada sedikit salah faham di awal kedatangan kami ke sini, tetapi berjaya diatasi juga. Dalam rasa keberatan untuk meneruskan persembahan, akhirnya kami berjaya mempersembahkan lima tarian sekaligus.

Law Grad Dinner @ Hotel Istana
Komiti program ini teruja dengan persembahan kami semasa Hari Merdeka di Stadium UIAM yang lepas. Lantas mereka terus mengundang kami untuk program Law Grad Dinner ini. Malangnya, kami tak boleh nak berlari-lari dan agresif sepertimana Hari Merdeka dulu kerana saiz dan struktur pentas yang disediakan agak kecil dan bertingkat-tingkat. Maaf ya! Hehe..

Ta’aruf Week November Intake 2006 (27& 29 Nov 2006)
Pertama kali kami berzapin dengan lagu Cindai dan diiringi muzik secara "live" oleh kumpulan Gamelan UIAM. Muzik yang asalnya rancak bertukar menjadi sangat perlahan. Makanya, rentak tari kami juga menjadi perlahan. Aduh, macam gaya slow motion pula haha!
Pertama kali juga kami berzapin dengan menggunakan lagu yang bukannya lagu zapin iaitu Khatulistiwa nyanyian Ito. Agak mengejutkan juga.

DeepaRayaMas Charity Program @ Hotel PJ Hilton
Nama program pun pelik kan? Deepavali + Hari Raya + Christmas. Ini adalah program makan tengahari atau jamuan raya untuk rumah-rumah kebajikan. Tapi pentasnya terlalu kecil (paling kecil pernah kami jumpa) dan dihias pula dengan segala macam props. Tak kisahlah, janji jangan jatuh dari pentas sudah.

Malam Jasamu Dikenang (IIUM Staff Appreciaton Night) @ Hotel Nikko
Program yang agak besar anjuran Management Services Division UIAM. Kami diminta mempersembahkan tujuh lagu termasuk mengiringi nyanyian Haziq AF4 untuk lagu Zapin Budi dan Joget Umpan Jinak di Air Tenang. Terpaksa menari joget pula hehe.

IIUM Student Award
Aku tak terlibat untuk persembahan kali ini. Tapi dengar katanya, salah seorang daripada penari kami terjatuh di atas pentas. Hehe.. sabar jelah ye..

Mahabbah Integration Visit by Institut Teknologi Bandung, Indonesia (ITB)
ITB membuat lawatan ke UIAM, dan kami diminta membuat persembahan sempena makan malam pertama mereka di bumi Malaysia ini. Tapi apa yang lebih menarik adalah persembahan daripada pelajar-pelajar ITB. Pastinya agak kontroversi di mata pentadbiran UIAM, tapi sangat menarik dan unik bagi kami.

Majlis Perkahwinan Taoufique & Farah @ Hotel Corus
Pertama kali kami membuat persembahan untuk majlis perkahwinan bersama-sama kumpulan Gamelan. Seperti biasa masih ramai masyarakat luar yang terkejut apabila diberitahu bahawa UIAM mempunyai banyak kumpulan kebudayaan yang aktif (yang bukan sekadar nasyid).

Spektrum U - RTM
Kami diminta mewakili UIA bersama-sama IIUM Band untuk rakaman program Spektrum U RTM. Tak tahulah bila program ini akan ditayangkan di RTM. Percaya tak, kami cuma berlatih selama sehari sahaja untuk lagu yang pertama kali kami persembahkan iaitu Awallah Dondang yang dinyanyikan oleh Sobree. Jadi, tersilap langkah tu biasalah. Asal tak kantoi depan kamera sudah hehe.

Majlis Penutup Minggu Kebudayaan UIAM 2007
Oleh kerana hampir kesemua ahli zapin terlibat dalam penganjuran program Minggu Kebudayaan ini, maka masing-masing sibuk sehinggakan tiada masa untuk berlatih. Zapin Budi lagu yang telah biasa kami persembahkan, tapi kesilapan langkah masih ada. Ternyata, latihan tetap satu kemestian. Namun sistem pembesar suara amat mengecewakan. Suara bertindih. Entahlah… Mungkin ROVAS perlu dikorporatkan juga kot.

Bengkel Zapin Johor 2007
Aku mengorbankan cuti raya cina pada 19-20 Februari lepas semata-mata untuk menghadirkan diri ke bengkel zapin. Tapi aku kira agak berbaloi jugalah. Kami berjaya belajar lima jenis zapin iaitu pekajang, parit mastar, tenglu, padang sari dan lenga. Terima kasih kepada abg Khalid dan juga Kak Nabila @ Bell dari Istana Budaya.

Hari Kualiti UIAM
Kalau aku komen terlalu banyak tentang pogram ini, tentu aku akan kena gam oleh UIA nanti. Jadi secara ringkasnya, keputusan kami (kelab angklung, gamelan, percussion, cak lempong, nasyid dan zapin) untuk membuat persembahan untuk program ini yang diadakan selama lima hari berturut-turut adalah SALAH. Pada hari terakhir program iaitu hari kemuncaknya, kami membuat persembahan tanpa sistem audio, tanpa penonton, tanpa pentas, tanpa makanan, tanpa minuman, tanpa kepuasan melainkan penat dan tanpa ucapan terima kasih. Inilah masalahnya apabila orang dari ROVAS yang menjadi penyelia program. Bukankah kami sudah punya pegawai kebudayaan kami sendiri, mengapa perlu dilantik orang lain yang macam buta seni lagaknya?

Majlis Makan Malam Sirkit Gemilang MASUM 2007
Satu lagi kombinasi persembahan kelab-kelab di bawah Unit Kebudayaan yang menarik dan tersusun hasil idea cikgu Ku Zahir. Gabungan angklung, gamelan dan cak lempong memang gah. Kami mempersembahkan koreografi baru untuk zapin parit mastar yang baru dipelajari minggu sebelumnya. Sebagai acara penutup, kitorang terpaksa jadi awak-awak untuk dikir Wau Bulan. Pengalaman yang menarik walaupun aku menjangkakan persembahan malam itu sepatutnya lebih baik lagi. Terutamanya dari segi audio. Hmm…ROVAS lagi.

27 January 2007

Video Festival Zapin Johor MAKUM 2006

Persembahan pertama daripada kumpulan Zapin UIAM yang kini bergelar Nafastari. Hmmm.. ceritanya aku dah post lama (click here) tapi videonya baru dapat aku tunjukkan hari ini atas masalah teknikal ;-)